LEBIH ramai lagi pemimpin dan penyokong PAS akan dipanggil untuk
membantu siasatan kes dana RM90 juta dari Umno, kata Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sejak siasatan dibuka awal Februari lalu, bermula dengan senarai
sembilan saksi, agensi anti rasuah itu setakat ini sudah menyoal siasat
12 individu, termasuk penyokong dan kakitangan pejabat parti Islam itu.
SPRM juga mengesahkan kes disiasat antaranya bagi kesalahan
pengubahan wang haram, melibatkan aliran dana RM90 juta yang dikatakan
ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki enggan mengulas lanjut
tetapi mengesahkan kepada The Malaysian Insight, kes disiasat mengikut
Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
SPRM sebelum ini mendedahkan siasatannya setakat ini mendapati wang
berkenaan “dibersihkan” melalui pindahan dari akaun ke akaun melibatkan
beberapa akaun, modus operandi sama dalam pengubahan wang haram.
Selepas mengesahkan aliran wang berkenaan tidak melibatkan akaun rasmi PAS dan Umno, SPRM meluaskan siasatannya ke atas penyumbang derma kepada parti Islam itu.
Selain transaksi perbankan, kemewahan luar biasa yang dimiliki semua
pemimpin berkenaan turut mengaitkan mereka dengan kes ini, menurut
sumber.
Oleh itu, jejak perbelanjaan pemimpin terbabit juga diteliti untuk
mengesan aliran dana berkenaan, kata sumber yang dekat dengan siasatan
kes.
Siasatan SPRM bertumpu pada sekurang-kurangnya 18 kereta dan
motosikal jenis mewah serta banglo dan beberapa nombor plat istimewa
kenderaan, yang semuanya dikaitkan dengan lapan pemimpin PAS dan seorang
bekas pemimpin parti Islam itu.
Kenderaan mewah yang disiasat antaranya jenis BMW 525, Mini Clubman,
Toyota Vellfire, Toyota Camry, Toyota Fortuner dan Range Rover.
Ada juga yang memiliki Audi 6, Porsche Cayman, Audi Q7, Volkswagen
Passat dan beberapa jenis motosikal berkuasa tinggi, kata sumber.
Menurut sumber, ada antaranya didaftarkan atas nama sendiri dan ada juga atas nama isteri kedua dan ketiga.
Pada 28 Februari, SPRM membekukan lima akaun
bank milik pemimpin PAS serta menyita tiga kenderaan mewah serta sebuah
banglo. Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang turut disiasat
SPRM bagaimanapun menafikan aset pemimpin partinya dibeku atau disita.
Menurut sumber, lima akaun bank
itu dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.
Akaun-akaun bank itu termasuk akaun peribadinya serta akaun empat milik
empat yayasan antaranya Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).
Nasharudin menerajui GMFF sejak 2015 sehingga yayasan yang diasaskan
bekas perdana menteri Najib Razak itu ditutup selepas Barisan Nasional
(BN) kalah pilihan raya.
Nasharudin adalah pemimpin PAS yang pertama dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada 8 Februari lalu.
Beliau disiasat pada hari yang sama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik
Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dipanggil oleh agensi anti rasuah itu.
Nik Abduh adalah orang yang membuat pengakuan beliau tahu tentang
sumbangan duit itu, yang rakaman pengakuannya itu tersebar di media
sosial setahun yang lalu, kira-kira dua bulan sebelum PRU14.
Beliau ketika itu menafikan dakwaan suaranya dalam rakaman itu dan menyifatkan tuduhan sebagai “karut, mengarut dan fitnah”.
Setahun kemudian, setelah SPRM membuka siasatan rasmi, Nik Abduh
kemudiannya mengaku beliau pada masa itu membuat penafian atau berbohong
mengenai rakaman suaranya atas arahan pimpinan parti.
SPRM juga telah menyoal siasat bekas naib presiden PAS Husam Musa
pada 20 Februari lepas.
Husam terkait dengan kes ini kerana pernah
mendedahkan memiliki bukti mengenai sumbangan dana RM90 juta dari Umno
kepada pemimpin PAS.
Pada 1 Mac lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin disiasat di Kangar,
Perlis mengenai kereta jenis Porsche Cayman atas namanya. Hashim
mendakwa kereta itu dibeli dengan permit import milik beliau semasa jadi
wakil rakyat oleh anaknya.
Pada hari sama, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Mohd Nasir Daud diambil keterangannya di Kota Baru, Kelantan.
Minggu ini, SPRM menyiasat enam individu termasuk Pengerusi Keretapi
Tanah Melayu Berhad Rameli Musa serta bekas exco Selangor, Zaidy Abdul
Talib yang juga yang dipertua PAS Selayang. Turut disiasat seorang
kakitangan ibu pejabat PAS, Mohd Khoirol Anuar Mat Zuki.
Pada Rabu, Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dirakam
kenyataan berhubung motosikal berkuasa tinggi jenis BMW, yang katanya
bukan miliknya.
Semalam SPRM turut memanggil Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan dan Ketua Pesuruhjaya PAS Pahang Mokhtar Senik di Kuantan.
Dalam satu kenyataan ringkas malam tadi, Nasruddin berkata beliau dirakam percakapannya selama dua jam setengah.
“Segalanya berjalan dengan baik dan saya memberi penjelasan mengenai
isu dana RM90 juta, yang berkait tuduhan atau dakwaan ke atas saya
kononnya memiliki kemewahan melampau sebagai satu fitnah dan tidak
berasas,” katanya, dalam mesej ringkas.
Dakwaan mengenai dana RM90 juta dari Umno kepada PAS diterbitkan
dalam Sarawak Report pada Ogos 2016. Tulisan pengarangnya Clare
Rewcastle-Brown kemudian jadi asas saman fitnah oleh Presiden PAS Abdul
Hadi Awang di mahkamah di London.
Awal Februari lalu, Hadi dan Rewcastle-Brown setuju menyelesaikan kes
di luar mahkamah, melibatkan pembayaran RM1.4 juta yang dikatakan untuk
kos guaman, yang dibayar oleh Rameli.
Sarawak Report bagaimanapun tidak menarik balik tulisan yang menuduh
PAS menerima duit dari Umno. Ia malah membuat dakwaan baru setahun
kemudian bahawa duit RM90 juta PAS gunakan untuk menampung belanja
PRU14. – 9 Mac, 2019. ............................................................................................................................................................... Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...
Dari akaun ke akaun, SPRM jejak aliran RM90 juta
Reviewed by DetikDaily
on
March 11, 2019
Rating: 5
Laman web www.detikdaily.net di tutup , sila layari "laman backup" di https://detikoffline..my/.
Sebarang Kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :webmaster.detik@gmail.com
No comments