Lombok sebahagian daripada kita
Oleh DR SUHAZELI ABDULLAH
 TIADA yang istimewa di 
tanah bekas jajahan Belanda ini kecuali paduan panorama pantai Malibur 
dan Gunung Rinjani yang memukau. Kecantikan faunanya hampir ranap 
setelah gempa bumi berskala 6.4 magnitud pada 29 Julai lalu. Diikuti 
dengan lima lagi rauman gempa susulan dengan skala yang kuat. Sekali gus
 menjadikan rakyat Lombok yang belum pernah diganggu  gempa berada dalam
 keadaan trauma.
Saya berusaha sampai di bumi Lombok ini 
setelah lebih dua bulan kejadian gampa bumi terjadi. Kerja amal ini 
tidak putus walaupun kerajaan Indonesia mengisytiharkan fasa menyelamat 
bencana berakhir pada 25 Ogos lepas.
Kerajaan Indonesia telah membuat kenyataan rasmi bahawa fasa pemulihan (rehabilitation)
 bermula, namun menghadkan jumlah pasukan luar yang datang untuk 
membantu. Mungkin atas sebab-sebab sosiopolitik, sekatan ini dikenakan.
Pun begitu rakan NGO kami daripada PKS 
menyatakan semakin banyak santunan yang wajib mereka dilakukan. 
Kerja-kerja pembersihan, pemeriksaan kesihatan, bantuan makanan asas dan
 pembinaan semula kehidupan rakyat Lombok harus diteruskan. Relawan PKS 
sudah hampir dua bulan berkampung di setiap penjuru Lombok. Boleh 
dikatakan setiap Posko (Pusat Operasi Bencana) yang dibangunkan oleh PKS
 terdapat 10 orang relawan.
Lombok adalah salah satu dari tiga pulau
 utama di bawah penguasaan pentadbiran Nusa Tenggara Barat Indonesia. 
Pulaunya sejajar dengan Bali dan Sumbawa. Tetapi tiga juta daripada lima
 juta penduduk bangsa Sasak ini tertumpu di Pulau Lombok. Ini kerana 
mungkin Pulau Lombok lebih nyaman dan mendamaikan. Sesuai dengan gelaran
 Negeri Lombok adalah negeri Sejuta Masjid dan Sejuta Maling.
Majoriti penduduknya adalah muslim. 
Apabila masuk waktu solat, laungan azan akan bertali-talian. Sesiapa 
sahaja yang hadir di bumi Lombok ini akan termaling (curi) hatinya. Di 
samping keindahan bahasa yang digunakan, rakyatnya amat penyantun.
Seluruh kepulauan Indonesia terletak 
dalam Lingkaran Api Pasifik. Dengan makna, bila-bila masa sahaja titik 
tumpu gunung merapi boleh meletus dan akhirnya boleh mengakibatkan gempa
 bumi dan tsunami.
Berlakunya siri gempa bumi di Lombok dan
 Sulawesi ini akan memberi kesan iklim yang buruk seluruh dunia. Manusia
 secara keseluruhannya dijangka akan menghadapi perubahan cuaca yang 
melampau. Pergerakan angin dan arus lautan juga terkesan sehingakan 
bongkah ais di kutub dunia akan mencair.
Kehadiran kami seramai 18 orang 
sukarelawan gabungan terdiri daripada Yayasan Amal Malaysia Cawangan 
Kelantan dan Perlis, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia 
(Papisma), wakil daripada Iman Care, Warga Cakna dan beberapa NGO lain 
lagi bertujuan menyampaikan sedikit bantuan yang telah diamanahkan untuk
 santunan rakyat Lombok.
Seperti yang dijanjikan, kami tiba di 
Lombok Tengah, Barat, Timur dan utara selama tiga hari berturut-turut 
itu dengan bekalan makanan harian. Saya, Dr Zuraizi Jaafar dan Dr Afiq 
Fahimy mewakili Papisma juga turut membuat rawatan kesihatan sekadar 
mampu. Terima kasih kepada pihak PKS yang telah pun menyediakan 
keperluan ubat-ubatan kepada mangsa kejadian gempa. Bekalan ubatan yang 
telah tersedia itu digunakan untuk rawatan pesakit.
Namun, hasil daripada penilaian yang 
dilakukan, mereka sudah tiada rintihan yang ketara tentang penyakit 
fizikal. Sakit badan, sakit sendi itu tidak terlalu mendesak kehidupan 
mereka. Begitu juga dengan luka kecil, demam selsema dan rengat seluruh 
badan tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup.
Penyakit fizikal ini berlaku mungkin 
kehidupan yang tidak menentu, siang hari penuh dengan kerja-kerja 
pembersihan puin-puin bangunan yang roboh, badan mereka sakit sana sini.
 Jauh dalam renungan anak mata setiap penduduk Lombok ini sama ada tua 
mahupun muda, adalah kerencaman dan apakah kesudahan nasib hidup mereka 
pada masa mendatang.
Mereka seolah-olah putus harap dengan 
pihak lain yang hanya datang untuk mengolah ceria serta cerita bahagia 
yang sementara. Kemudian selfie sana sini dan lambai pulang ke negeri 
masing-masing. Tiada satu kata jaminan ajaib yang membolehkan mereka 
bangkit semula daripada trauma gegaran gempa ini. Apa lagi yang harus 
kita lakukan?
Akhir sekali, Saudara Abdul Hamid Seman,
 Pengerusi Yayasan Amal Cawangan Kelantan mengucapkan terima kasih 
kepada semua rakan-rakan relawan yang terlibat. Yayasan Amal Malaysia 
hanya sebagai perantara.
Kejayaan misi kemanusiaan selepas gempa 
bumi ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak termasuk para 
penyumbang tabung kemanusiaan gempa bumi Lombok. Beliau meletakkan azam 
untuk terus mengatur pelan bantuan ke Palu, Sulawesi yang baharu sahaja 
berlaku gempa bumi dan tsunami.
Catatan misi kemanusiaan #CintakuDiBumiLombok 2018.
Dr Suhazeli Abdullah Kg Senggigi, Lombok Tengah
1.10.2018






No comments