Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Pemimpin PKR letak jawatan biro politik, bantah kerjasama dengan PAS


Oleh Amin Iskandar 

SEORANG pemimpin PKR meletakkan jawatan daripada biro politik sebagai membantah langkah parti itu meneruskan perbincangan untuk bekerjasama dengan PAS.

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, surat peletakan jawatannya sebagai ahli biro politik sudah dihantar kepada pucuk pimpinan PKR semalam.

“Saya tidak bersetuju parti meneruskan pendekatan bekerjasama dengan PAS apabila sudah jelas PAS sudah ada persetujuan dengan Umno,” kata Leong yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR

“Saya sudah berikan sebab-sebab mengapa saya tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS dalam surat peletakan jawatan saya.”

Leong bagaimanapun berkata, jawatannya sebagai ahli MPR PKR masih lagi kekal.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan partinya sudah menerima surat peletakan jawatan Leong sebagai anggota Biro Politik.

“Kami akan mencari jalan untuk cuba menyelesaikan masalah ini,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
PAS dalam muktamarnya di Alor Setar pada Mei lalu sepakat memutuskan kerjasama politik yang terjalin dengan PKR sejak 1999.

Bagaimanapun, PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.

Sebelum ini media melaporkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan Dr Wan Azizah itu dikeluarkan beberapa hari selepas beliau dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menziarahi Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang sedang berehat selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

No comments