Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Penjuru politik di Malaysia

Oleh Amin Ahmad 

KATA orang, nilai-nilai murni sering dikompromi dalam politik apabila pelakunya mula mengamalkan pendekatan "matlamat menghalalkan cara".

Dalam politik demokrasi, mencapai kemenangan melalui pilihan raya tentulah satu matlamat yang dijangkakan. Namun, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti-parti pembangkang masih kelihatan tidak teratur.

Puncanya ialah kerana kerjasama yang dijalin antara parti-parti pembangkang tidak pernah stabil melebihi tiga penggal. Manakala Barisan Nasional (BN) dilihat begitu stabil sejak sekian lama, meskipun berdepan dengan pasang surut pergolakan dari semasa ke semasa.

Kestabilan lawan kebebasan

Dari satu sisi, beza pendapat di kalangan parti pembangkang sebenarnya amat baik untuk demokrasi di Malaysia. Dengan perbezaan pendapat itu, kita tahu dasar-dasar yang ingin dijalankan jika mereka berkuasa, akan disaring dengan lebih ketat.

Kita akan lebih berpeluang untuk mendengar wakil-wakil rakyat daripada parti pemerintah bersikap kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan sendiri. Ini dizahirkan dari semasa ke semasa dalam pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang khususnya.

Namun, sikap kritikal bukan bermaksud menggantung keputusan sampai bila-bila. Kata orang putih, kita boleh berhujah sampai lembu pulang ke rumah.

Namun, tugas utama pemimpin ialah membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Apa juga perdebatan boleh diteruskan, namun mesti ada keputusan yang jelas dan tegas dari semasa ke semasa.

Mengambil kira sudut pandangan ini, tidak hairanlah bila ketidakstabilan parti-parti politik pembangkang begitu merimaskan ramai pihak. Mungkinkah ini faktor utama kemenangan BN? Apakah ia petunjuk orang ramai (baca: pengundi) cenderung memilih kestabilan berbanding kebebasan?

Hala tuju parti pembangkang

Tidak keterlaluan jika dikatakan ketidakstabilan parti-parti pembangkang sejak dulu berpunca daripada kegagalan mereka bekerja berorientasikan misi.

Apa yang digambarkan sebagai misi ialah mengalahkan BN. Walaupun ini boleh dijangkakan dengan mudah, ia bukanlah misi sebenar. Mengalahkan BN hanyalah langkah awal untuk mencapai misi kerjasama parti-parti pembangkang.

Apakah misi Pakatan Harapan (PH)? Jika kita membuat carian maya, ia hampir sukar ditemukan. Walhal inilah yang patut diberi penekanan seia sekata oleh semua pemimpin parti-parti pembangkang.

Namun, umum boleh membayangkan perjuangan parti-parti pembangkang ialah untuk mewujudkan Malaysia yang lebih bebas, adil, maju dan bersatu selaras dengan cita-cita kemerdekaan dan prinsip-prinsip umum Perlembagaan.

Cabaran seterusnya ialah menghidupkan semangat kebersamaan dalam mencapai misi ini. Dengan itu, tidak banyak perbezaan akan kelihatan lebih menonjol.

https://susukunyitplus.blogspot.my/
Selain PH, PAS juga merupakan parti pembangkang berpengaruh dan mengambil sikap untuk berada di luar kerjasama itu, sebaliknya membentuk sebuah kerjasama baru yang dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera.

Tidak banyak maklumat yang kita dengar mengenai Gagasan Sejahtera berbanding PAS sendiri. Tidak dapat dipastikan sudah berapa kali mereka bermesyuarat, dasar-dasar bersama kerjasama mereka mahu pun persediaan menghadapi PRU14.

Biar apa pun pandangan yang ada terhadap PAS, kekuatan mereka sebenarnya ada pada sandaran kepada misi untuk menubuhkan negara Islam melalui perlaksanaan hukum syariah sebagaimana yang diyakini.

Sama ada ia merupakan dasar bersama Gagasan Sejahtera, itu tidak jelas.

Pergolakan pembangkang

Sebenarnya, pergolakan parti-parti pembangkang memang boleh dijangka. Sejak Reformasi 1998, kerana tuntutan keadaan, mereka kurang memberi perhatian kepada misi yang ingin dicapai.
Apa yang dinamakan sebagai kerjasama hanya terhad kepada menghadapi pilihan raya. Maka tidak hairanlah akhirnya Barisan Alternatif (BA) terkubur.

Pembentukan Pakatan Rakyat (PR) selepas kejutan semasa PRU12 nampak semakin baik. Namun, jika kita melihat konvensyen PR dan konvensyen Menteri-Menteri Besar-Ketua Menteri PR dan komitmen terhadap apa yang dibincangkan, kita boleh mengagak ia tidak cukup utuh. Kesannya, PR lumpuh dan berkubur tanpa nisan.

PH dibentuk untuk memperbaiki kelemahan dalam kerjasama lalu. Ia menggariskan tujuh perkara dalam Perjanjian PH bagi memperbaiki kelemahan lalu iaitu 1) proses membuat keputusan, 2) membina kesatuan politik, 3) penyelesaian pertikaian, 4) dasar-dasar bersama, 5) perjalanan pilihan raya, 6) perjalanan kerajaan dan pembangkang dan 7) keabsahan pakatan.

