Post truth: Cubaan musuh sekat Islam
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
(ALANG IBN SHUKRIMUN)...............................................................................................................................................................
Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...
DARI Kristianisasi kepada Sekularisasi
Awal era Kolonialisme, Barat mula
menyedari bahawa Islam tidak dapat dihapuskan melalui senjata dan
peperangan fizikal. Bahkan semakin kuat Islam diserang, semakin kuat roh
jihad membara dalam diri umat Islam. Oleh itu, mereka mengambil langkah
alternatif dengan melancarkan perang dalam bentuk pemikiran.
Selepas gagal mempromosikan agama lain
kepada orang Islam melalui gerakan Kristianisasi dan sebagainya, Barat
beralih kepada serangan dengan senjata Sekularisme. Pemikiran Sekular
ini seiring dengan era enlightenment kurun ke-18 di Barat yang
juga menolak sistem teokrasi gereja, ditandai dengan kejatuhan
monarki-monarki melalui revolusi rakyat hingga tertegak sistem republik.
Sains dijadikan senjata
Era tersebut juga disebut sebagai era
modenisasi, di mana berlaku revolusi pertanian dan revolusi industri.
Keghairahan memajukan industri inilah yang mendorong kepada gerakan
penjajahan/kolonialisasi.
Tonggak kepada era ini adalah sains.
Sains digunakan untuk membangunkan sesuatu sektor. Kebenaran dibuktikan
melalui kaedah sains. Meletakkan logik akal pada tahap tertinggi.
Ketaksuban terhadap sains inilah yang
menyebabkan manusia mula meninggalkan agama. Ini kerana teori agama
tidak boleh dibuktikan melalui kaedah sains malah banyak yang
bertentangan dengan agama. Dari Protestan membentuk Sekularisme, lalu
secara tidak langsung membawa kepada free thinker atau atheis.
Senjata makan tuan
Namun setelah lama sains dibangunkan,
saintis dan ahli akademik mula menyedari bahawa banyak persoalan
mengenai dunia tidak mampu dijawab oleh sains dan logik akal. Ada
perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia.
Namun apabila mereka mengkaji tentang
Islam, mereka menjumpai jawapan yang dicari! Apabila mereka terus
menggali khazanah Islam, mereka dapati bahawa penemuan sains di era
moden telah dinyatakan sejak zaman wahyu lagi!
Ideologi Sekular dan atheis
semakin terhakis di kalangan sarjana Barat. Seorang saintis popular dan
berpengaruh zaman kini daripada US, Michio Kaku pernah mengeluarkan
kenyataan yang agak paradoks dengan akidah dunia sains:
"Dengan aturan sistem alam yang
sangat teliti dan kompleks ini, kalaulah ia dicipta oleh tuhan, tentunya
tuhan ini sangat genius!"
Fenomena ini menjadi sebab ramai para
saintis memeluk Islam. Islam di barat dan negara maju berkembang pesat
sekarang, sehingga dianggarkan Islam bakal menjadi agama dengan penganut
teramai di Eropah dalam tempoh kurang 20 tahun lagi!
Tajdid senjata; kemunculan post-truth
Sudah tentu fenomena ini membimbangkan
musuh Islam. Pakar geo-politik Barat sudah membuat konsensus sejak dulu,
sekiranya mahu menjayakan agenda globalisasi, Islam tidak boleh
dibiarkan berkembang. Ia mesti dihapuskan.
Maka dewasa ini sarjana sains sosial mendapati terdapat gerakan baru pada era post-modernisme ini, yang dilabelkan sebagai post-truth. Post truth
secara literalnya bermaksud selepas kebenaran, atau dengan erti kata
lain, zaman kebenaran sudah pun berlalu. Kebenaran sudah mati.
Zaman kebenaran merujuk kepada zaman keagungan sains. Post-truth
secara mudahnya adalah ideologi menolak fakta dan teori sains dalam
menentukan kebenaran, sebaliknya memahami kebenaran mengikut
pertimbangan emosi dan relatif pandangan masing-masing atau persepsi.
Post-truth tidak mempercayai
kebenaran adalah satu perkara yang mutlak sebaliknya relatif. Jika dulu
semua percaya bahawa bumi itu sfera berasaskan teori graviti, ilmu
fizik, navigasi, geografi. Malah al-Quran sendiri memberi isyarat
tentangnya. Malangnya hari ini muncul gerakan flat-earth (bumi
datar) dengan argumen-argumen yang tidak berlandaskan kaedah sains yang
betul. Namun mereka mempertahankannya atas dasar kebebasan berpendapat.
Trump dan seni penipuan
Dari segi politik, ia lebih merujuk
kepada pentadbiran US era Trump walaupun Presiden terdahulu turut
menggunakan pendekatan sama. Dikatakan Trump sebagai penipu tetapi
penipuannya mendapat sokongan majoriti kerana pandai bermain emosi dan
persepsi. Post-truth jadi kempen memburukkan Trump, padahal Nixon, Reagen, Bush, Obama semua lebih teruk dari beliau.
