Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Mahfuz sudah macam Mufti

Oleh Subky Latif 

TAK dosa bersama DAP dan lain-lain, maksud satu tajuk berita sebuah akhbar.

Ia mengenai pendapat Dato’ Mahfuz Omar, MP Pokok Sena yang berkata, tak berdosa pun kalau nak sokong atau bersama gabungan parti pembagkang demi masa depan negara.

Sebagai orang awam kita pun tak tahu berdosa atau tidak berpolitik demikian. Yang tentunya arif untuk mengata berdosa atau tidak tentang sesuatu biasanya mufti dan ahli-ahli majlis fatwa. Mereka diberi kuasa oleh kerajaan membuat hukuman demikian.

Dan bagi negara-negara yang sistem pengajian tinggi Islam seperti India, Pakistan dan Afrika Selatan mengeluarkan alim ulama yang mereka panggil mufti. Orang yang memegang ijazah mufti itu layak membuat fatwa.

Bagi umat Islam Afrika Selatan, orang alim seperti Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang itu mereka panggul Mufti Nik Aziz dan Mufti Haji Hadi. Jika mereka tinggal di Afrika Selatan, maka mereka boleh membuat fatwa.

Dalam politiknya al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz selalu bercakap politik dosa dan pahala.
Berpahala berpolitik bersama parti Islam yang berjuang menegakkan Islam. Dan ada saham dosa jika ada jemaah Islam tetapi tidak menyokongnya.

Semua orang menyokong PAS semasa Tok Guru menjadi pemimpinnya, termasuk mereka yang keluar dari PAS kebelakangan ini, tidak pernah mempertikai pandangan itu baik dalam muktamar atau bersoal jawab dengannya secara tertutup.

Umumnya masyarakat umum termasuk orang PAS tidak menjadikan dosa pahala bersama manamana parti di luar PAS sebagai isu.

Setelah sekaliannya keluar dari haba panas isu kafir mengkafir tahun 1960-an dan tahun 1970-an itu masuk semula dalam isu seperti itu terutama suasana lebih menuju kepada politik matang.

Maka berdosakah berkawan politik jemaah bukan Islam, maksud politik yang tidak menjadikan Islam garis pergerakan, tidak digembar-gembur. Semua mufti dan ulama yang disegani tidak peka sangat dosa dan tak berdosanya berpolitik baik apa jua parti yang disertai.

Orang yang rasa politik Islam itu penting, maka mereka menyertai PAS, dan jika menyertai yang lain itu bukan pilihan, mereka tidak memberikan apa-apa fatwa.

Apabila PAS memutuskan batal tahaluf dengan DAP dan enggan bersama dengan parti yang tidak diperkenannya, tidak disebutkan kerana dosa dan pahala. Yang disebutkan kerana masing-masing tidak menghormati perjuangan PAS. Atau mereka menentang politik PAS.

Maka isu dosa atau tidak itu terbiar dan seolah-olah berpolitik apa jua tidak berdosa. Maka dalam suasana yang terbiar itu keluar pendapat Mahfuz tidak berdosa sesiapa bergabung dengan yang lain-lain.

Ia boleh dilihat sebagai satu fatwa. Sedang mufti pun tdiak pasti sedia membuat fatwa sseperti itu.
Jika ia diterima sebagai fatwa atau seolah fatwa, maka Mahfuz sudah jadi mufti. Mufti saja yang layak memutuskan ia berdosa atau tidak.

Majlis Syura dipercayai ada fahaman mengenai perkara itu, tetapi ia tidak beri fatwa seperti Mahfuz buat itu. Saya sering menyertai tamrin dan seminar yang PAS adakan. Selalu diingatkan tentang hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah ibni Yaman.

Rasulullah s.a.w. ditanya tentang apa yang orang Islam patut buat apabila berada dalam satu masyarakat yang asing padanya.

Nabi arahkan cari jemaah Islam. Kalau tidak jumpa bagaimana? Bentuk jemaah Islam. Kalau cari tak jumpa, membentuknya tidak upaya, maka bagaimana?

Sabda baginda, baik gigit perdu kayu. Tidak boleh sama sekali menyertai jemaah yang tidak Islamik.

Itulah panduan dan pegangan yang orang dalam PAS ikut. Tidak siapa dalam PAS pertikai panduan
ini. Bahkan disebut dalam persuratan yang PAS terbitkan. Untuk berkawan dengan siapa dan berkongsi dengan sesiapa, itulah panduannya.

