Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Ustaz Ahmad Shah aplikasi ‘seni perniagaan’ dalam politik

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

BERKELULUSAN B.A (Hons) Syariah dan Perundangan dari salah sebuah universiti di Jordan dan mempunyai Sarjana Pentadbiran dan Pendidikan tidak meletakkan dirinya rasa bangga atau lebih daripada orang lain.

Beliau yang dimaksudkan itu ialah Ustaz Ahmad Shah Muhammed yang tidak asing lagi bagi warga Bandar Kuala Terengganu serta masyarakat Tionghoa di Kampung Tiong, Kampung Cina dan sekitarnya.

Beliau diamanahkan PAS mengetuai Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar sejak tiga penggal lalu, selain memegang jawatan sebagai AJK PAS Kawasan Kuala Terengganu dan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Kuala Terengganu. Terengganu, Ustaz Ahmad Shah mula mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Nilam, Sekolah Menengah Tengku Bariah dan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Dilahirkan pada 8 Jun 1968 di Kampung Hiliran, Kuala Terengganu, Ustaz Ahmad Shah mula mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Nilam, Sekolah Menengah Tengku Bariah dan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Selepas itu, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun(ketika itu Institut Teknologi Mara) dan memperolehi Diploma Pengajian Perniagaan pada tahun 1989.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Jordan pada tahun 1992 hingga 1996. Kemudian beliau pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian dalam bidang sarjana di Universiti Putra Malaysia.

Ustaz Ahmad Shah juga sempat berkhidmat selama hampir empat tahun (1997-2000) di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.


Ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu, beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Pegawai Agama dan Latihan di TDM Plantation Sdn Bhd Terengganu, sebelum ditukarkan menjadi Ketua Pegawai Agama di Syarikat Golden Pharos Berhad dari tahun 2001-2004.

Hasil perkongsian hidupnya bersama Norizan Ngah, 49, yang juga seorang guru telah dikurniakan enam cahaya mata terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan.

Selepas kerajaan PAS dijatuhkan pada pilihan raya 2004, nasib yang sama turut dialaminya serta ditendang keluar daripada berkhidmat dengan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Bermula tahun 2005, Ustaz Ahmad Shah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan memiliki sebuah kedai emas di Bandar Kuala Terengganu. Bidang perniagaan mempunyai banyak pengalaman yang boleh diadaptasikan dalam bidang politik.

Katanya, dalam bidang perniagaan mempunyai banyak kawan yang melatih diri bagaimana mahu mengikat tali persahabatan.

“Dalam perniagaan kita akan dapat temui ramai kawan-kawan yang sebelum ini kita tidak kenal mereka. Kita kena belajar bagaimana mahu berinteraksi dan mengikat mereka itu untuk menjadi kawan sejati.

“Kita akan lebih kenal peribadi seseorang dan akhirnya menjadi seperti ahli keluarga kita kerana hubungan yang baik antara satu sama lain.

“Itulah dinamakan seni dalam perniagaan dan perkara yang sama juga saya cuba buat dalam politik PAS seperti ‘Politik Matang dan Sejahtera’ itu amat sesuai masa sekarang,” ujarnya ketuka ditemui Harakah, di Jalan Banggol, Kuala Terengganu, 1 Februari lalu.

Menurutnya, ilmu berkomunikasi dan berkawan dalam perniagaan diterjemahkan pula dalam politik bermasyarakat ini.

Ketika ditanya, apakah dalam politik yang diceburinya itu beliau mempunyai pengalaman pahit dan manis bersama PAS, katanya semua manis-manis belaka.

Katanya, segala pengalaman pahit dan kedukaan dalam PAS adalah suatu ‘kemanisan’ dalam perjuangan Islam ini.

“Pada saya, yang pahit, yang susah, yang duka itu sebenarnya ‘manis’ dalam perjuangan Islam ini. Saya tak rasa susah itu satu bebanan tetapi ujian yang Allah SWT berikan untuk angkat darjat hamba-Nya.

“Memang dalam perjuangan Islam, akan ada ujian, mehnah dan kesusahan. Tapi, kita kena sabar dan ikut atau wala’ dengan arahan pimpinan parti, baru kita selamat.

“Sebab itu, pada saya pengalaman berjuang Islam dalam PAS ini semuanya rasa manis-manis belaka jika kita letak buat kerana Allah SWT,” jelasnya.

Beliau juga berpandangan penduduk Bandar termasuk kaum Tionghua boleh menilai politik ini dengan baik serta tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang disebarkan.

“Kita (PAS) buat kerja, utamakan kebajikan rakyat, bantu golongan susah yang berpendapatan rendah, insya-Allah... mereka (rakyat) tahu parti mana yang boleh diharapkan.

“Saya juga melihat kita (PAS) boleh pergi jauh dalam hubungan dengan masyarakat Tionghua kerana kita tidak perkauman. Politik rasuah dan penyelewengan tidak diamalkan dalam PAS,” tegasnya.

Jika sebelum ini, kata Ustaz Ahmad Shah, semasa PAS bersama dalam Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR dan DAP, peranan menarik sokongan pengundi Cina banyak dimainkan oleh DAP serta nonmuslim dalam PKR.

Tetapi hari ini, katanya melihat perkembangan politik semasa masyarakat Tionghoa yang dahulunya dikatakan ‘tawar’ dengan PAS, kini telah kembali pulih.

Beberapa siri program menyambut Tahun Baharu Cina PAS dengan masyarakat Tionghua di Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu, Besut dan Setiu telah menjernihkan suhu ‘panas’ tersebut.

“Hari ini setelah kita (PAS) berpisah dengan DAP, kita buat sendiri kerja menarik sokongan pengundi Tionghua. Kita bina jambatan melalui DHPP (Dewan Himpunn Penyokong PAS) sebagai penghubung.

“Saya dilantik oleh PAS Terengganu untuk menerajui Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Kuala Terengganu. Jadi, tugas saya merapatkan jurang antara parti dengan pengundi Tionghoa,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti parti dilaksanakan seperti ceramah, ziarah pesakit, bantuan kebajikan, khidmat masyarakat, rawatan kesihatan dan guaman percuma, jamuan rakyat dan banyak lagi.
Justeru katanya, PAS MTD Bandar akan menjalankan tugas sebaik mungkin sebagai persiapan parti menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

No comments