Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Akta 355: Diktator agama pula?

Oleh USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM

 FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 73;

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

Maksudnya; "Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. "

1.Dalam kitab Manhaj Hidup Muslim karangan Sayyid Qutb dan al-Maududi menyebut bahawa kejayaan umat Islam yang mempraktikkan Islam secara sempurna sejak bermulanya kejayaan Islam pada zaman Nabi SAW sehinggalah berakhirnya Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1924.

2.Kemuncak pada zaman Islam “in Golden Age” ini walaupun bersilih ganti dengan pelbagai peristiwa dan jatuh bangun, namun semuanya kejayaan sepanjang 1000 tahun itu adalah hasil daripada sifat umat Islam kepimpinan dan masyarakatnya menterjemahkan Islam sepenuhnya secara syumul dan bukan sebaliknya.

3.Islam yang diwahyukan oleh Allah menerusi kitabnya al-Quran dalam dua bentuk iaitu Makkiyyah yakni wahyu yang diturunkan di Mekah dan Madaniyyah yakni wahyu diturunkan di Madinah. Wahyu yang diturunkan di Mekah bersifat ayat ketuhanan dan kejadian ciptaan manakala wahyu yang diturunkan di Madinah bersifat hukum hakam dan sistem kehidupan.

4.Ini membuktikan bahawa pensyariatan Islam sememangnya diturunkan oleh Allah untuk masyarakat majmuk iaitu negeri Madinah yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani,  Musyrikin dan Islam. Sebaliknya di Mekah hampir keseluruhan populasinya adalah bangsa Arab. Ini menolak tohmahan bahawa Islam tidak sesuai untuk masyarakat majmuk.

5.Kejayaan Islam ini adalah dengan menegakkan Islam secara keseluruhannya bukan Islam yang diambil separuh separuh atau suku suku. Tiada dalil al-Quran mahupun hadis Nabi SAW termasuk juga sepanjang hayat dan sirah Baginda SAW yang memberi mesej bahawa Islam dipraktikkan secara sebahagiannya sahaja dan menolak sebahagian yang lain.

6.Apabila Akta 355 diusahakan oleh majoriti umat Islam di negara ini dipertikaikan oleh sebahagian kecil penentangnya yang beranggapan dan menuduh dengan pelbagai tohmah dan tuduhan yang tidak berfakta dan melulu seperti tidak sesuai, tidak kondusif, zalim dan terbaru pula diktator agama adalah menunjukkan kecetekan pandangan mereka terhadap isu atau sengaja tidak mahu memahaminya atau sememangnya mereka membenci Islam itu sendiri. Lebih mudah kalau mereka berterus terang agar kita tahu apa masalah mereka yang sebenarnya agar kita dapat merungkaikannya jawapan kepada mereka.

7.Tidakkah mereka sedari bahawa kepincangan sosial, kroniknya masalah jenayah, kehilangan rasa selamat dan aman adalah bukan berpunca daripada Akta 355. Akan tetapi berpunca daripada kegagalan sistem perundangan yang lain yang sudah sekian lama dipraktikkan.

8.Fakta menunjukkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000 hingga 2008, seramai 257,000 kanak-kanak telah didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan bagi tahun 1998 sehingga 2004 seramai 44 peratus daripada anak yang tidak mempunyai bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

9.Statistik jenayah pada tahun 2016 juga menunjukkan sebanyak 38,877 kes jenayah indeks dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April sahaja. Fakta ini didedahkan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dalam laporan Utusan Malaysia pada 7 Mei 2016.

10.Kenapa sistem perundangan yang telah menunjukkan kegagalan ini tidak dibangkitkan, dipertikaikan serta dibincangkan daripada mereka melontarkan pelbagai tohmahan terhadap Akta 355 yang diusahakan oleh pelbagai pihak sama ada dari kalangan bidang perundangan Islam itu sendiri mahupun ahli politik Islam yang ingin merealisasikannya.

11.Tiada bukti dan tiada fakta telah direkodkan dan dirakamkan apatahlagi untuk dibanggakan bahawa sikap dan idea menolak Islam telah membawa kebaikan dan keharmonian. Kegagalan menciptakan kehidupan yang lebih baik menerusi idea dan pemikiran menolak Islam sebagai penyelesaian inilah seharusnya disedari dan diakui dengan penuh insaf bahawa keperluan kepada Akta 355 sebagai satu alternatif malah kewajiban selaku seorang Muslim supaya dijayakannya.

12.Labelan terbaru Diktator Agama kepada pencinta agama Islam dan pejuang Akta 355 pasti akan menemui kegagalannya sebagaimana sebelumnya seperti label dan cop Pengganas, Fundamentalis dan Anti Kemodenan apabila masyarakat akan lebih mengenali dan mengkaji Islam dengan lebih mendalam sehingga membawa mereka mencintai Agama Ilahi yang bersifat rahmat ini. Terbaharu seorang artis Hollywood terkenal bernama Lindsay Lohan mula mengkaji Islam dan membaca al-Quran dalam keadaan dunia memperkenalkan serangan Islamophobia. Ciptaan Islamophobia di Malaysia juga tidak akan menguntungkan penentang Akta 355 malah akan menghujani rahmat Islam untuk semua.

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
Pengarah Penerangan DUPP
24 Febuari 2017 | 27 J. Awwal 1438H

No comments