Sulawesi Menangis: Di mana Malaysia?
Oleh YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
TANGGAL 28 September
yang lalu, Sulawesi Tengah telah dilanda gempa bumi bermagnitud 7.4 pada
skala Richter pada jam 5.02 petang mengakibatkan tsunami setinggi tiga
meter di pantai Kota Palu.
Ini merupakan kecemasan dan krisis
kemanusiaan yang sangat dahsyat dengan mangsa korban melebihi 1000 orang
dan semakin meningkat mengakibatkan Kerajaan Indonesia mengisytiharkan
darurat.
Sebagai tanda solidariti jiran tetangga
terdekat serumpun dalam ASEAN, Kerajaan Malaysia sepatutnya dengan
pantas menjadi yang negara terawal menghantar bantuan kecemasan untuk
membantu pihak berkuasa Indonesia.
Special Malaysia Disaster assistance and
Rescue Team (SMART) atau agensi lain sepatutnya sudah siap bergerak
misi membantu penduduk di Sulawesi yang sedang ditimpa bencana ini.
Telah dilaporkan oleh The ASEAN
Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management
(AHA Centre) bahawa lebih 1.5 juta penduduk di bandar Palu, Donggala,
Parigi, Moutong dan Sigi wilayah Sulawesi telah dan akan menerima kesan
langsung mangsa kepada bencana gempa bumi dan tsunami ini.
Tidak memadai bagi kerajaan hanya
mengucapkan takziah kepada Indonesia walhal bencana ini meruntun hal
kemanusiaan yang tiada batas sempadan.
Dalam pada itu, sekalung tahniah
diucapkan kepada NGO-NGO Malaysia yang nampaknya lebih pantas bertindak
menghulurkan bantuan awal seperti PASRelief, Majlis Perundingan
Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Amal dan lain-lain yang
sangat cakna akan situasi ini.
Sekali lagi saya menyeru atas semangat
serantau dan saudara kemanusiaan, Kerajaan Malaysia dan juga negara
ASEAN yang lain perlu segera menghantar bantuan kepada Indonesia
menggunakan aset kepakaran yang ada.
"Sejahtera Bersama Islam"
YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik / Ahli Jawatankuasa PASReleif /
Ahli Parlimen Sik
No comments