Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Teliti kenyataan Mujahid dalam konteks menyeluruh

PORT DICKSON, — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu meneliti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung operasi cegah khalwat dan maksiat, dalam konteks menyeluruh.

“Perlu lihat konteks dan baca betul-betul. Dia tidak galakkan. Dia cuma kata tindakan undang-undang tu macam mana (perlu diambil).

“Kita juga tidak galakkan... perkara yang maksiat tetap maksiat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan bola sepak Piala Yang Berhormat Ravi di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Ketua Umum PKR itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mujahid yang berkata pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat.

Dalam satu temu bual dengan akhbar The Star, Mujahid dilaporkan berkata apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukanlah urusan kerajaan.

Jelas Mujahid, kerajaan tidak akan menjadi polis moral, selain hanya akan terlibat sekiranya kejadian berkenaan berlaku di tempat terbuka atau di khayalak, serta mencemarkan sensitiviti, sahsiah jenayah yang mengganggu kesejahteraan awam.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Anwar melakukan gimik dengan membuat sepak mula sebagai simbolik kepada perasmian kejohanan yang disertai 30 pasukan di sekitar Port Dickson selain mengambil kesempatan beramah-mesra bersama penganjur dan para pemain.

Kejohanan itu dianjurkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung M. Ravi sebagai sebahagian daripada kempen PRK Parlimen Port Dickson.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Hari mengundi ditetapkan pada 13 Okt manakala pengundian awal 9 Okt. — Bernama







No comments