Kalau begitu, fokus analisis pasca PRK tidak tertumpu terhadap kejayaan atau kelemahan kempen Pakatan Harapan (PH) di PD, bukan juga mengenai kecil besar bilangan pengundi yang keluar mengundi dan bukan tentang bagaimana calon-calon Bebas telah memecahkan undi.

Fokus analisis harus melihat perkara yang lebih besar tapi pokok. Perkara-perkara yang berimpak tinggi, dalam jangka pendek dan jangka panjang, dan terfokus hanya pada soal-soal yang berkait dengan janji-janji PRK atau Manisfeto PH pada PRU-14.

Kita ingin tahu apakah kemenangan Anwar, yang bakal ganti Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM), akan membawakan perubahan dan kejayaan kepada rakyat dan negara yang berbeza sifatnya daripada yang telah sedia ada dan sedang dilaksana kerajaan PH selepas 100 PH memerintah.

 Kalau Dr. Mahathir, selepas kemenangan PH dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, berjanji untuk ‘Menyelamatkan Malaysia’ dengan pakejnya tersendiri, iaitu membetulkan segala kelemahan dahulu, memperbaiki ekonomi negara, membentuk sebuah Malaysia baharu yang benar-benar mengamalkan demokrasi dalam tempoh dua tahun sebelum berundur sebagai PM, apakah yang baharu untuk Anwar rancang dan bakal laksanakan setelah ambil alih sebagai PM untuk ‘Menyelamatkan Malaysia’?

Maksudnya, kalau Dr. Mahathir akan berundur dalam tempoh dua tahun akan datang, apakah rancangan besar-besaran Anwar untuk menampilkan suatu ‘Pakej Menyelamat Malaysia’ yang berbeza, lebih substantif, sustainable, meyakinkan dan mengatasi apa yang telah digariskan oleh Dr. Mahathir.

Yang akan diperhatikan lebih rapi oleh rakyat nanti apakah Anwar sedia menghadapi reaksi politik getir dengan menyuarakan ‘pakej penyelamat Malaysia’ beliau ketika Dr. Mahahtir masih PM dan kandungan pakej itu tidak akan menggugat apa yang sedia ada.

Rakyat juga mungkin sudah jemu dengan teriakan slogan-slogan lusuh Gerakan Reformasi pimpinan beliau semenjak 1998 mengenai keadilan sosial, menghapus korupsi, kolusi dan nepostisme (KKN), tolak politik perkauman dan kesukuan, ekuiti dan kesaksamaan ekonomi,  ketuanan rakyat dan kemiskinan bandar.

Mereka juga mahu mendengar sesuatu yang baru untuk kawasan Parlimen PD dan Malaysia amnya. Rakyat tidak rabun dan tuli, masing-masing ingin mendengar dan melihat bagaimana Anwar akan merungkai  ‘politik dinasti’ yang berakar umbi kuat di Malaysia, khususnya dalam PH.
Pengaruh kelompok keluarga Anwar sendiri, dan keluarga Dr. Mahathir, Lim Kiat Siang sekeluarga dan dinasti Karpal Singh. Ramai juga yang akan bertanya apakah Anwar sedia menerima Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, di samping Azmin?

Apakah politik dinasti ini akan menimbul percakaran dalaman PH yang selanjutnya akan menggugat kestabilan dalaman PH dan melimpah pula nanti serta mengesankan pentadbiran negara?

Dalam PH sendiri banyak persoalan belum terjawab oleh Anwar, khususnya daripada bekas tokoh dan tokoh DAP sekarang. Dalam kata lain, soalan-soalan ini adalah daripada majoriti etnik Cina yang menyokong PH melalui DAP.

Dua soalan pokok daripada mereka adalah seperti berikut.Pertama, apakah perubahan-perubahan yang dibawa oleh kerajaan baharu PH yang nampaknya menuju ke arah Malaysian Malaysia (Malaysia untuk Semua) dan disenangi oleh pimpinan dan penyokong DAP akan diteruskan apabila Anwar menjadi PM?

Kedua, apakah kedudukan konsep bangsa yang berlandaskan Malay led plural society bertunjangkan kesultanan Melayu, agama Islam, dan bahasa Melayu akan dipertahan dan diperkukuh?

