Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Ubah gaya hidup: Pemimpin cakap tak serupa bikin

Oleh Lanh
PAGI hari ketika memandu kereta, menghantar seorang anak ke sekolah, saya perhatikan ada beberapa ‘kiosk’ baru penjaja di tepi jalan – mereka menjual nasi lemak, kuih muih dan sebagainya. Ada yang menanggung risiko kemalangan kerana berjualan dalam gelap dengan meletakkan meja di tepi jalan.
Saya tidak tahu dengan tepat ‘kisah’ penjaja-penjaja baru ini – mungkin ada yang sudah diberhentikan daripada kerja atau ‘menyahut seruan’ sesetengah pemimpin kerajaan yang meminta rakyat melakukan lebih daripada satu kerja bagi menambah pendapatan – yalah sekarang ini ekonomi rakyat merudum teruk…harga barangan keperluan mencanak naik sedangkan wang yang masuk ke kantung mereka tidak bertambah atau lebih teruk lagi hampir tiada disebabkan mereka tiada lagi kerja.
Demikianlah sesetengah rakyat semakin derita hidup mereka, yang terbaru mereka terbeban dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter (10 sen bagi diesel) dan kesan akibat daripada peningkatan harga bahan bakar itu. Mereka terpaksa ‘melakukan apa saja kerja’ termasuk menjual kuih dan nasi lemak bagi menambah pendapatan atau dalam kes lebih teruk ‘bagi membolehkan dapur rumah mereka berasap’!
Pemimpin ketika ‘berhadapan’ dengan rakyat, pandai ‘memainkan lidah’ masing-masing. Misalnya mereka berkata bantuan kerajaan seperti BR1M dapat menyerap kesan kenaikan harga barangan itu malahan seorang pemimpin tidak lama dulu pernah mengesyorkan supaya rakyat mengubah cara hidup seperti berbelanja secara berhemah.
Ya, ubah gaya hidup…cakapnya memang sedap tetapi bagi rakyat kebanyakan hakikatnya pahit. Jika orang kaya dan berkuasa mempunyai pelbagai kehendak, orang miskin hanya mahu memenuhi tiga keperluan asas manusia iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pada zaman moden ini, ada beberapa lagi keperluan asas seperti pendidikan anak-anak. Jadi apa erti ubah gaya hidup dalam memenuhi keperluan asas ini?

Apakah dari segi makanan; jika dulu makan tiga hari sekali, mahu dikurangkan kepada dua kali sehari? Dari segi pakaian pula, jika dulu pakaian hanya berganti pada musim perayaan atau permulaan persekolahan (bagi anak-anak) apakah tak perlu diganti, cukuplah untuk menerima pakaian terpakai pemberian organisasi kebajikan? Dari segi tempat tinggal pula, apakah ubah gaya hidup bermakna teruslah menyewa atau tinggal di kawasan setinggan, jangan cuba-cuba membeli rumah kerana tidak mampu membayar bayaran muka atau bulanan.

Tak apalah, bagi menyahut ‘seruan suci’ itu, rakyat bersedia berkorban untuk mengubah cara hidup. Jika dulu naik kereta buruk, juallah kenderaan itu dan mulalah naik bas. Menggunakan bas awam boleh berjimat, lagi pun pemimpin sudah berjanji memperbaiki mutu pengangkutan awam.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Pemimpin yang pandai mengesyorkan mengubah gaya semakin kaya dan bergaya malah anak isteri mereka rakus berbelanja. Bagi rakyat yang mengikut syor mengubah gaya hidup tidak pula bersinar hidupnya. Bagi yang mengubah hidup dengan menjual kereta buruk untuk menaiki bas, nasib sesetengah mereka begitu buruk, pengangkutan awam terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman menjadi semakin teruk. Banyak syarikat bas gulung tikar, kini orang yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri, derita mereka makin parah.

Perkhidmatan bas pinggir bandar amat teruk sekali. Seorang pengguna memberitahu dia terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan untuk mendapatkan bas. Suatu hari katanya, dia terpaksa balik saja selepas menunggu dari jam 10.00 pagi tetapi bas tidak datang sehingga jam 1.00 tengah hari. Di sesetengah tempat, perkhidmatan bas awam sudah tidak wujud lagi. Nasiblah rakyat, itulah jangan cepat-cepat hendak ubah gaya hidup dengan menjual kereta atau motosikal buruk itu. Orang yang mengesyorkan ubah gaya hidup makin bergaya hidupnya, awak sendiri jadi papa kedana!

Ya, rakyat makin derita kerana menyahut seruan pemimpin untuk ubah gaya hidup. Tetapi adakah pemimpin sudah ubah gaya hidup mereka? Maksudnya ubah gaya hidup ke arah kehidupan sederhana (wasatiyyah seperti digembar-gemburkan mereka) dan bukan sebaliknya iaitu ubah gaya hidup ke arah kehidupan bermewah-mewahan seperti mengadakan majlis keraian dan keramaian dengan kos jutaan ringgit.

Nampaknya, pemimpin 'auta' cakap berdegar-degar. Minta rakyat berkorbanlah untuk negara; mempertahankan negara ke titisan darah terakhirlah, berjimat cermatlah dan ubah gaya hidup. Malangnya, mereka memperagakan gaya hidup mewah, menaiki jet terbang ke sana sini untuk bercuti bersama anggota keluarga.
Ya, rakyat juga akhirnya yang terpaksa menanggung beban derita…mungkin itulah sebabnya ada yang terpaksa berjualan nasi lemak dan kuih; buktinya 'kiosk' jualan ala kadar misalnya dengan meletakkan meja di tepi jalan kian bertambah dari sehari ke sehari!

No comments