Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Mujahadah adalah wajib

Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 

SEORANG muslim wajib beradab dan bersopan santun sesama manusia, apatah lagi di hadapan Allah dan rasul-Nya sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda diutuskan untuk menyempurnakan adab dan akhlak. Akhlak dan adab sudah pun terbina sejak sekian lama dalam kehidupan manusia. Tinggal lagi adalah penyempurnaannya oleh baginda.

Maka Islam menyanjung tinggi kesempurnaan akhlak. Siapa pun yang mencapai kesempurnaan akhlak pada dirinya melalui usaha dan mujahadah berterusan, maka dia telah memperolehi kejayaan hidup tertinggi dan pastinya akan beroleh ganjaran terbesar di sisi Allah nanti. Ia termaktub kukuh di dalam ayat-ayat al Quran dan sunnah nabawiyah.

Sebahagian kita adalah sebaliknya. Semakin tua semakin tidak berakhlak. Seolah-olah akhlak itu hanya pilihan. Perkara sunat sahaja, bukan kewajiban. Akhlak hanyalah untuk diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Di universiti, semua bebas dengan pilihan masing-masing.

Justeru dengan kefahaman yang salah itu, ramai menjadi samseng dan sombong di hadapan agama sendiri. Bercakap perihal ugama seolah-olah mereka ada lesen untuk mengulas apa sahaja mengikut kehendak dan kefahaman mereka. Apabila lagi bila berhadapan sesama manusia. Mereka hilang adab terhadap terhadap para ulamak dan guru, orang tua dan ketua kaum serta rakan dan taulan.

Walaupun seseorang itu adalah muslim, Allah menolak untuk terus menggelarkannya sebagai seorang yang beriman. Allah menuntut Nabi Muhammad SAW membuat teguran terbuka terhadap arab badwi yang baru memeluk Islam dan berkata, "Kami telah beriman." Hakikatnya mereka hanya muslim dan belum layak menggelar diri sebagai mukmin. "Katakanlah kepada mereka, kamu belum pun beriman. Tetapi ucaplah, kami telah menjadi muslim, manakala iman itu belum lagi masuk (mengukuh) di dalam hati kamu." - (al-Hujurat:14)

Allah menuntut muslim bergerak dengan ilmu dan amal untuk menuju iman. Anda jahil, anda sukar menjadi mukmin. Anda enggan beramal soleh, anda sukar menjadi mukmin. Anda hanyalah seorang muslim. Jika anda mendakwa lebih, Allah menolak anda ke tepi. Anda belum berhak bercakap lebih mengenai Allah dan ugama-Nya. Jangan berlagak sombong di hadapan Allah, rasul-Nya dan ugama-Nya.

Adabnya, anda mesti menuntut ilmu Islam dan anda mesti menambahkan amal soleh dan ketaatan dalam kehidupan. Kedua-duanya akan mengukuhkan iman di dada. Menuntut ilmu dan beramal soleh adalah satu mujahadah. Orang yang menyombong, tidak beradab dan tidak berakhlak di hadapan para guru dan ulamak akan gagal memperolehi ilmu yang bermanfaat dan akan keras jiwanya untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Ia akan kekal sebagai muslim yang belum pun beriman.

Seorang muslim yang enggan berusaha menangga ke tangga iman akan berdepan musibah nifak dan menipu diri sendiri. Syaitan dan segala musuh Allah akan menyerbu ke arahnya untuk
memesongkannya daripada ajaran Islam. Tanpa ilmu dan amal, ia hilang kesedaran terhadap tipu daya musuh. Akhirnya dia dihiasi dengan perasaan dan anggapan bahawa dia telah baik Islamnya.

Dia merasakan dia setaraf orang-orang yang beriman. Islam dan imannya telah sempurna.
Hakikatnya, dia tertipu dan sedang menipu dirinya sendiri. Dia sentiasa di ambang menjadi seorang munafik yang dimurkai Allah.

Bahkan, sebagaimana anda mesti beradab untuk memperolehi ilmu, anda juga perlu beradab dengan ilmu sebaik memperolehinya. Ilmu hakikatnya akan menjadikan kita semakin tunduk dan beradab. Apabila anda menjadi angkuh dengan ilmu dan menggunakannya untuk menunjuk-nunjuk kealiman dan berjidal untuk menonjol diri, anda hakikatnya dibuang daripada dunia sebenar manusia yang dikurniai ilmu dan iman.

