Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Apabila bunga hitam lawan bunga merah, warna-warni politik Malaysia

Oleh Zin Mahmud

Hujung minggu lalu Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya dalam kalangan ahli PPBM melancarkan kempen Bersatu Blackout sebagai bantahannya terhadap penyingkiran beliau dan para penyokongnya daripada PPBM. Dari awal lagi ketika berlaku perpecahan, kumpulan ini tetap menggunakan lambang bunga raya tetapi warna latarnya ditukar menjadi hitam.

Warna rasmi PPBM adalah merah. Ia dipercayai sebagai lanjutan kepada Umno yang juga mengambil merah sebagai warna rasmi. PPBM yang diasaskan dan dipimpin oleh Mahathir berhasrat untuk menggantikan Umno. Secara terperinci warna asas Umno adalah merah dan putih. Tetapi warna keduanya adalah kuning dan hijau. Kalau pada benderanya, yang warna kuning itu adalah bulatan di mana terletaknya lambang keris berwarna hijau. Hijau tentunya dikaitkan dengan Islam dan kuning adalah warna diraja Melayu.

Tetapi lambang bulatan kuning dan keris hijau itulah punca perpecahan pertama Umno pada 1947. Isu bendera Umno itu, antara lain punca keluarnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sekutunya daripada Umno.

PKMM yang ditubuhkan pada 1945 adalah parti politik Melayu yamg pertama di Malaya. Parti itu mengambil bendera Sang Saka, merah putih yang juga merupakan bendera kebangsaan Indonesia sebagai bendera parti.

Apabila Umno ditubuhkan pada 1946, PKMM turut bersama dengan persatuan Melayu yang lain menyertai Umno. Pada awalnya, Umno bukan merupakan parti politik. Tetapi ia lebih merupakan pertubuhan gabungan yang menyatukan semua persatuan Melayu di Malaya dan Singapura bagi menentang Malayan Union.

Pada awalnya, soal memperjuangkan kemerdekaan belum timbul. Apa yang diperjuangkan ialah mempertahan kedudukan raja-raja Melayu dan selanjutnya mempertahankan entiti politik negeri-negeri Melayu yang berdaulat.

Pada awalnya, Umno dipanggil sebagai Pekembar yang merupakan kependekan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Satu-satunya komponen Umno yang memperjuangkan kemerdekaan pada awalnya adalah PKMM.

Mereka membantah lambang bulatan kuning dan keris hijau kerana ia menyifatkan pencemaran terhadap perjuangan rakyat marhaen Melayu yang dilambangkan oleh bendera Sang Saka merah putih. Setelah keluar Umno, PKMM gagal didaftarkan kerana banyak pemimpin utamanya ditangkap oleh pentadbir kolonial British.

Namun bendera warna merah putih muncul sebagai lambang rumpun Melayu. Ia turut digunakan oleh PAS apabila ia ditubuhkan oleh pada m 1951. Pada bendera merah putih parti itu diletakkan bulatan hijau dipenjuru atas bagi melambangkan Islam.

Parti yang menjadi pewaris PKMM ditubuhkan pada 1955 dengan mengambil nama Parti Rakyat Malaya (PRM). Ia kekal mengambil merah putih sebagai benderanya. Cuma mereka meletakkan lambang kepala kerbau Banteng hitam di tengah-tengahnya.

Warna rasmi PRM adalah merah. Ia juga merupakan warna gerakan kiri dan sosialisme di seluruh dunia. Maka parti politik Malaya pertama, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1920 tentunya turut mengambil warna merah.

Jadi semua parti beraliran kiri di Malaya dan Singapura mengambil warna merah. Ini termasuk Parti Buruh Malaya dan Parti Buruh Singapura. Pewaris Parti Buruh Singapura iaitu Parti Pekerja Singapura yang baru-baru ini muncul sebagai parti pembangkang utama juga mengambil merah sebagai warna utamanya dan kuning warna kedua.

Parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang juga beraliran kiri mengambil merah sebagai warta utamanya bersama warna biru dan putih. Namun ia lebih banyak menonjolkan warna putih. Pewarisnya di Malaysia, DAP juga mempunyai warna serupa tetapi penonjolannya adalah merah.

Fahaman politik moden sudah lama mempunyai warna masing-masing. Kalau gerakan kiri berwarna merah, maka gerakan kanan berwarna biru. Sementara gerakan Islam tentunya berwarna hijau. Maka tentulah PAS berwarna hijau. Tetapi warna rasmi MIC adalah juga hijau. Warna hijau bukan saja melambangkan Islam. Hijau juga melambangkan pertanian, peladangan atau pekerja-pekerja ladang.

