Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Kempen PRK PD: PH tidak guna jentera kerajaan

PORT DICKSON, — Kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak menggunakan sebarang jentera kerajaan seperti yang didakwa calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi PRK ini, tiada pimpinan PH yang mengerah jentera kerajaan atas kapasiti sebagai menteri contohnya, untuk berkempen di sini.

“Apa yang tidak boleh ialah contohnya saya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, menganjur kempen harga patut di sini dengan mengerahkan jentera kementerian dan buka khemah selama seminggu.

“Kempen kami tidak menggunakan jentera kerajaan sama sekali malah jentera kami selama 20 tahun sebelum ini pun tidak bernaung di bawah jentera kerajaan namun kami dapat membentuk kerajaan,” katanya dalam sidang media mengumumkan kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad ke program ceramah pada Isnin ini.

Saiful sebelum ini mendakwa ada calon PRK Parlimen Port Dickson menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen sekaligus melanggar kandungan ikrar menyokong pilihan raya bersih dan adil.

Mengulas mengenai dakwaan Saiful bahawa ada calon menggunakan masjid untuk berucap kononnya sebagai tazkirah, Saifuddin berkata perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan kerana dalam beberapa keadaan calon perlu berbuat demikian.

“Bila kita pergi masjid kadangkala jemaah kenal kita dan meminta kita memberi tazkirah selama lima minit dan sebagai orang Islam kita patut memberi peringatan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata atas semangat itu, adalah tidak tepat jika menganggap semua ucapan yang dilakukan di dalam masjid adalah kerana politik.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pimpinan utama PH akan hadir dalam program ceramah oleh Dr Mahathir bagi kempen PRK Parlimen Port Dickson pada 8 Okt ini di Tapak Ekspo PD Gateway Batu 6 Port Dickson, pukul 8.00 malam.

Beliau berkata, yang dijadualkan hadir ialah calon PH bagi PRK Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu manakala parti DAP akan diwakili sama ada oleh Penasihatnya Lim Kit Siang atau Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng. — Bernama







No comments