Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Sampai bila anak tahfiz terus dieksploitasi?

Oleh Arif Atan

Di sebuah pusat tahfiz di Kuantan, Pahang, 21 pelajar lelaki berumur antara 10 hingga 17 tahun menjadi mangsa jenayah seksual sejak Ogos tahun lalu.

Enam daripada 21 pelajar tersebut diliwat, malah salah seorang daripada mereka dipaksa melakukan perbuatan itu kira-kira 10 kali.

Si penjahat yang akhirnya ditangkap polis 12 Mac lepas itu bukanlah orang lain. Dia aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di pusat tahfiz itu sejak tahun 2015 lagi.

Hampir setiap hari si pedofilia sejenis berusia 41 tahun itu ke pusat tahfiz tersebut. Ibarat sudah jadi seperti rumah kedua. Tidak hairan jumlah 'korban' menelan 21 orang! Mengikut kata pemilik pusat tahfiz itu, "Dia (Penjenayah seks) juga banyak berubah termasuk sudah belajar solat serta mengaji". Luaran saja. Lakonan.

Angkara si bedebah itu terbongkar apabila salah seorang tenaga pengajar ternampak suspek cuba masuk ke dalam selimut salah seorang mangsa yang sedang tidur di dalam asrama akhir Februari lepas.

Selepas disoal siasat, dengan beratnya terpaksa pelajar itu mengaku: Lelaki itu meliwatnya! Bahkan, si penjahat itu sering membawa pelajar tahfiz pulang ke rumahnya tanpa pengetahuan pengurusan maahad.

Laporan polis pada 12 Mac itu juga menyebut mangsa mula diliwat di sekitar kawasan asrama dan kediaman suspek di sebuah taman perumahan di Kuantan.

Kita juga tentunya tidak lupa kontroversi menyelubungi pusat tahfiz milik seorang ustaz penceramah TV tersohor pada 2016 apabila beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz itu mengadu mereka dicabul dan diliwat.

Malangnya, reaksi Ustaz pemilik maahad itu mengundang kontroversi apabila mendakwa selebriti Wardina dan aktivis Syed Azmi yang menghebahkan jenayah itu sebagai cubaan untuk memfitnahnya!

Kejahatan itu terbongkar pun selepas seorang budak berusia 9 tahun bersuara. 'Hang Nadim' ini bersuara kepada seorang guru selepas mengaku dia bencikan sekolah itu lantaran dicabul!
Bayangkan, tahap trauma kanak-kanak pada usia 9 tahun menjadi mangsa nafsu serakah di tempat yang bukannya di pusat pelacuran Chow Kit.

Tiga budak lagi lari dari sekolah itu kerana tidak sanggup terus menjadi hamba seks guru di pusat tahfiz itu.

Walaupun berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), urusan pentadbiran dan pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya maahad yang terletak di Ipoh itu. Itu, berdaftar. Kalau yang tidak berdaftar, lagilah langsung tiada jaminan apapun!

10 rakaman percakapan telah pun dibuat daripada pelajar, pengadu kepada pelajar yang menjadi mangsa dan pengurusan maahad tahfiz. Meneliti modus operandi kes itu begitu menjolok mata!
Pelajar diminta mencium mulut 'Abi' atau guru di hadapan semua penghuni asrama setiap malam sebelum tidur selain pelajar turut diraba dan jika melawan akan disindir, 'Awak disisihkan ibu bapa, sebab itulah awak dihantar ke sini. Awak ini nakal.'

Nampak? Emosi dan psikologi kanak-kanak itu jelas dieksploitasi ketika trend sebahagian ibu bapa penjaga Melayu mutakhir ini yang mereka sendiri pun buta Quran, sembahyang fardu tak lengkap tapi 'gila' menghantar anak ke pusat tahfiz lantaran berebutkan ganjaran pahala untuk diri sendiri!
Bahkan, di maahad itu pelajar dipaksa memberi dan menerima seks oral dengan ugutan supaya segala perlakuan itu dirahsiakan. Sungguh keji kerana salah laku seks itu bukan berlaku di sekolah budak pemulihan akhlak!

Di sebuah pusat tahfiz di Taiping, Perak pada tahun 2014 pula tidak kurang tragisnya. Seorang guru berusia 23 tahun sanggup menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang ketika itu dalam perjalanan ke surau sebelum dibawa ke bilik tidurnya.

Tidak cukup sekali. Dua kali guru itu meliwat pelajar malang itu! Gila! Tiga tempoh waktu dicatatkan dalam tiga kejadian berasingan pada Julai dan Ogos 2014 iaitu 1.30 pagi, 6.30 pagi dan 3.30 petang.
Sudahlah meliwat, diajarnya pula budak itu RASUAH! Guru itu memberi wang sogokan RM80 supaya pelajar berkenaan menutup mulut. Dalam kejadian kedua dan ketiga, mangsa cuba melawan tetapi diugut pukul.

Jenayah seksual terhadap anak-anak tahfiz selain tidak harus dilupa insiden 21 pelajar dan dua orang warden maut September tahun lepas akibat terperangkap dalam kebakaran di premis yang tiada ciri keselamatan dibimbangi akan berulang jika ibu bapa sendiri tidak ambil peduli nyawa dan maruah anak mereka.

Sampai bila anak tahfiz harus terus dieksploitasi semata-mata ibu bapanya pentingkan ganjaran pahala hasil pengorbanan maruah dan masa depan anaknya?

Itu belum lagi kes penindasan ke atas pelajar tahfiz yang disuruh merayau mengemis simpati masyarakat meminta derma atau membeli produk atas nama pusat tahfiz.

Apatah lagi, sekiranya anak sudah terbukti menjadi mangsa nafsu serakah bergelar 'Abi' atau 'Ustaz' tetapi keluarga mangsa sendiri bersikap takut untuk mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Maka, senyum sampai telingalah 'syaitan' bergelar Ustaz untuk terus menjahanamkan hidup anak-anak yang saban tahun masuk ke 'neraka' bernama maahad tahfiz.

No comments