Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Rentak citarasa Islam dan buruan undi Melayu

Oleh Zin Mahmud

PAS baru-baru ini dilaporkan akan melancarkan blok politik baharu. Tidakkah PAS sudah ada blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera melibatkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dipimpin Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir?

Bukannya blok baharu, menurut spekulasi kemudiannya. Tetapi hanya tambahan kepada Gagasan Sejahtera. Parti apa ya? Kemungkinan parti kecil yang tidak mahu menyertai sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Walaupun ada banyak parti lain yang mungkin boleh menyertai Gagasan Sejahtera, gabungan itu tetap didominasi oleh PAS. Maka apa yang disebut PAS sebagai blok ketiga boleh dilihat sebagai platform menentang kedua-dua BN dan PH. Jika ini berlaku, maka barulah ia boleh dikatakan sebagai blok ketiga.

Blok ketiga ini berupaya memberi kesan kepada politik tanah air dari segi ia boleh menguntungkan sesuatu pihak, dan merugikan pihak lagi satu. Maknanya PAS boleh memecahkan undi yang sepatutnya padu mengundi salah satu pihak.

Tetapi memandangkan blok ketiga ini boleh dianggap sebagai pihak pembangkang juga, maka undi yang akan dipecahkan ialah undi PH. Maknanya PH akan rugi dan BN yang untung.

Walaupun dikatakan berkecuali, tetapi ia mesra BN kerana kehadirannya merugikan PH. Namun begitu, Gagasan Sejahtera boleh mesra dengan PH iaitu jika mereka bekerjasama.

PAS jelas menolak PH semata-mata kerana DAP dan Amanah. Tetapi ruang bagi pembangkang bersatu masih ada walaupun usaha PPBM dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali untuk memujuk PAS sebelum ini tidak berjaya.

Ini kerana ada satu ketika, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak Pakatan Rakyat membayangkan gabungan parti pembangkang yang pernah disertai partinya pada 1990 dahulu, iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan kerjasama Gagasan Rakyat.

Dalam aturan itu, PAS tidak perlu bekerjasama dengan DAP. PAS hanya menganggotai APU. Sementara DAP hanya menganggotai Gagasan Rakyat ketika itu.

Tetapi APU dan Gagasan dapat bekerjasama dengan Semangat 46, yang menjadi anggota kedua-duanya.

Peranan Azmin

Dalam konteks sekarang, PH dapat bekerjasama dengan Gagasan Sejahtera sekiranya ada sebuah parti yang menganggotai kedua-duanya. Dalam hal ini, PKR boleh memainkan peranan seperti mana yang pernah dilakukan oleh Semangat 46 dahulu.

Ini kerana, hanya PKR masih dapat diterima oleh PAS. Sementara pemimpin PH yang boleh jadi penyelaras hubungan dengan Gagasan Sejahtera ialah Azmin. Ini kerana Hadi mungkin tidak dapat menerima Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tetapi adakah DAP dan Amanah dapat menerima aturan ini?

Kalau mereka boleh menerima kerajaan negeri PH campur PAS di Selangor, maka perkara seumpama ini tidak mustahil boleh diwujudkan. Itu kalau PAS mahukan barisan bersatu pembangkang.
Tetapi jika Gagasan Sejahtera mahu membantu BN mengekalkan kuasanya, maka tidak timbullah PAS kekal menjadi pembangkang. Sebaliknya Gagasan Sejahtera boleh mengadakan kerjasama dengan BN bagi menghalang sebarang kemenangan PH.

PAS masih mempunyai kekuatan penting di kalangan orang Melayu walaupun ia tidaklah sebesar dahulu, iaitu sebelum perpecahannya yang melahirkan Amanah. Ini kerana Amanah bukanlah separuh daripadanya, tetapi hanya sebahagian kecil daripadanya.

Itu dari segi ahli asalnya. Dari segi undi, PAS akan kehilangan sebahagian dan memperoleh penyokong baharunya, antaranya daripada penyokong Umno. Kekuatan PAS inilah yang diakui oleh PKR, PPBM dan Umno sendiri apabila melihat pemimpin mereka cuba mengajak parti itu menyertai pihak masing-masing.

