Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Kerajaan HARAPAN 'flip flop', Guan Eng rajanya

Oleh Najib Razak

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah mengambil alih kepimpinan Malaysia dan semakin menghampiri 200 hari. Yang kita rakyat perhatikan ialah sebuah kerajaan flipflop dan sebuah kerajaan yang 'consistently inconsistent'.

Misalnya dasar pengambilan pekerja asing yang mempunyai implikasi besar kepada hampir semua sektor industri di Malaysia. Mula-mula, kerajaan kata akan haramkan tukang masak warga asing, tidak sampai sehari menteri kata itu hanyalah cadangan.

Sehari dia kata kemasukan pekerja asing perlu dihentikan segera, tetapi hari lain tukar pula nadanya kata kerajaan beri jaminan pekerja asing tidak akan menjejaskan pekerjaan orang tempatan.

Ingat lagikah apa yang berlaku kepada pengumuman projek-projek rakyat seperti ECRL dan lain-lain? Bercampur aduk kenyataan dikeluarkan.

Kita akan batal!

Tidak, tidak, kita sedang kaji!

Keputusan telah dicapai, kita tangguh!

Tidak ditangguh, kita teruskan!

Sehingga kini, masih ada projek kerajaan dan agensi kerajaan yang tidak ada keputusan dan panduan hala tuju jelas.

Penjawat awam, pengusaha projek, kontraktor, rakyat, malah sebilangan besar pemimpin juga tidak tahu apakah keputusan muktamad dan langkah seterusnya.
Ada pengusaha yang perniagaan mereka bagaikan telur di hujung tanduk dan ramai pekerja yang bakal kehilangan nafkah hidup akibat kerajaan hari ini.

Terlalu banyak flip flop.

Flip flop dan ketidakpatuhan terhadap perjanjian ini telah mengakibatkan kerajaan hilang kredibiliti dan berlakunya aliran keluar dana asing. Pelabur asing telah hilang keyakinan terhadap Malaysia.

Bertahun-tahun juga pemimpin HARAPAN menjaja idea pendidikan percuma, mansuh PTPTN sampai berkhemah di Dataran Merdeka, atau tangguh bayaran PTPTN.

Selepas jadi kerajaan, terkejut saya apabila baca kenyataan menterinya menghina pelajar, meminta mereka bersikap amanah dan buat bayaran balik dengan segera.
Flip-flop.

Sedar tak sedar, saya baca dari Twitter semalam ada ura-ura telah berlaku kenaikan yuran universiti tertentu - tidak ada pengumuman tetapi dibuat secara senyap-senyap.

Dalam perkara ini, apakah akan berlaku flip-flop lagi?

Ada juga kenyataan yang pada mulanya menghalang pemberian visa dan pemilikan hartanah oleh warga asing, seolah-olah bukan warganegara tidak dialu-alukan.

Flip flop, sehari dua kemudian jelaskan bahawa bukan warganegara dialu-alukan sebagaimana di bawah syarat pemilikan hartanah sedia ada dan skim Malaysia My Second Home.
Jika di antara mereka semua ini, rasanya menteri kewanganlah raja flip flop.

Kesilapan demi kesilapan laporan angka kewangan dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menteri kewangan kita ini yang seolah-olah ketagih perhatian baru-baru ini mengumumkan bayaran levi akan ditanggung kebanyakannya oleh pekerja asing. Hari keesokannya, kata pula kerajaan akan kembali ke struktur lama di bawah tanggungan majikan.

Saya dapati bahawa semakin banyak lantikan politik dan majlis penasihat ditubuhkan dalam kerajaan ini. Penubuhan majlis ada implikasinya dari segi kewangan, bidang kuasa dan hala tuju.

Jikalau nak kata kerajaan ingin tingkatkan konsultasi bersama pakar dan sektor swasta, sejak dahulu lagi kita sentiasa adakan sesi konsultasi dan roundtable - malah di Pejabat Perdana Menteri Aras 3 dengan penyertaan penjawat awam tertinggi.

Tetapi apa konsultasi dan kajian yang telah dilaksanakan jika

a) Setiap pengumuman kerajaan hari ini akan timbul flip-flop

b) Keputusan kerajaan hari ini menyusahkan rakyat.

Majlis-majlis penasihat dan lantikan politik yang telah diterapkan dalam sistem kerajaan hari ini perlu tingkatkan usaha. Berikanlah tunjuk ajar sebaiknya kepada pemimpin kerajaan flip-flop hari ini terutamanya menteri kewangan kita yang perlukan bimbingan.

Jika berkesempatan dalam masa terdekat, saya akan beri ulasan mengenai hala tuju Malaysia di bawah kerajaan HARAPAN. Eh, ada ke?


DATUK SERI NAJIB RAZAK ialah anggota parlimen Pekan dan bekas perdana menteri Malaysia ke-6.

No comments