Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Pemimpin Terengganu tunggu Najib, ketegangan PAS-Umno negeri reda

Oleh

PADA persidangan perwakilan yang boleh dianggap pertemuan terakhir sebelum pilihan raya umum diadakan, mereka sepatutnya bersungguh-sungguh menentang PAS.

Tetapi kesungguhan berapi-api yang selalunya ditujukan kepada musuh tradisi mereka itu tidak kelihatan di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kali ini.
Walaupun begitu masih wujud sedikit kritikan dan kecaman yang ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH), kini diterajui bekas Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad yang turut berada di Kuala Terengganu hujung minggu lepas.

Perubahan dalam Umno Terengganu ini memberi petunjuk awal bukan sahaja tentang hubungan mesra antara Presiden Umno Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, tetapi juga petanda yang memberi gambaran kedua-dua parti orang Melayu itu akan bekerjasama menentang PH pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Jailani Johari berkata, kekurangan kecaman terhadap pembangkang adalah disebabkan perwakilan kini menumpukan usaha mereka untuk membina perpaduan dalaman parti yang kini perlu bersedia menuju ke pilihan raya umum akan datang.

“Apa sahaja kerjasama antara Umno dan parti politik lain di masa depan sebaiknya ditentukan presiden. Tidak kiralah kita bersendiri atau apa sahaja, Umno akan kekal kuat dan optimis, seperti selalu,” kata Johari yang tidak menolak idea bekerjasama dengan PAS.

Johari yang juga merupakan timbalan menteri komunikasi dan multimedia memberitahu yang pemimpin Umno mahukan akar umbi parti untuk memberikan tumpuan penuh kepada pilihan raya umum dan bukannya pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember depan.

Ini bagaimanapun tidak menafikan terus yang Umno dan PAS mungkin akan bekerjasama walaupun tidak secara rasmi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Parti serpihan PAS, Amanah berkata yang wujud khabar angin PAS sedang merancang untuk meletakkan calon mereka di kerusi yang tidak mungkin dimenangi mereka bagi mewujudkan pertandingan tiga penjuru seterusnya memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Menyentuh hal ini, Johari berkata perkara itu akan diputuskan presiden parti, Najib.

Pada persidangan perwakilan, kedua-dua Ketua Bahagian- Ahmad Rasif Abdul Rahman (Kuala Nerus) dan Mohd Sabri Alwi (Kuala Terengganu)- berjanji untuk menang di semua lima kerusi dalam kawasan mereka.

Kedua-dua bahagian itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod cemerlang, hanya mampu mengekalkan satu kerusi dan hilang lapan daripada 10 kerusi negeri dan persekutuan kepada PAS pada pilihan raya lalu. Satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Bandar pula dimenangi Azan Ismail daripada PKR.

Satu-satunya kawasan yang berjaya dikekalkan kedua-dua bahagian ini dalam kekalahan besar Pilihan Raya Umum 2013 adalah milik Menteri Besar Terengganu Ahmad Rasif di Seberang Takir yang berada di bawah Parlimen Kuala Nerus.

Seberang Takir yang menempatkan kem tentera terbesar di Terengganu tidak pernah berjaya dirampas pembangkang.

Walaupun begitu, Johari berkata mereka masih yakin boleh melakukan lebih baik di Terengganu pada PRU14. Umno mensasarkan lapan kerusi Parlimen di negeri itu. Ia kini memiliki empat kerusi Parlimen- Hulu Terengganu (Johari), Besut (Idris Jusoh), Setiu (Che Mohamad Zulkifly Jusoh) dan Kemaman (Shabery Cheek).

“Pembangkang akan cuba nasib mereka untuk dapat lebih banyak kerusi negeri, tetapi saya percaya dengan rekod kami selama ini, pengundi akan mampu melihat yang hanya Umno penyelamat mereka,” katanya.

https://susukunyitplus.blogspot.my/
Pendirian sama diulangi Naib Ketua Kuala Nerus Apli Yusoff yang berkata keputusan untuk bekerjasama atau tidak dengan PAS terletak kepada kepimpinan pusat.

“Ini keputusan peringkat tinggi…tetapi kami amat rapat dengan PAS sekarang. Kami akan patuh kepada keputusan presiden,” kata Apli

“Tetapi di akar umbi, lain cerita. PAS dan Umno ada pengikut tegar mereka dan tidak semua akan ikut keputusan itu,” katanya lagi.

Dia juga menyalahkan krisis dalaman yang dianggap punca kepada prestasi buruk PRU13.
Sejak 2008, jawatan menteri besar Terengganu bertukar tangan sebanyak tiga kali, salah satunya mencetuskan konflik antara kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi perdana menteri ketika itu dengan pihak istana.

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin enggan memperkenan pelantikan Idris Jusoh yang merupakan pilihan Abdullah sebagai menteri besar. Sebaliknya, Sultan Mizan melantik Ahmad Said yang menerima sokongan sebahagian ahli Umno dan Adun PAS.

Konflik itu hanya berjaya diselesaikan pada 26 Mac 2008, sehari selepas Ahmad Said memulakan tugas rasminya selepas Abdullah tunduk kepada keputusan istana.

Bagaimanapun, Ahmad Said meletak jawatan pada 2014 yang membuka jalan kepada Ahmad Rasif untuk dilantik sebagai menteri besar. Ahmad Said dilaporkan bersetuju untuk berundur setahun selepas Pilihan Raya Umum 2013.

Khabar angin yang sama turut bertiup, mengatakan Menteri Besar Ahmad Rasif juga akan berundur bagi memberi peluang kepada orang lain selepas PRU14.

BN kini memegang majoriti tipis dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu yang mempunyai 32 kerusi. 17 kerusi milik PAS dan PKR memiliki satu kerusi.

No comments