Kelompok ‘Islam konservatif’

PAS mewakili suatu fahaman politik agama yang popular di kalangan orang Melayu. Walaupun banyak di kalangan Melayu tidak menyokong PAS, mereka mempunyai fahaman yang sama dengan apa yang diperjuangkan parti itu.

Mungkin istilah bagi fahaman ini boleh disebut sebagai Islam konservatif, walaupun ia sebenarnya tidak tepat.

Umumnya, kebanyakan orang Melayu berpegang pada Islam konservatif. Cuma ada sebahagian kecil yang tidak menyokong fahaman itu. Mereka pula terdiri daripada pelbagai aliran yang berlainan fahaman di antara satu sama lain, umpamanya Islam progresif, Islam liberal, Islam sekular dan sebagainya. Tetapi istilah itu itu pun kurang tepat.

Maka orang Islam konservatif berada di semua parti majoriti Melayu sama ada Umno, PAS, PPBM, PKR malah Amanah. Setiap parti itu mempunyai ideologi teras masing-masing tetapi dari segi fahaman keagamaan, mereka mungkin adalah Muslim konservatif.

Ada sebab mereka menyokong sesebuah parti, sama ada kerana dasar, program atau pemimpin. Tetapi dari segi fahaman, mereka tetap Muslim konservatif yang dasar menyeluruhnya diperjuangkan oleh PAS.

Amanah sendiri yang asalnya adalah daripada PAS tentu berkongsi fahaman dengan parti itu. Sungguhpun sebahagian daripada penyokong Amanah merupakan Muslim “progresif” tetapi kebanyakannya adalah Muslim konservatif, cuma mereka menolak PAS kerana keutamaan pendekatan parti itu yang dilihat tidak berkesan dalam masyarakat majmuk negara ini, ditambah dengan kepimpinan PAS yang tidak bertindak sebagai pemersatu ketika berlaku krisis dua golongan.
Begitu juga dengan penyokong penyokong Umno, PKR dan PPBM. Ada antaranya yang juga Muslim konservatif tetapi mereka tidak dapat menerima pendekatan PAS itu.

Sungguhpun begitu, dari segi teras perjuangan, Umno, PKR, PPBM dan Amanah tidak berpegang pada Islam konservatif seperti PAS.

PKR dan Amanah menganggap diri mereka “Islam progresif”. Sementara Umno dan PPBM adalah Islam nasionalis. Namun begitu, fahaman Islam Dr Mahathir sendiri pula boleh dilihat sebagai progresif.

Rentak rakyat

Sebab itulah, seseorang tidak boleh menilai fahaman sesebuah parti secara label dan istilah. Ini kerana ia adalah suatu yang kompleks.

Dalam sesebuah parti terdapat pelbagai fahaman yang ada kalanya tidak sama dengan teras perjuangannya. Ciri Islam konservatif boleh dilihat daripada apa yang menjadikan sikap perjuangan pendokongnya.

Umpamanya, seseorang Muslim konservatif mendokong rang undang-undang meminda akta syariah, atau RUU 355. Mereka juga menyokong amalan anak luar nikah dibinkan dengan nama “Abdullah”.
Umumnya, lembaga agama negara ini berpegang pada Islam konservatif. Tetapi Mufti Perlis, Datuk Mohad Asri Zainul Abidin boleh dianggap sebagai ulama Islam progresif.

Di atas segalanya, parti politik akan mengikut rentak kehendak rakyat untuk memperoleh kuasa mereka. Maka jika majoriti orang Islam Malaysia menyokong Islam konservatif, maka parti Melayu akan turut menampilkan diri secara demikian.

Bila keadaan ini berlaku, orang Melayu yang menolak Islam konservatif akan menjadi minoriti dan terpinggir.

Umpamanya golongan Muslim progresif boleh bercakap di forum atau menulis rencana mengenai fahaman mereka, tetapi dalam pentas politik, fahaman mereka dikalahkan oleh pihak Islam konservatif.

Di Malaysia pula, kelihatannya, orang Islam bertambah menjadi konservatif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

No comments