Ilmu dan iman membawa kepada taqwa dan syukur. Apabila sebaliknya berlaku, ia adalah kesilapan anda. Anda tidak ikhlas. Ikhlas adalah hubungan dua hala antara anda dan Allah. Di luar anda dilihat sebagai alim yang hebat. Tetapi di dalam dan di laluan sunyi itu, hubungan anda dan Allah adalah rosak dan hancur. Anda tidak ikhlas kepada Allah, lalu Allah menghancurkan hubungan antara-Nya dan anda. Takutilah.

Ia adalah tuntutan terhadap orang yang telah pun beriman. Walaupun telah beriman dan yakin kepada Allah dan ugama-Nya, musuh tetap menyerbu ke arahnya menipu dan memperdaya. Jika ia enggan lagi bermujahadah, ia akan mundur ke belakang lagi dan jatuh ke lembah nifaq dan fasiq. Ia adalah orang-orang yang beriman menuju taqwa.

Berapa banyakkah yang anda ingat ayat seperti ini di dalam al Quran, "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah."? Banyak bukan? Apa maksudnya? Ya, ia adalah seruan Allah kepada orang-orang beriman yang dicintai-Nya agar terus maju menuju Allah tanpa henti. "Maka bertaqwalah kepada Allah seupaya kamu.." Ya, ia adalah seruan kepada mujahadah yang berterusan tanpa henti.

Menuju taqwa dan ikhlas memerlukan adab yang lebih tinggi. Semakin hati khusyuk menghadap Allah di tikar sejadah atau di sejadah kehidupan, semakin akhlak dan adab mewarnai kehidupan dan semakinlah anda berimpian untuk memakainya sebagai hiasan diri. Adab dan akhlak adalah pakaian orang-orang yang bertaqwa, bersyukur dan ikhlas kepada Allah.

Tiada syak lagi bahawa Islam adalah benar ketika ia mewajibkan akhlak dan adab yang mulia ke atas penganutnya. Muslim tanpa adab dan akhlak adalah seperti pokok tanpa daun, bunga dan buah. Ia kosong tanpa manfaat. Ya, manfaatnya adalah batangnya sahaja. Ia perlu ditebang dan dibuang daripada kebun hijau yang menuntut keuntungan dan kejayaan.

Justeru Islam bukanlah dakwaan. Jika mendakwa, ia adalah wajah kepalsuan. Islam adalah mujahadah. Mujahadah dan usaha bersungguh-sungguh itulah yang akan mengurniakan anda dengan gelaran-gelaran yang benar. Ia adalah kurniaan Allah kepada para hamba-Nya yang menuruti arahan dan pengajaran daripada-Nya. Ia adalah satu kelebihan yang nyata untuk para hamba-Nya.
Hari ini kita berhadapan dunia Islam yang penuh penyakit dan kecacatan. Kejahilan melata dan kesombongan dan dakwaan kosong merata-rata.

Apabila anda melihat para ulamak diperlekeh dan ditinggalkan, ia adalah tanda perlecehan terhadap adab dan akhlak. Para ulamak suatu masa dituduh gila, mengarut, melampau dan jahat. Tetapi pada masa yang lain, para ulamak ditukar pula gelaran sebagai orang-orang yang berlagak suci dan memandang kotor kepada semua manusia. Semuanya adalah tanda zahir hilangnya akhlak dan adab yang mulia.

Ia lahir daripada muslim yang enggan belajar dan beramal. Jika dia berilmu, dia enggan memperkayakan dirinya dengan sifat ikhlas dan taqwa. Dia dibelit sifat-sifat buruk di dalam diri akibat keengganannya bermujahadah membina dirinya sendiri dengan mengikuti arahan-arahan dan pengajaran-pengajaran yang benar daripada Allah.

PAS menganjurkan para ahli agar terus belajar dan bermujahadah membina diri dengan kefahaman yang benar terhadap Islam dan mengamalkannya di dalam kehidupan. PAS menuntut ahli dan penyokongnya agar ikhlas berjuang di atas landasan agama yang benar.

Adapun serangan-serangan terhadap PAS dengan gelaran-gelaran yang buruk, maka PAS yakin ia hanyalah sebahagian cabaran yang mesti dilalui. Penawarnya adalah kesabaran dan dakwah yang berterusan ke arah membina umat yang bertaqwa. Semoga Allah memberkati umat Islam seluruhnya menuju kejayaan dunia dan akhirat.

No comments