Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Analisis: Mahathir 'sailang' Anwar?

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 
IMPIAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad mungkin tidak akan kesampaian, walaupun Langkah PD telah disusun.
Tidak mustahil, walaupun Parlimen Port Dickson (PD) dirasakan selamat buat Anwar dan PKR, namun Parlimen PD juga boleh menjadi penamat jalan kepada team Anwar dalam memastikan Presiden PKR itu tidak ke Dewan Rakyat, seterusnya diangkat sebagai PM.
Ingat, dendam Mahathir terhadap Anwar bukan mudah untuk dipadam begitu sahaja dengan kerjasama di bawah Pakatan Harapan (PH). Mahathir tidak pernah senang dengan kehadiran Anwar dalam kerjasama PH.
Apatah lagi adegan lompat melompat MP Umno telah pun bermula, dimulakan anak didik Tun Daim Zainuddin iaitu Dato’ Seri Mustapa Mohamed selaku MP Jeli, dikuti Dato’ Seri Anifah Aman sejurus selepas Tok Pa membuka jalan.
Dijangkakan ada antara 16 orang lagi akan menyeberang, maka dapat dilihat andai kemasukan MP Umno ini sebagai satu usaha mengukuh kedudukan Bersatu dalam PH, dan usaha menghalang cita-cita Anwar.
Umum mengetahui dendam kesumat Mahathir ke atas Anwar, namun ramai pimpinan Umno yang pro Mahathir tahu kenapa Mahathir cukup berdendam dengan Anwar khasnya dalam episod pemecatan tahun 1998 yang akhirnya menghadiahkan adegan usung tilam, pemenjaraan Anwar dan berlakunya reformasi oleh pemimpin muda yang pro-Anwar.
Ketika itu, hayat politik Anwar diselamatkan PAS di bawah pimpinan Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor, walau pada awalnya ditentang hebat oleh Mohamad Sabu yang kerap menggelarkan Anwar dengan gelaran sangat sinikal.
Kes Sodomi 1 dan kemudian Sodomi 2, umum tahu penglibatan Mahathir dalam mempastikan Anwar terpenjara, dan bagaimana Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dijadikan ayam tambatan bagi mengendali kes itu atas nasihat Mahathir agar Anwar disumbat semula ke tirai besi.
Apapun berlaku sama ada benar atau salah (Anwar), yang pasti umum tahu pembabitan secara terselindung Mahathir, dan kemudiannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan Mahathir, walau kemudiannya Mahathir mula menyerang Najib angkara mencantas hayat politik anaknya, Dato’ Seri Mukhriz.
Dendam kesumat ini tak terhenti setakat adegan Sodomi 2 melibatkan Saiful Bukhari Azlan, dan peguam yang menjadi pendakwaraya ketika itu adalah Shafee. Anwar tersumbat ke penjara selepas bicara kes Sodomi 2.
Dalam percubaan berikutnya adegan filem berdurasi 20 minit China Doll, Anwar sekali lagi diaibkan dan se-Malaya adegan selingkuh ini yang kemudian menjadi viral.
Keresahan Mahathir berdepan Anwar dapat dilihat apatah lagi sebaik Mahathir menguasai kerajaan, dia menafikan pula soal perjanjian dua tahun selaku PM.
Bingkas dengan telahan awal Mahathir itu, Anwar dan kumpulan pro-nya dalam PKR kini sedang berusaha memastikan calon MP PD itu jadi PM.
Antara yang kuat membedal Mahathir ketika ini termasuk ayam tambatan Anwar, Rafizi Ramli dan Abdullah Sani, tidak kurang Fuziah Salleh.
Di pihak pro Mahathir dalam PKR yang diketuai Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin kini sedang giat mempertahan Azmin yang diketahui anak kesayangan Mahathir yang berperanan di sisi Anwar sejak dahulu lagi.
Dalam perang antara Mahathir dan Anwar, Azmin dan Rafizi masing-masing sedang menghunus propaganda antara satu sama lain, menjadikan PKR semakin berpecah.
Maka Anwar perlu sahaja beringat bahawa yang menjadi PM hari ini adalah Mahathir, insan yang menyumbatnya ke penjara dalam Sodomi 1 dan terkait dalam Sodomi 2, tidak mustahil kerusi anganan Anwar di PD boleh terlepas dengan permainan Mahathir yang kini menguasai sepenuhnya kerajaan.
Dendam dan kesumat Mahathir tidak boleh diselindung, sinikalnya dalam banyak hal terhadap Anwar tidak boleh dinafikan, malah kini pelbagai rancangan sedang hangat dijalankan olehnya termasuk adegan lompat melompat MP Umno yang sedang berjalan.
Seperkara lagi, ketika hangat isu ini berjalan, peguam tersohor, Muhammad Shafee tiba-tiba ditahan pula kerana tuduhan terlibat skandal pengubahan wang haram.
Muhammad Shafee dalam responsnya tidak menjangkakan bahawa dirinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta, lima tahun lalu.
Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5 juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebagai yuran guaman.
“Saya langsung tidak menjangkakan pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, baru-baru ini selepas selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.
Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar oleh Najib itu diperoleh.
“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.
Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa tuduhan yang dikemukakan kepadanya itu adalah bermotifkan politik malahan tidak berasas serta karut.
Membaca kenyataan Shafie, pastinya pemerhati politik dapat menangkap makna sebenar babak politik ketika ini, dan apakah sekali lagi Mahathir memasang jerat untuk menghalang Anwar? Umum tahu jasa Shafee dalam pengendalian Sodomi 2, apatah lagi kelibat Tan Sri Gani Patail pula seolah-olah kurang berkesan dalam babak-babak sebegini.
Anwar sebenarnya meniti jalan sukar, dalaman parti sendiri sudah mula berpecah belah, yang jelas berpaling tadah sudah mula kelihatan, yang setia pun silap-silap bila berdepan "jawatan dan pangkat, laba kemenangan" bisa tersungkur.
Melihat situasi ini, Anwar barangkali tidak mudah ke posisi nombor satu, kecuali adanya usaha membina koalisi lain bukan bersama kumpulan yang dilihat bertentangan aspirasinya.
Adegan semakin menarik, menjelang penamaan calon PRK Parlimen PD, apa sahaja boleh berlaku, sama ada episod malang 98 boleh berulang ke atas Anwar, atau kes lain pula akan dihadapkan ke atasnya.
Apa yang jelas, persefahaman longgar PH membentuk kerajaan pusat dalam PRU14 lalu memungkinkan pelbagai situasi. Langkah PD mungkin tidak sama seperti Langkah Kajang, kerana bila-bila masa sahaja Mahathir boleh memasang perangkap menghalang laluan itu

No comments