Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu mampu meningkatkan tahap ke­selamatan dan kesihatan pekerjaan dan mengurangkan kemalangan dalam kalangan warga media di seluruh negara.
“Organisasi media perlu mencontohi industri lain dengan melaksanakan program pasport keselamatan seperti yang diguna pakai oleh industri petroleum dan tele­komunikasi serta syarikat-syarikat besar seperti Tenaga Nasional Berhad dan PLUS Malaysia Berhad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keselama­­tan dan Kesihatan untuk warga media di Ibu pejabat NIOSH yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman.

Lam Thye berkata, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 1994, adalah menjadi kewajipan majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di bawah Kementerian Sumber Manusia telah menerbitkan Garis Panduan Bagi Profesional Media 2012 yang menyediakan maklumat lengkap mengenai amalan kerja selamat bagi pengamal media,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan tersebut dibuat ekoran tragedi pada 2011 apabila seorang jurukamera Bernama, Noramfaizul Mohd. Nor, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September 2011.

Beliau berkata, antara kes terbaharu yang membimbangkan ialah pembunuhan seorang warga Korea Utara menggunakan racun VX beberapa bulan lepas apabila petugas media dilihat tidak memakai sebarang perlindungan ketika membuat liputan.

Menurutnya, petugas media juga terdedah kepada pelbagai penyakit dan bahaya lain ketika membuat liputan bencana alam atau wabak penyakit selain berhadapan dengan kemungkinan tercedera atau terbunuh apabila dihantar ke kawasan peperangan atau konflik.