Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Bersih segera, sampah jejas Langkawi

Oleh SM Mohamed Idris

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan yang menjejaskan alam sekitar dan keindahan pulau tersebut ketika ini.

Dalam tinjauan yang dibuat di Pantai Kok, Teluk Ewa dan Bukit Malut SAM mendapati keadaan di beberapa lokasi di kawasan-kawasan tersebut amat kotor serta jijik dipandang.

Berbagai-bagai bahan buangan seperti kertas, barangan plastik dan sisa binaan telah dilonggok oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di tepi jalan di kawasan tersebut. Orang ramai sering melalui jalan tersebut ke destinasi mereka.

SAM bimbang kawasan yang tidak bersih itu akan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan tikus yang boleh mencetuskan masalah kesihatan dalam kalangan penduduk tempatan serta para pengunjung pulau berkenaan.

SAM kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku namun tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya. SAM percaya jika masalah ini dibiarkan berlarutan alam sekitar pulau legenda itu akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

Justeru SAM meminta MPL mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dan SAM berharap masalah serupa tidak berulang lagi.

Di samping itu SAM juga menggesa MPL mempertingkatkan kawalan bagi mencegah berlakunya pencemaran alam sekitar yang lebih serius di tapak pelupusan sampah di Kilim.

SAM dapati udara di kawasan tersebut dicemari bau busuk dan bimbang air larut resap dari tempat tersebut akan menjejaskan kualiti air sungai berdekatan. Bersihkan Langkawi.

* SM Mohamed Idris adalah presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

No comments