Bersatu, yang ditubuhkan kemudian, turut menerima Perjanjian PH ini sebelum diterima sebagai parti komponen baru di dalamnya. Ia adalah langkah mula yang baik. Rundingan terbuka dan tertutup
Di dalam perjanjian ini turut termuat perihal rundingan dengan parti-parti lain di luar PH dalam usaha memastikan satu lawan satu dengan BN. Dalam maksud yang mudah, PH memang memikirkannya sejak mula.

Bagaimanapun, rundingan yang dimaksudkan lebih banyak tertumpu kepada PAS berbanding parti lain, mungkin kerana faktor pengaruh PAS yang agak meluas sebelum ini.

Oleh kerana naratif yang dibawa PAS begitu keras terhadap DAP dan Amanah, maka kita hampir tidak mendengar ada usaha terbuka dibuat oleh kedua-dua parti itu untuk berunding dengan PAS, meskipun khabar tiris mengatakan memang ada sebahagian pimpinan PAS cuba mencari jalan berbincang dengan pimpinan DAP.

Pada masa yang sama, ada pimpinan Amanah, khususnya di Kelantan, memberikan isyarat yang mereka sedia berbincang dengan PAS untuk memastikan Kelantan tidak jatuh kepada BN.

Meskipun naratif PAS juga keras terhadap PKR dan Bersatu, mereka nampak lebih bersedia untuk berunding pada peringkat awal dan mengambil peluang yang sama.

Namun, rundingan Bersatu dengan PAS nampaknya gagal selepas tempoh rundingan yang ditetapkan manakala PKR masih cuba memanfaatkan sisa-sisa peluang yang ada ketika beberapa pimpinan PAS sendiri bertegas menolaknya.

Di sini, kita dapat melihat PH gagal menterjemahkan perjanjian mereka berkaitan soal rundingan dengan parti di luar PH secara berkesan.

Sewajarnya, apabila perjanjian PH menggariskan persoalan rundingan tersebut, sebuah jawatankuasa yang mewakili PH perlu dibentuk dan bukannya membiarkan setiap parti berusaha dengan cara sendiri.

Senario terbaik dan terburuk

Sementara usaha memastikan satu lawan satu tercapai, ia perlu dibuat dengan cara yang tertib. Ini kerana, dalam senario terbaik, sekiranya PAS bersetuju, keputusan itu akhirnya perlu dibawa ke peringkat Majlis Presiden PH.

Manakala, sekiranya PAS tidak bersetuju, PH tetap perlu berdepan dengan BN. Jelas, membelakangi PH bukan pilihan kecuali ada mana-mana parti atau pihak merasakan wajar untuk mereka keluar daripada PH.

Adalah tidak wajar mana-mana parti menyalahkan parti lain di dalam PH sekiranya rundingan ini gagal. Rundingan mesti berasaskan misi yang ingin dicapai bersama, bukan sekadar strategi pilihan raya, apatah lagi kepentingan peribadi. Ia mesti hanya dibuat dengan komitmen kepada PH sebagaimana perjanjian yang dicapai.

Meskipun kita boleh mendakwa kegagalan ini berpunca daripada PAS, kita juga mesti menghormati pendirian parti itu yang diputuskan melalui muktamar mereka, iaitu pembuat keputusan tertinggi parti itu.

Sekiranya PAS sendiri berdolak-dalik mengatakan keputusan itu boleh dibincang atau diubah di peringkat lain, itu adalah masalah parti mereka. Biar mereka yang menentukannya.

Setelah banyak pertikaian dengan naratif yang keras, jika satu lawan satu sekalipun, majoriti masyarakat bukan Islam yang mengundi PAS sebelum ini pastinya teragak-agak memilih PAS.

Manakala penyokong tegar PAS pula hampir pasti tidak memilih mana-mana parti PH. Jika ada sekalipun masih mahu menyokong, peratusannya tidak akan begitu besar. Inilah realiti yang mesti ditelan oleh semua.

Majlis Presiden PH juga membuat keputusan yang jelas dan tegas mengenai rundingan dengan PAS.
Majlis yang sama juga telah bermesyuarat dan mencapai keputusan untuk melantik pengerusi-pengerusi negeri, logo PH dan seterusnya selepas ini kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.

Ini adalah keputusan objektif yang jelas boleh ditetapkan. Tanpa ketetapan, PH seperti menembak tanpa sasaran.

Rakyat Malaysia menantikan hal-hal yang lebih konkrit daripada PH, bukannya komitmen yang tidak jelas daripada mana-mana parti komponen yang ada. Yakinlah mereka akan menilai siapa yang serius dan tidak serius menawarkan alternatif perubahan kepada mereka.

PH tidak wajar mempamerkan diri hanya sebagai satu kerjasama untuk PRU14 semata-mata, tetapi sebagai kekuatan baru politik yang mampu bertahan untuk satu tempoh panjang. – 4 September, 2017.

No comments