Malapetaka Rohingya tanpa penghujung
Oleh Azuar Fahmi Mohd. Ali
MALAPETAKA kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar melibatkan penduduk etnik Islam Rohingya berulang lagi tanpa menampakkan sebarang penyelesaian.
Sehingga hari ini, kira-kira 290,000 orang etnik Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh sejak operasi ketenteraan dilancarkan pada 25 Ogos lalu.
Malah agensi Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan angka berkenaan telah meningkat hampir 300,000 sekali gus mengeluarkan amaran tentang kekurangan dana bagi menyediakan bekalan makanan kecemasan untuk kesemua pelarian.
Tindakan kerajaan Myanmar menyalahkan pejuang Rohingya terhadap apa yang berlaku hanyalah alasan yang terlalu dangkal, malah dunia sendiri mengetahui pemerintah negara itu tidak pernah mahu mengiktiraf Rohingya sebagai rakyatnya meskipun mereka merupakan penduduk asal berdasarkan fakta sejarah.
Sebenarnya kemelut semasa tidak sepatutnya timbul sekiranya kerajaan Myanmar sejak awal lagi mengiktiraf hak Rohingya dan memberikan layanan yang sewajarnya seperti mana rakyatnya yang lain.
Malah pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dijulang sebagai seorang pejuang demokrasi dan penerima anugerah Nobel Keamanan oleh dunia berdolak dalih dalam mempertahankan hak penduduk Rohingya yang digelar mereka sebagai ‘bengali’ yang berasal daripada Bangladesh.
Sukar untuk kita menerima alasan wanita itu bahawa kerajaannya menjaga kepentingan semua penduduk termasuk Rohingya, begitu juga kononnya masa tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang berakar umbi sejak bertahun-tahun lamanya.
Barangkali lebih mudah untuk Suu Kyi menyatakan bahawa tindakannya selama ini adalah untuk menjaga kepentingan sendiri atau pemimpin itu sebenarnya gagal untuk mempengaruhi pihak tentera yang sebelum ini diakui beliau mahu menghapuskan masyarakat Islam ini.
Masalah yang dialami oleh Rohingya sudah sepatutnya diberikan titik noktah. Malangnya, tiada keikhlasan yang jitu dalam kalangan negara dunia untuk menyelesainya dan dunia Islam sendiri lebih banyak melaung bantahan demi bantahan.
Kewarasan akal kita ternyata sukar untuk membenarkan pandangan bahawa krisis kemanusiaan ini tiada penghujungnya. Bukankah kita sering mendengar di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Malang sekali, penduduk Islam terus menjadi buah catur negara-negara kuasa besar dunia.
Tindakan Myanmar merapati China dan Rusia untuk mendapatkan sokongan jelas merupakan usaha terdesak untuk mengelak negara itu dikenakan sekatan kerana penghapusan etnik yang dilakukannya.
Kita harus mengakui bahawa tindakan Myanmar itu merupakan satu perencanaan cukup licik sebagai penampan kepada hukuman terhadap perbuatan bejatnya yang selama ini tidak disenangi oleh negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.
Ternyata penduduk Rohingya kini sudah hilang tempat untuk mengadu biarpun suara tangisnya mampu didengar oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan negara anggota ASEAN juga terikat tangan dengan dasar berkecuali daripada menjaga tepi kain jirannya.
Tidak menghairankan apabila Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pernah menyatakan negara anggota ASEAN telah berkali-kali menggesa Myanmar mencari penyelesaian terhadap isu itu secara aman, tetapi negara tersebut tidak menunjukkan kesediaan atau keinginan untuk berbuat demikian.
Sebenarnya malapetaka kemanusiaan ini bukan sekadar mengharap bantuan bermusim yang pastinya akan datang mencurah-curah selepas ini tetapi penyelesaian yang bersifat muktamad.
Benar sekali kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Myanmar perlu menamatkan keganasan di negara Rakhine dan mengambil langkah untuk menyediakan penduduk Rohingya di sana dengan kehidupan yang normal.
Rungutan dan nasib penduduk Rohingya yang tidak diselesaikan sekian lama mampu menjadi faktor yang akan mencetuskan ketidakstabilan rantau ini.
Soalnya, mahukah kerajaan Myanmar di bawah Suu Kyi mengubahnya.

No comments