Ini disusuli dengan beberapa soalan lain yang juga fundamental sifatnya iaitu: Bilakah DEB akan dihapuskan?

Bila pilihan raya tempatan hendak diadakan kembali setelah dimansuhkan pada 1966? Bilakah agihan kekayaan negara akan diagih sama rata untuk semua kaum dengan memansuhkan pro-bumiputera GLCs?

Bilakah kerajaan boleh menanggung kesemua  aliran pendidikan vernakular?

Dalam kata lain, Anwar akan dipaksa berdepan dan menjawab  dengan terus terang soalan-soalan ini dari sektor kelas menengah Cina bandar yang bergantung kepada bahasa Inggeris dan Mandarin.

Namun cabaran yang lebih besar ialah tuntutan pengundi Melayu yang majoritinya mengundi UMNO dan Pas pada PRU-14 lalu. Sokongan pengundi Melayu terhadap PKR, Amanah dan PPBM jika dibandingkan adalah agak rendah dan tidak seperti yang dijangkakan oleh PKR khususnya.
 Walaupun ramai pemimpin parti minoriti dalam PH kini memegang jawatan menteri, tidak bererti ini cukup untuk memuaskan hati majoriti pengundi Melayu.

Kalau Anwar ingin menunaikan janji-janjinya terhadap kaum Melayu dan Raja-raja Melayu, yang beliau kunjungi selepas pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong lalu, apakah ini akan disanggah oleh parti komponen PH, biarpun Amanah dan PPBM masih merupakan parti minoriti Melayu?
Isu ‘Kereta Nasional Ketiga’ (KN3) bukan isu kecil. Ramai berpendapat, termasuk pandangan seorang ahli dalam Council of Eminent Persons, bahawa ia merupakan sebuah ‘projek peribadi’ yang kini sudah menjadi ‘projek nasional’.

Sebagai bekas Menteri Kewangan yang mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada Proton dan Perwaja serta beberapa projek mega yang gagal, mesti pada satu ketika dalam waktu terdekat terpaksa memberikan pandangan beliau yang pasti ditunggu oleh parti komponen PH dan rakyat Malaysia amnya.
Satu kemenangan seribu harapan

Harapan ini terbina semenjak 1982, ketika beliau masuk UMNO dan BN. Ia lebih jelas apabila beliau dengan Pasukan Wawasannya menumbangkan Allahyarham Ghafar Baba, Timbalan Presiden UMNO pada 1993.

Selepas itu Anwar telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada Disember 1993. Pada 1997, selama dua bulan beliau menjadi Pemangku Perdana Menteri ketika Mahathir bercuti rehat.

Ketika itu, ramai pemerhati politik dan pemimpin di Malaysia dan luar negara mengungkapkan kedudukan dan masa depan Anwar sebagai one heartbeat away from being a Prime Minister.

Ertinya, usahanya merintis jalan ke puncak semenjak 1982 telah berjalan lancar dengan licin. Tiba-tiba pada 1998, seperti digegar tsunami, jalan ke puncak yang dirintisnya runtuh meredum hilang bersama debu keruntuhan.

Daripada duduk di kerusi empuk di bilik berhawa dingin pejabat Timbalan Perdana Menteri beliau tiba-tiba terhumban ke sel penjara di Sungai Buluh dengan mata lebam.

Semenjak 1998 sehingga 2018, selama 20 tahun, beliau telah keluar masuk mahkamah dan penjara. Beliau tidak pernah berputus asa dan terus merintis jalan ke puncak, melalui ruang  politik dan di kamar mahkamah.

Melalui PRK PD yang berlangsung semalam, jalan ke puncak yang dirintisnya selama ini, dalam jatuh bangunnya itu, kini nampaknya terbina kukuh dan terbuka luas untuk beliau melangkah maju ke Putrajaya.

Pelbagai cabaran menanti beliau sebelum duduk di kerusi empuk Perdana Menteri.
Sama-sama kita lihat langkah-langkah Anwar selanjutnya menuju kerusi empuk itu.

* Penulis ialah penganalisis politik, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.