Sebagaimana yang dinyatakan di atas,
gerakan ini wujud bagi menghalang Islam yang semakin berkembang melalui
sains. Agendanya adalah politik. Jadi mekanisme penyebaran ideologi ini
juga melalui politikus demokrasi. Dibantu dengan gerakan perjuangan
kebebasan hak asasi manusia dan Liberal, ia bergerak agak laju.
Manipulasi akal melalui LGBT
Post-truth ditentang hebat oleh saintis dan ahli akademik yang jujur tanpa mengira kepercayaan agama. Selain polemik flat earth sebagai contoh pertembungan antara sains dan post-truth, antara isu sensasi lain adalah perjuangan LGBT. Jumhur saintis bersetuju bahawa gejala LGBT adalah abnormal dan penyakit bagi manusia yang perlu dirawat.
Tetapi pejuang LGBT mengatakan ia adalah
perkara normal dengan argumen-argumen bodoh seperti wanita terperangkap
dalam tubuh lelaki, jantina tidak ditentukan melalui alat kelamin dan
sebagainya. Apabila cuba diperdebatkan, mereka menggunakan hujah hak
kebebasan memilih, hak berpendapat dan nilai demokrasi.
Manipulasi emosi melalui manifesto palsu
Selain manipulasi akal, post-truth
turut memanipulasi emosi. Mereka menggunakan berbagai elemen seperti
simpati, marah, benci, sedih dan sebagainya supaya kebenaran dibutakan
dan masyarakat memilih mengikut dorongan emosi. Dengan berbekalkan
kepakaran lakonan, cinematografi, fotografi dan efek musik, penipuan
dicipta dengan sangat sukses sehingga mengalpakan manusia untuk duduk
berfikir sejenak dengan akal yang waras.
Masyarakat lebih suka debat daripada
forum. Kerana debat memainkan elemen provokasi, tegas, pedas dan
lancang. Sedangkan forum menumpukan isi dan kupasan. Pemenang debat
dinilai dari sudut dominasi majlis, sedangkan forum diadakan bukan untuk
cari pemenang tetapi lebih kepada pencerahan.
Ceramah sudah tidak diminati. Tetapi
video klip, filem pendek, dan lakonan lebih mendapat tempat. Faktor
ketampanan dan kejelitaan juga dijadikan kayu ukur sokongan. Persetankan
idea. Kencing pun tidak apa, asalkan mampu mengkhayalkan massa dengan
seni penipuan.
Semua agama adalah benar
Gejala post-truth turut
menjalar ke dalam komuniti muslim. Autoritian mula bercakap
bahasa-bahasa Liberal bagi memasukkan jarum penyimpangan daripada agama.
Jika dahulu kita umat Islam diajar untuk mengakui tiada tuhan selain
Allah, tetapi hari ini kita diajar untuk mengiktiraf agama lain. Jika
dahulu arak ditolak semua agama, malangnya hari ini didoktrinkan bahawa
Islam perlu membenarkan arak diminum penganut agama lain.
Alasannya kerana meraikan kebebasan hidup dan berpendapat. Digunakan hujah Islam turut meraikan perbezaan. Fiqh Ikhtilaf dijadikan modal. Sedangkan di dalam Islam, bukan semua khilaf diambil kira. Khilaf antara perkara qat'iy dengan zanniy tidak diterima. Khilaf orang awam dengan mujtahid tidak diterima. Banyak disiplin Fiqh Ikhtilaf yang perlu diperhalusi.
Neo-Teokrasi
Ironinya pendakwah yang menerangkan
kebenaran agama dengan hujah ilmiah seperti Dr Zakir Naik disekat pula.
Dr Zakir berhujah dengan logik dan ilmu, dan bersedia menerima hujah
pihak lain asalkan berpijak atas kaedah ilmu. Dan itulah tugas para
Nabi, mengkritik sembahan selain Allah dengan argumen-argumen logik
akal.
Kenapa tidak boleh meraikan pandangan Dr
Zakir Naik yang lebih menghormati akademik? Kenapa mudah pula hormat
pandangan pendukung LGBT yang kata tuhan terhasil dari getaran?
Secara halusnya inilah bibit Neo-Teokrasi. Menggunakan hujah Fiqh Ikhtilaf
sebagai cara memposisikan pandangan yang bukan dari fiqh Islam, tetapi
dalam masa yang sama menyekat pandangan yang bertunjangkan nas yang
asli.
Lebih parah apabila mereka menggunakan autoriti untuk mendiamkan segala pendapat lain, atas dasar taat waliyul amr. Inilah sebetulnya pihak mempergunakan agama. Ulamak suk!
