Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Gaji kecil, yang kaya makin kaya

Oleh Faiz Fadzil

Golongan pekerja merupakan aset terbesar negara. Kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia memperoleh pendapatan hasil daripada gaji dan perniagaan peribadi. Hanya sebahagian kecil sahaja yang bergantung kepada keuntungan saham dan dividen korporat. Oleh sebab itu, begitu bermakna sekali istilah gaji dalam menampung kehidupan seharian rakyat.

Pekerja adalah golongan yang harus diberikan perhatian serius kerana mereka sanggup bertungkus lumus siang dan malam, semata-mata untuk mendapatkan sebahagian hasil yang diperoleh syarikat atau organisasi demi menyara kos sara hidup dan keluarga. Bahkan, ada yang sanggup bekerja melebihi tempoh kebiasaan lapan jam, amalan yang boleh membawa pada risiko kesihatan dan penurunan produktiviti pekerja jika tidak diuruskan dengan baik oleh majikan.

Sungguhpun begitu di Malaysia, kadar pertumbuhan gaji begitu menyedihkan. Dr Muhammed Abdul Khalid, dalam satu artikel yang disiarkan oleh The Malaysian Insight pada 11 Julai yang lalu, menunjukkan bahawa kenaikan gaji penengah bulanan bagi pekerja di Malaysia hanya kira-kira RM17 sebulan.

Keadaan ini sungguh menyedihkan, apatah lagi ahli akademik ini menyatakan bahawa kenaikan gaji penengah warga tempatan hanya sekitar tiga peratus. Jika ditolak kadar inflasi, maka warga tempatan hanya menikmati kenaikan gaji penengah sebanyak satu peratus.

Statistik ini adalah lebih jauh daripada kenaikan produktiviti yang disumbangkan pekerja iaitu sekitar 3.5 peratus, berdasarkan data Perbadanan Produktiviti Negara.

Saya juga tertarik dengan penulisan Dr Dzulkefly Ahmad dalam buku beliau Najibnomics: Rahmat atau Malapetaka yang disebut dalam muka surat 165: “Hanya 1.7 juta sahaja dari 12.4 juta pasaran buruh yang layak membayar cukai pendapatan. Fakta daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP membuktikan 78.6 peratus pencarumnya mempunyai gaji RM3,000 atau lebih rendah daripada paras itu. Pendeknya, produktiviti yang dijana di negara ini tidak dapat diagihkan dan dikongsi kembali kepada golongan pekerja di negara ini.”

Kenyataan ini disusuli dengan lontaran yang dibuat ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP Balqis Yusuf pada tahun 2016, merujuk pada hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum KWSP berumur 54 tahun dan kurang yang mempunyai simpanan mencukupi iaitu sebanyak RM 196,000.

Lebih malang lagi, 65 peratus daripada mereka mempunyai kurang daripada RM50 ribu dalam simpanan. Sudah tentu dengan gaji yang sedikit, maka dana persaraan mereka di hari tua juga akan diperoleh sedikit. Sedarlah bahawa kenaikan gaji merupakan satu keperluan, bukan sahaja untuk hari ini bahkan ianya untuk kegunaan pada masa hadapan.

Malaysia amat berbeza dengan negara-negara maju yang senantiasa menjaga kebajikan pekerja. Di Australia, seorang tukang cuci yang bekerja selama empat jam setiap hari untuk lima hari bekerja dalam tempoh seminggu mampu memperolehi pendapatan sebanyak A$1,600 atau kira-kira RM5,360 jika diikutkan kadar pertukaran wang semasa.

Pekerjaan ini walaupun bukan profesional tetapi memiliki dana persaraan dan perlindungan. Tidak hairanlah kita melihat warga Malaysia hari ini berhijrah ke negara maju untuk mencari rezeki yang lebih baik. Di Johor sahaja, rata-rata anak muda berulang alik ke Singapura untuk memperoleh gaji yang lebih baik dan sesuai jika dibandingkan dengan tawaran gaji bagi pekerjaan yang sama di tanah air sendiri.

Keadaan golongan pekerja di negara ini boleh dianggap semakin meruncing di mana menurut statistik Jabatan Perangkaan Negara, hanya kira-kira 34.8 peratus sahaja dari keseluruhan pendapatan negara yang diagihkan kepada pekerja, manakala lebihan 65 peratus dikongsi oleh kerajaan dan kumpulan korporat. Ini bermakna bagi setiap RM100 pendapatan negara, hanya RM34.8 sahaja yang diberikan kepada pekerja dalam bentuk gaji, bonus dan lain-lain.

Statistik ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai masalah pengagihan pendapatan, jika dibandingkan dengan kadar yang dikecapi oleh negara berpendapatan tinggi seperti Singapura (44 peratus), Korea Selatan (46 peratus) dan Kanada (55 peratus).

Keadaan inilah yang menyebabkan jurang kekayaan di negara kita meningkat. Petunjuk Gini coefficient Malaysia kini sekitar 0.42, keadaan ini tidak berubah jika dibandingkan dengan rekod 20 tahun yang lepas.

Realitinya, kerajaan persekutuan gagal untuk membendung ketidaksamarataan pendapatan di negara kita sama ada antara etnik, mahupun dalam etnik yang sama terutamanya bumiputera.

Hakikatnya, fenomena “yang kaya makin kaya, yang miskin terus miskin” ini terus berlaku. Fenomena ini tidak sihat bagi pembangunan negara dan pembinaan modal insan.

* Faiz Fadzil adalah timbalan ketua Pemuda Parti Amanah Negara

No comments