Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Azmin bangkitkan soalan politik yang nakal

Oleh Subky Latif

TIBA-tiba Datuk Seri Azmin Ali mencetuskan satu soalan yang menggemparkan politik Umno khususnya Perdana Menteri Najib. Katanya, seorang menteri kanan hendak meletak jawatan.
      
Habis semua menteri kanan dan tak kanan bangkit menggomol Azmin. Dia ditempelak memfitnah kabinet dan menturalkan suatu yang dikatakan tidak masuk akal. Sambil menyangkal tiada siapa yang hendak meletak jawatan, mereka cabar Azmin menamakan menteri itu.
      
Kita pun tidak tahu Azmin berkata betul atau sekadar satu politik nakal bagi mencemperakan pimpinan Umno.
     
Tetapi tidak boleh ditolak ia satu kemungkinan. Jika menteri kewangan kedua Datuk Seri Husni yang tidak banyak cakap dan tidak banyak politik boleh memeranjatkan, bersedia digugurkan dari kabinet, mungkin ada lagi yang tidak suka jadi menteri dalam kelam kabut yang ada sekarang.
     
Kalau TS Muhyidin Yasin dan Datuk Seri Shafie Apdal boleh tidak seronok jadi menteri di bawah Najib, yang lain juga boleh. Mungkin Najib tahu ada lagi yang tidak senang dengannya, tetapi tidak mahu memecatnya dengan mengatakan Azmin sengaja berpolitik nakal.
      
Najib sudah pecat Muhyidin, Shafie dan Mukhriz. Pemecatan mereka menyebabkan terbentuk Bersatu. Ramai juga Umno luak. Mungkin tidak sampai 20,000. Jika Umno hendak menang sekarang dengan beberapa undi saja, tapi kalau luak beberapa ratus undi memungkin Umno kalah.
     
Jika Najib dan Zahid tahu ada menteri yang getik, nahaslah kalau dipecat lagi. Keutamaan Najib sekarang ialah mengepung menteri yang hendak lari. Kalau dipecat mereka seperti Muhyidin, Shafie dan Husni, nanti takut tiada siapa lagi yang tinggal.
    
Menteri yang hendak lari itu hanya Azmin yang tahu. Dia sebutkan kemungkinan itu pada Azmin. Azmin tidak ceritakan sebabnya.
     
Menteri boleh letak jawatan atas banyak sebab. Kesihatan tak mengizinkan. Tak mahu orang berpura-pura, tahu bersekongkol dengan penyangak politik atau tak percaya lagi pada Umno atau percaya pada Umno tapi  tak percaya pada Najib. Kerana Najib terlalu kuat dalam Umno, berada terus dalam kabinet bererti bersekongkol dengannya.
    
Mungkin menteri itu masih sayang pada jawatannya, tetapi jika dirasanya Umno dan Najib akan lingkup, baik dia keluar sebelum lingkup. Kalau kerajaan lingkup dulu, dia lingkup  sama.
     
Mungkin masa dia kata pada Azmin itu dia mabuk atau naik darah marah pada Najib. Lepas bercakap pada Azmin itu, Azmin turalkan kemungkinannya, pecah yang terbuku di hatinya, dia pun lapang, bersabar dan sejuk hatinya. Kerana hajatnya diberitahu Azmin saja, maka dia boleh batalkan hasratnya.
     
Sekadar baru hendak letak jawatan, dia belum tentu letak lagi. Dia boleh berhenti dan boleh batalkan hasratnya. Tetapi ia cukup baik untuk dipropagandakan.
     
Gempar yang dicetuskan oleh Azmin itu bagi Najib adalah satu musibah. Bila mendengarnya, dia wajar mengucapkan, ‘Inna lillah, wainna ilaihi rojiun.’
    
Ungkapan ini bukan sekadar terhadap kematian, tetapi  apa juga musibah wajar kata itu reaksinya. Selain ia tanda keredhaan atas kehendak Allah, ia adalah satu doa, moga-moga musibah itu diganti dengan yang lebih baik.
     
Politik nakal Azmin itu tidak disenangi oleh semua, kerana ia amaran musibah Najib, kabinetnya, kerajaannya dan Umno. Dengan menggomol Azmin moga-moga reda gelabah mereka. Untuk mengata  Azmin sudah hilang akal, tidak tepat kerana yang dia sebut itu adalah amaran bagi Najib, konco-konconya dan sekalian yang cari makan dalam Umno.

No comments