Gerakan Islam turut terkesan
Neo-Teokrasi turut melanda gerakan
Islam. Bagi menghalalkan tindakan sesetengah pihak yang menyeleweng,
hujah adab berkhilaf digunakan. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka
yang tidak sebulu disekat habis-habisan atas alasan syadid, tidak wala',
perosak fikrah dan sebagainya. Diselimutkan dengan terma wala', taat,
thiqah dan husnu zhon, hinggakan korupsi yang berlaku turut dipaksa untuk ikut.
Sedangkan ketaatan hanya dituntut dalam
perkara kebaikan. Jika kemungkaran berlaku seperti korupsi dan rasuah,
kita dituntut untuk mencegah sehabis daya kemampuan. Tidak ada khilaf
dalam bab kewajipan nahi mungkar. Membela kemungkaran atas dasar satu jemaah adalah asobiyyah yang ditegah!
Cabaran petanda kemenangan semakin hampir
Segala masalah yang dibentang bukan
bertujuan untuk melunturkan semangat pejuang Islam yang ikhlas.
Sebaliknya supaya kita menyedari, bahawa inilah petanda Islam semakin
hampir menjulang kemenangan. Sudah menjadi sunnah perjuangan, semakin
dekat dengan menang, semakin mencabar ujian yang datang.
Musuh seolah-olah sudah terlalu terdesak
mencari senjata menyekat Islam. Kalau dulu mereka cuba merosakkan
fitrah beragama yang ada pada diri manusia dengan argumen-argumen
Sekularisme, Liberalisme dan Materialisme, sekarang mereka terpaksa
merosakkan fitrah berfikir manusia pula dengan post-truth.
Semakin mereka cuba melanggar fitrah, semakin jelas kebejatan mereka pada mata sekalian manusia.
Cari titik persamaan Islam-sains
Penentangan terhadap kewarasan dan
logika sudah tentu mengundang permusuhan daripada para ahli akademik dan
sains. Perkara ini perlu dimanfaatkan oleh ilmuwan Islam supaya
kerjasama dapat dibentuk dalam menghadapi musuh bersama. Cari titik temu
Islam dan sains. Buang persepsi bahawa Islam menentang sains.
Sekiranya didapati berlaku pertembungan
antara ajaran Islam dan penemuan sains, ianya mesti tidak lari daripada
tiga kemungkinan:
1. Kesahihan nas memerlukan saringan. Jika tiada masalah dari sudut status, maka
2. Kefahaman terhadap nas yang perlu diperbetulkan. Jika sudah benar-benar tepat, maka
3. Penemuan sains itu ada kesilapan.
Dan perkara ini biasa. Dunia akademik sudah mencatatkan beberapa
penemuan yang sudah diiktiraf sebagai fakta, boleh berubah selepas
penemuan terbaru diterokai.
Lahirkan lebih ramai sarjana Islam berkepakaran sains tulen
Paling baik adalah dengan melahirkan
sarjana Islam yang pakar dalam bidang sains tulen. Sarjana Islam yang
pakar dalam bidang sains sosial seperti politik, ekonomi, perundangan,
sejarah, psikologi, kepimpinan dan pentadbiran mungkin sudah ramai.
Tetapi yang pakar dalam bidang sains tulen seperti biologi, geologi,
kejuruteraan, astrologi, agri-culture dan perubatan masih di tahap minima.
Mutakhir ini, boleh dikatakan tiada
langsung sarjana Islam berkepakaran sains tulen. Apabila timbul masalah
hukum dari sudut perubatan sebagai contoh, Mujamma' Fiqh dan Majlis Ifta'
terpaksa memanggil doktor perubatan bagi menerangkan gambaran masalah
tersebut sebelum membina hukum. Jadi sarjana Islam sekadar mendapat
gambaran dari luar dan berdasarkan pemahaman doktor yang tidak memiliki
kepakaran agama. Sudah tentu dapatannya berbeza jika sarjana Islam yang
menjadi anggota sidang sendiri yang pakar dalam bidang tersebut
membentang kajian.
Keadaan ini berbeza di zaman
kegemilangan Islam dahulu, di mana sarjana Islam sendiri mahir dalam
berbagai ilmu sains, malah menjadi rujukan akademik dunia sehingga ke
hari ini.
Terus berjuang
Kesimpulannya, kuatkan semangat,
tabahkan hati, teruskan kesungguhan dan sentiasa perbaiki gerak langkah.
Sentiasa optimis dengan janji tuhan. Kemenangan sedang menunggu di
hadapan.
Kemenangan Islam hanyalah urusan masa.
Bila tiba masa yang ditetapkan, tiada siapa mampu menghalang. Tugas kita
hanya memenuhi syarat kemenangan.
حتى يأتي الله بأمره...
(ALANG IBN SHUKRIMUN)...............................................................................................................................................................
Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...
No comments