Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Pendidikan, perjuangan PAS dijiwa Ustaz Mad

Oleh ANIS NAZRI 

KECINTAANNYA terhadap pendidikan dan keinginan menabur bakti serta khidmat kepada masyarakat menyebabkan beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan. Menjadikan PAS sebagai platform untuk berkhidmat, Pengarah Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Ismail yakin parti Islam itu yang terbaik dalam mendidik dan mentarbiah diri untuk lebih dekat dengan Allah.

Dalam usaha menaburkan khidmat kepada masyarakat itu, Ustaz Mohamad yang lebih mesra disapa Ustaz Mad itu merupakan salah seorang yang turut serta mengasaskan beberapa buah sekolah agama di negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman.


Malah, usaha itu tidak hanya terhad di Kedah, tetapi anak jati Sungai Petani ini cuba mengembangkannya di negeri-negeri lain demi menyaksikan bidang pendidikan ini lebih meluas dan seimbang di antara dunia dan akhirat.

Aktif dengan NGO Pendidikan sebagai Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Sekolah-Sekolah Agama Kedah, yang menggabungkan sekolah-sekolah agama, pondok, tahfiz di negeri itu, Ustaz Mad juga berusaha bersama membangunkan sekolah rendah yang dikenali sebagai Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Pengarah SRITI Malaysia.

Tidak hairanlah, anak keenam daripada 10 beradik pasangan Ismail Awang dan Che Um Musa ini menjadikan Ustaz Ahmad Yahaya sebagai idola dalam perjuangan, serta menghormati dan mengagumi Almarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik.

Dilahirkan pada 16 September 1975, bapa kepada enam puteri dan seorang putera ini, mula berjinak-jinak dengan PAS ketika mendapat pendidikan di Madrasah An-Nadzah Bukit Besar yang dikenali sebagai Pondok Tuan Guru Pak Man Bukit Besar.

Ketika itu beliau mendapati PAS mempunyai pelbagai program yang mendekatkan ahli-ahlinya kepada Allah, selain sebuah parti yang banyak menabur khidmat dan bakti kepada masyarakat.

Sebelum itu, Ustaz Mad mendapat pendidikan di peringkat rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 4, Gurun, sebelum ke Pondok Tuan Guru Pak Man dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Madrasah Misbahul Falah, Parit Panjang, Baling atau dikenali sebagai Pondok Lanai.

Ustaz Mad yang gemar melakukan kerja-kerja pentadbiran, pengurusan dan pendidikan mendirikan rumahtangga bersama isteri tercinta, Haryati Mohd Mokhtar pada 23 Mac 2000, yang berasal dari Pokok Sena, Kedah.

Kesibukannya bersama parti tidak sesekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama keluarga. Beliau yang gemar bersukan sering membawa ahli keluarganya berkunjung
ke pusat-pusat rekreasi sekiranya berkesempatan.

Ustaz Mad yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan pernah dianugerahkan sebagai petugas terbaik pada Muktamar Pemuda PAS Pusat pada tahun 2000 serta membangunkan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Tandop, Alor Setar.

Antara beberapa sekolah yang turut diasaskan Ustaz Mad bersama rakan-rakan yang lain ialah Sekolah Integrasi Faizin, Guar Chempedak; Sekolah Menengah Agama Al- Baqiyatussolihat, Padang Matsirat, Langkawi; Maahad Tahfiz Al-Fityan Kg. Setar, Yan; Pusat Pendidikan dan Kebajikan Darul Izzah, Kg. Perupuk, Yan; dan Maahad Tahfiz Al-Wustha, Guar Chempedak; Pondok Tahfiz TG. Hj. Majid, Guar Chempedak. Selain memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah SRITI Malaysia, Ustaz Mad turut diamanahkan sebagai AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP).

Manakala, di peringkat negeri beliau diamanahkan sebagai Penasihat Sekolah-sekolah Dewan Pemuda PAS Kedah, selain bertanggungjawab sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Jerai.

No comments