Sebab itu ada juga parti aliran kiri mengambil hijau sebagai warnanya. Hitam warna anarkisme, fahaman politik yang menolak sebarang bentuk pemerintahan. Ia juga sebahagian daripada aliran kiri.

Umno pula parti aliran kanan. Warna merah yang dimilikinya itu tidak mencerminkan aliran fahaman politiknya. Ia merupakan warna warisan rumpun Melayu iaitu merah dan putih. Tetapi Umno memasuki pilihan raya umum bersama MCA dan MIC dalam gabungan Perikatan. Maka tidak hairan warna Perikatan adalah biru tua, iaitu warna konservatisme dan aliran kanan.

Warna MCA adalah biru tua. Bintang kuning yang menjadi lambangnya itu boleh dikaitkan dengan Malaya yang warna benderanya ialah merah, putih, biru tua dan kuning. Ada suatu masa, biru tua juga melambangkan negara Komanwel.

Biru tua pada MCA juga serupa dengan lambang Parti Nasionalis China atau dikenali sebagai Kuomintang yang merupakan pengasas pada Republik China (ROC) yang kini merupakan entiti politik pulau Taiwan.

Dalam pilihan raya 1959, 3 parti utama bertanding iaitu Perikatan yang berwarna biru, PAS berwarna hijau dan Front Sosialis yang dianggotai oleh PRM dan Parti Buruh Malaya berwarna merah.

PAS lahir daripada perpecahan kedua Umno. Ini kerana parti itu yang asalnya merupakan Biro Agama Umno dan kemudiannya menjadi Persatuan Islam Se-Tanah Melayu. Pada awalnya ia dipimpin oleh penyokong Onn Jaafar yang keluar menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Dalam sejarahnya, PAS mengalami 3 kali perpecahan utama. Ia menghasilkan Berjasa, Hizbul Muslimin (Hamim) dan Amanah. Berjasa dan Hamim kekal mengambil hijau sebagai warnanya. Tetapi Amanah mengambil oren. Ia boleh digambarkan sebagai warna dinamik berorientasikan masa depan dan melepaskan diri daripada warna tradisi merah, biru dan hijau.

Ironinya, parti yang diambil alih oleh Amanah ialah Parti Pekerja-pekerja Malaysia (WPM) yang mempunyai hijau sebagai warnanya. WPM yang penubuhannya adalah untuk mewarisi perjuangan Parti Buruh Malaya dengan mengambil lambang yang sama walaupun berlainan warna.

Hakikatnya Umno asal diisytiharkan tidak sah pada 1987. Maka daripadanya lahir dua pengganti iaitu Umno Baru dan Parti Semangat 46. Umno Baru mengambil semula semua lambang Umno. Parti Semangat 46 mengambil warna kuning, dengan angka 46 berwarna hijau.

Apabila Umno berpecah lagi pada 1998, ia melahirkan Parti Keadilan Nasional. Tetapi ia tidak mengambil warna merah Umno atau warna biru tua Barisan Nasional. Keadilan mengambil warna biru muda.

Dalam budaya politik moden, biru muda menggambarkan keamanan dan perdamaian. Sebab itu, warna Bangsa-bangsa Bersatu berwarna biru muda. Ia dianggap sebagai berada di tengah, tidak kiri atau kanan dalam spektrum politik.

Tetapi apabila Keadilan bergabung dengan PRM maka dua jalur merah digambarkan pada bendera PKR. Parti itu dilihat sebagai tengah kiri, centre-left dalam spektrum politik.

Semasa Pakatan Rakyat ditubuhkan, warna yang ditampilkan oleh gabungan itu ialah jalur biru muda mewakili PKR, merah mewakili DAP dan hijau mewakili PAS.

Tetapi apabila Pakatan Harapan ditubuhkan, ia mengambil merah yang juga merupakan warna PPBM dan DAP. Oleh kerana ia tidak dapat didaftarkan untuk bertanding pilihan raya umum ke-14, maka mereka menggunakan lambang PKR iaitu berwarna biru muda, Maka dalam PRU itu biru muda mengalahkan biru tua.

Kini PPBM sudah keluar Pakatan Harapan. Ia berada dalam Perikatan Nasional bersama BN dan PAS. Secara tidak rasmi lambang Perikatan Nasional dilihat sebagai warna biru tua dengan bintang dan bulan berwarna kuning. Jadi warna Perikatan Nasional mewarisi warna Barisan Nasional.

Dalam PRU ke-15 kelak, merah akan berentap dengan biru tua. Ia meneruskan tradisi warna politik, warna biru tua adalah establishment dan merah adalah pemberontak, “rebel” ................................................................................................................................................................
Admin :pihak kami tidak lagi terlibat dalam laman web detikdaily.net ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...

https://denyutreformasi.blogspot.com/

No comments