Tipikal politikus gemar aplikasi logika 'Red Herring'
MUNGKIN kita selalu mendengar penyelewengan topik yang cuba dilakukan oleh politikus seperti:
"Daripada kamu sibuk-sibuk bahas
berkenaan penyelewengan Liberal, adalah lebih baik kamu bincang
berkenaan penyelewengan berkaitan rasuah"
"Daripada kamu bincang berkenaan dosa peribadi, lebih baik kamu tumpukan dosa awam"
"Kamu sibuk berfikir, baik kamu bekerja sahaja"
Objektif
Demikian merupakan contoh-contoh falasi logika yang dipanggil sebagai 'Red Herring'. Ia kerap diaplikasikan oleh politikus untuk:
● Mengambus isu yang tidak berpihak kepada kepentingannya.
● Menutup kelemahan mereka yang tidak mampu menyediakan jawapan tuntas.
● Menyelamatkan diri dari menjadi sasaran isu.
Dengan mengemukakan argumen-argumen yang
kelihatan lebih besar, membolehkan mereka lolos dari bertanggungjawab
terhadap isu yang dikemukakan. Apatah lagi terkadang mereka memanipulasi
istilah 'awlawiyyat'.
Lantas membolehkan mereka memperlekeh
nilai prioriti terhadap isu yang sedang hangat diperbahaskan. Kesempatan
itu sebagai buah kilas yang digunakan oleh politikus untuk menjatuhkan
kedudukan pihak lawan mereka.
Terlencong
Dari aplikasi logika 'Red Herring', mereka berjaya mempengaruhi psikologi orang ramai agar mengabaikan topik perbahasan sebenar. Lantas disambut dengan:
"Betul juga kata-katanya, isu korupsi rasuah lebih membebankan kepentingan negara dan rakyat berbanding isu Liberal"
"Ada benar juga pandangannya, buat apa
kita berbincang soal dosa peribadi orang sedangkan dosa awam yang
berkaitan dengan korupsi lebih kritikal"
"Benarlah kata-katanya, kita perlu utamakan kerja berbanding runsing berfikir berkenaan macam-macam"
Di saat respon-respon sedemikian kedengaran dari orang ramai, maka berjayalah taktik 'Red Herring' dan politikus yang menjayakan logika tersebut terselamat dari bebanan isu ke atas dirinya.
Mengkelaskan topik
Kaedah untuk menggagalkan logika 'Red Herring'
adalah dengan menegaskan pengkelasan topik.
Kita perlu ingatkan
politikus yang sedang melancarkan falasinya dan audien yang sedang cuba
dipengaruhi, supaya konsisten dengan topik yang diperbahaskan.
Perlu diingatkan bahawa setiap isu ada
forumnya. Jangan ubah-ubah topik menyebabkan kita gagal berinteraksi
dengan isu secara konsisten.
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
No comments