Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

PAS bawa Safarin kenal masyarakat

PENGLIBATAN dengan PAS menyebabkan beliau dapat mengenali masyarakat dengan lebih dekat. Bukan itu sahaja, melalui PAS jugalah beliau dapat mencurahkan tenaganya menabur bakti khususnya kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Bagi Mohd Safarin Baharom, yang bermula sebagai ahli PAS di PAS Cawangan Bandar Baru Bangi, PAS bukan hanya sekadar parti politik tetapi melangkaui ke segenap kehidupan masyarakat.
Melalui PAS jugalah menjadikan anak kelahiran Pendang, Kedah berusia 40 tahun ini semakin kental dan tidak mengenal lelah untuk terus bergerak menghulurkan bantuan walau dalam apa bentuk sekali pun.

“Saya sebelum ini sangat jahil tentang agama. Dari Pasir Gudang saya berpindah ke Bangi. Benarlah, Bangi terkenal sebagai bandar ilmu kerana surau dan masjid di sini sangat hidup dengan majlis ilmu.

“Di sini ramai orang baik dan minat kepada majlis ilmu. Jalan hidayah untuk saya muncul apabila saya bertemu dengan sahabat sekerja yang kuat menghidupkan program ilmu. Kebetulan tempat kerja saya sering mengadakan kuliah dan ceramah. Rupanya kebanyakan bos adalah pimpinan PAS kawasan dan bos besar saya bekas AJK PAS Pusat, iaitu Dato’ Dr Abdul Wahab Ismail,” ujarnya membuka cerita bagaimana beliau mengenali PAS.

Sejak dari itulah, beliau tidak berpaling lagi dan terus bersamasama dengan PAS . Justeru, setiap jawatan yang diberikan kepadanya dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan merupakan amanah yang cukup besar baginya.

Safarin merupakan bekas Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang dan kini diamanahkan sebagai Penolong Setiausaha Kerja Kebajikan Dewan Pemuda PAS Selangor dan Penolong Pengarah Sektor Aset Jabatan Amal Malaysia, Negeri Selangor.

Bercerita mengenai kerja-kerja kebajikan, tenaganya dan rakan-rakan bukan hanya terhad di Selangor tetapi hampir ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Bukan hanya misi bantuan banjir, beliau turut terlibat dalam program berkhatan dan memberi sumbangan kepada penoreh getah di Kedah dan Kelantan sewaktu harga getah jatuh.

Sepanjang beliau melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan, sehingga kini masih terbayang di matanya wajah-wajah penoreh getah yang menerima sumbangan beras daripada PAS. Mereka cukup terharu di atas keprihatinan PAS sehingga menyuruh anak-anak kecil mereka mengucapkan terima kasih.

“Hati merasa sayu dan cukup tersentuh apabila mereka bawa anak-anak kecil mereka, suruh berterima kasih kepada kami. Bagi mereka, sumbangan masyarakat dan keprihatinan yang ditunjukkan PAS itu sesuatu yang amat besar dan amat bernilai di saat mereka memang memerlukan makanan,”ujar Safarin.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini juga tidak dapat melupakan saat-saat cemas apabila beliau dan kontinjen Pemuda PAS Selangor terkepung dalam banjir dan terpaksa mengharungi air yang deras sewaktu misi bantuan banjir di Kelantan pada 2014.

Di awal banjir melanda negeri itu pada pertengahan Disember 2014, beliau bersama sahabatsahabatnya yang lain diarahkan oleh Pengarah Jabatan Amal Selangor untuk meninjau dahulu keadaan banjir.

“Seingat saya lima kenderaan 4x4 dari Selangor. Kami awalnya bergerak ke Kuala Krai menghantar sedikit keperluan dan terus ke Kota Bharu. Setelah selesai menghantar bantuan ke Kota Bharu, kami ke Rantau Panjang untuk menghantar bantuan ke situ.

“Saya menuju ke Jalan Panglima Bayu. Semasa jalan ke Panglima Bayu itulah air teramat deras dan semakin tinggi. Saya terpaksa juga mengharungi air sepanjang 10 kilometer. Perasaan takut tak tahu macam mana nak cakap. Sewaktu itu kami hanya bergantung kepada Allah sahaja,”ujarnya lagi.

Sepanjang banjir melanda negeri itu, beliau berulang alik sebanyak 11 kali untuk memberi bantuan di sana.

“Antara kejayaan kami dalam membantu mangsa banjir, kami berjaya membina sebuah surau di Hulu Temiang, Kuala Krai dan beberapa buah rumah untuk mangsa banjir di Kuala Krai melalui PAS kawasan,”katanya.

Mengakhiri perbualannya , Safarin menaruh harapan yang tinggi agar Allah terus memberikannya kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus menyumbang tenaga di dalam masyarakat dan terus bersamasama dalam perjuangan Islam.

No comments