Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Salleh: Anwar, Kit Siang tidak akan biar Dr Mahathir jadi PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP Lim Kit Siang tidak akan sekali-kali membiarkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan pimpinan DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, 2 tokoh pembangkang itu tidak akan membiarkan perkara tersebut berlaku berikutan apa yang dilakukan Dr Mahathir terhadap mereka dan negara ini ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu, selain hakikat Pakatan Harapan hanya akan meragut nyawa sendiri sekiranya mereka menghadapi pilihan raya umum nanti dengan berjanji kepada pengundi untuk kembali kepada Mahathirisme.

“Tawaran Mahathir akan menjadi perdana menteri Pakatan Harapan bukanlah sesuatu yang tulen dan hanya sekadar untuk ‘ambil hati’ orang tua itu agar beliau terus menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” kata bendahari Umno itu dalam catatan melalui blognya sskeruak.blogspot.my.

Salleh berkata, Dr Mahathir, yang kini pengerusi Pakatan Harapan, terdesak dan sedar dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal Forex Bank Negara melibatkan AS$10 bilion, bukan sahaja legasinya akan musnah, tetapi dinasti politik beliau juga tidak akan menjadi kenyataan serta anak beliau dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tidak lagi mempunyai harapan untuk menjadi perdana menteri.

“Jadi, inilah masa paling baik untuk memperguna keadaan terdesak Mahathir itu agar beliau meningkatkan lagi serangan terhadap Najib, dengan menjanjikan jawatan perdana menteri kepada beliau,” kata bendahari Umno itu.

 Menyentuh andaian ciptaan pembangkang Dr Mahathir akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang serta akan dilantik menjadi perdana menteri, Salleh berkata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu sudah tersasar daripada realiti sekiranya beliau berfikir perkara itu akan berlaku.

“Sudahkah Mahathir lupa pada 2004 apabila pengundi memberi keputusan pilihan raya terbaik kepada Barisan Nasional (BN) dalam sejarahnya kerana mereka amat gembira untuk melihat Mahathir bersara?” tanya beliau.

Salleh berkata sikap hipokrit yang dipamerkan Pakatan Harapan dapat dilihat dengan begitu jelas dan hanya seseorang yang amat jahil sahaja tidak mampu melihatnya.

“Prinsip serta akhlak sudah tiada lagi dan Pakatan Harapan akan sanggup berkata dan berbuat apa sahaja, tidak kira betapa tidak masuk akal sekali pun, semata-mata untuk memperdaya pengundi kononnya mereka mempunyai formula untuk menang, sedangkan pada hakikatnya, barisan kepimpinan mereka hanya menunggu masa untuk mengalami musibah,” katanya.

Beliau berkata Pakatan Harapan menyangka pengundi boleh diperdaya dengan mudah dan mereka akan memenangi pilihan raya umum akan datang melalui tipu helah.

“Tetapi, pengundi dapat melihat perkara itu dengan ketara,” kata Salleh sambil menjelaskan Dr Mahathir akan menjadi calon pilihan raya paling tua dalam sejarah dunia iaitu pada usia 93 tahun, sekiranya beliau bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Beberapa hari lepas, media tempatan dan antarabangsa dilanda euforia mengenai apa yang disebut sebagai “gandingan” Dr Mahathir-Anwar dan apa yang dikatakan persetujuan tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

No comments