Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Boleh jadi PM walaupun dalam penjara, kata bekas ketua hakim

PETALING JAYA: Bekas ketua hakim negara hari ini menyertai perdebatan mengenai “pengampunan penuh”, “pengampunan bebas” dan soal pesalah menjadi wakil rakyat, selepas kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertikaikan PAS Jumaat lalu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata “pengampunan penuh” tidak cukup untuk membatalkan larangan berpolitik 5 tahun ke atas Anwar, kerana pemimpin PKR itu masih perlu “pengampunan bebas” untuk membolehkan dia layak menjadi wakil rakyat.

Tun Abdul Hamid Mohamad bagaimanapun berkata asalkan kehilangan kelayakan seseorang itu dibatalkan, maka orang itu boleh bertanding dan menjadi seorang ahli Parlimen walaupun dia terus menjalani hukuman penjara.

“Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merujuk kepada Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Agong.

“Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3),” katanya.

Beliau juga berkata Agong tidak perlu membatalkan kehilangan kelayakan atas nasihat Lembaga Pengampunan kerana lembaga tersebut ditubuhkan untuk tujuan pengampunan sahaja.

“Sama ada Agong perlu melakukannya atas nasihat perdana menteri adalah satu perkara lain,” katanya.

Hamid dalam penjelasannya berkata berbagai jenis pengampunan boleh diberi bawah Perkara 42 Perlembagaan tetapi perkara tersebut tidak mengaitkan pengampunan dengan kelayakan seseorang.

Soal kelayakan disebut dalam Perkara 48, yang menyatakan seseorang itu hilang kelayakan jika “tidak mendapat pengampunan bebas”.

“Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Agong,” kata bekas ketua hakim negara itu.

Beliau seterusnya berkata hanya mahkamah boleh mentafsirkan sama ada “pengampunan bebas” (free pardon) dalam Perkara 48 itu sama dengan “pengampunan” (pardon) yang disebut dalam Perkara 42.

“Apakah ertinya ‘pengampunan bebas’? Ini tidak ditafsirkan. Bolehkah ia disamakan dengan ‘pengampunan penuh’? Ini adalah tugas mahkamah untuk mentafsirkannya,” kata Hamid.










No comments