Berpahalakah atau berdosakah, tentulah Majlis Syura dapat memberi pencerahan. Rasanya sejak pimpinan ulama, saya tidak ketahui ada keterangan rasmi berdosa bertahaluf. Jika ia tidak setuju ikut sebarang tindakan politik dengan lain pihak, ia tidak kata berdosa walaupun ia tahu batas-batas dosa dan pahalanya.

Jika ia tidak setuju, dikatakannya ia berlawan dengan dasar PAS.

Tidak dikatakannya berdosa. Dan tidak pula mudah menghalal sesuatu yang belum diputuskannya.
Ada yang tidak disetujui, tidak dikatakan tidak boleh atau berdosa, tetapi dikatakannya harus. Perkara harus boleh dibuat dan boleh tidak dibuat.

Jika ia bertahaluf beberapa kali dengan mana-mana pihak sebelum ini, juga difikirkan tenang masalah ummah, rakyat dan negara.

Tahaluf itu diharus dalam siyasah syar’iyah. Nabi pun ada membuat perjanjian dengan kabilah Arab yang tidak Islam bagi menghadapi musuh yang lebih besar iaitu jahiliyah Quraisy.

Nabi s.a.w. memeterai perjanjiian dengan Quraisy di Hudaibiyah dan berdamai dengan Yahudi dalam pembentukan negara Madinah.

Perjanjian itu terbatal apabila ia dikhianati. PAS menyertai tahaluf kerana Nabi ada membuat perjanjian dengan musuhnya. Dan PAS membatalkan tahaluf kerana Nabi s.a.w. juga tidak dapat menerima pihak yang mengkhianatinya.

PAS ada amirnya. Amirnya dalam institusi mursyidul am dan presiden. Ia seperti berkongsi kuasa antara keduanya. Sama seperti PKR ada ketua umum dan presiden, dan DAP ada setiausaha agung dan penasihatnya atau Bersatu ada penasihat dan presidennya.

Bertahaluf atau membatalkan berdasarkan pandangan bebas Anggota Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Ada yang dibuat sebulat suara tetapi ada yang diputuskan oleh amir sendiri. Dalam keadaan berbeza pendapat, al-Marhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor pernah memberitahu jemaah di bawahnya supaya memberi kebebasan kepada amir untuk membuat keputusan.

Baik ia diputuskan sebulat suara atau ia ditentukan oleh amir, semuanya dibuat atas nama jemaah.
Cara mana Amir dapatkan persetujuan jemaah ia adalah atas kebijaksanaannya sebagai amir. Jika amir tidak dapat kepercayaan jamaah, tidak menjadi amirlah dia.

Tidak bersedia bergabung dengan pihak yang tidak dikehendakinya, dia secara berjemaah.
Adapun fatwa yang kata tidak berdosa yang Mahfuz buat itu dibuat seorang diri atau keputusan bersama siapa? Ulama yang mujtahid boleh membuat fatwa sendiri berdasar ilmunya yang luas.

 Orang awam kalau berjemaah pun janggal membuat fatwa apa lagi ia dibuat seorang diri.
Mungkin berdasarkan amalan umum selama ini. Politik apa pun sertailah asal jangan komunis yang diharamkan dan Zionis yang memusuhi manusia selain Yahudi.

Kerana dalam politik itu dikatakan tidak berdosalah dan tidak berpahalalah yang menyebabkan orang Umno tidak rasa wajib untuk menyokong PAS, dan orang keluar Umno tidak terdorong untuk bersama PAS.

Kerana merasakan tidak berdosalah mereka menubuhkan parti sendiri-sendiri. Yang rasa politik itu tidak berdosa, menentang enakmen hudud pun depa rasa tidak berdosa. Yang seorang diri selalunya di-ibaratkan seabagai kibas yang bersendirian, bila-bila masa boleh dicekup serigala. Pada PAS politiknya kerana Islam.

Adakah yang masuk PAS itu Islamnya betul belakakah? Ada yang berpahala dan ada yang tidak.
Macam sembahyang ada penat tonggang tonggek saja. Puasa ada yang lapar saja. Tapi tak boleh tak solat dan tak puasa. Solat tapi seorang diri, tak jadi juga.


No comments