Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Dr Mahathir dahulu, Dr Mahathir kini

Oleh Syed Badli Shah Syed Osman
 
Ketika era kebangkitan rakyat zaman Reformasi tahun 1998, saya baru berusia 14 tahun. Kebangkitan ini bermula apabila perdana menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak memecat timbalan perdana menteri yang juga anak didiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segala macam tuduhan jahat dan fitnah. Mungkin saya sedikit bertuah walaupun berusia muda dan masih di bangku sekolah menengah, saya merasai gelombang kebangkitan itu dan menyaksikannya.

Keluarga saya berasal dan menetap di Kampung Baru Kuala Lumpur. Medan tempur setiap minggu para pejuang reformis yang tidak mengenal erti jemu melawan itu lazimnya berlangsung di Kampung Baru, Sogo, Masjid Jamek, Dataran Merdeka dan seluruh negara.

Setiap Sabtu dinanti dengan perasaan mahu melawan yang meluap-luap. Risalah difotostat sendiri, kerat 4 dan diedar setiap Jumaat. Tidak perlu disuruh, pasti ada saja risalah yang diedar oleh marhaen untuk mengajak kebangkitan rakyat pada keesokan hari. Tulisannya ringkas “Sabtu Jam 4ptg, Sogo”.

Malam sebelumnya pertemuan di kedai-kedai kopi untuk menyusun langkah keesokan hari. Pasar Keramat, Masjid India, Bukit Bintang, Lembah Pantai dan banyak lagi lokasi kedai-kedai kopi yang menjadi tempat para reformis bertemu dan menyusun langkah. Ketika itu tiada ketua, tiada ahli politik berkepentingan, tiada arahan. Yang ada hanyalah semangat jitu untuk bangkit, penyatuan dan menentang rejim zalim di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

Seperti mana para reformis yang turun dengan semangat melawan setiap minggu, begitulah juga gerombolan penguasa yang bersedia dengan segala macam kekuatan dan kelengkapan untuk menentang marhaen yang bangkit. Gerombolan penguasa ini digerakkan oleh perdana menteri yang pada ketika itu amat takut kehilangan kuasa. Maka ramailah yang berdarah dipukul, dilibas, dipijak, ditendang dan tidak kurang yang ditangkap kemudian belayarlah mereka 2 hingga 3 tahun di bawah akta zalim ISA. Sesungguhnya sejarah itu tidak mungkin boleh dipadam.

Kampung Baru menyaksikan detik kebangkitan dan medan perlawanan rakyat hampir setiap minggu. Masjid Jamek Kampung Baru akan dipenuhi saf maghrib seperti solat jumaat. Selesai sahaja solat maghrib, maka bergemalah jeritan “Takbir!!!!” sebagai tanda marhaen bangkit di sebelah malam. Lampu trafik di persimpangan masjid akan dipenuhi ratusan reformis melaungkan kata-kata kebangkitan dan kalimah keramat Reformasi pon bergema. Polis FRU dan Pasukan Polis Hutan akan bersedia bersama trak-trak mereka di Jalan Raja Alang dan jalan menuju ke menara Bank Pembangunan.

Maka lampu dinyalakan, loceng dibunyikan, perisai diketuk, dan tumit kasut dibunyikan sebagai tanda amaran untuk menggerunkan para reformis. Tetapi, semangat para reformis tidak sedikit pun goyah. Malah mereka bersedia dengan berani untuk berdepan setiap kali loceng dibunyikan. Maka berdentumlah tembakan gas pemedih mata ditembak secara rambang dan jatuh di rumah-rumah dan jalan-jalan sekitar masjid.

Maka bertempiaranlah para reformis mencari posisi perlindungan untuk kembali melawan. Mereka maju dengan kayu, batu, dan apa sahaja yang boleh dijadikan senjata asalkan mampu mempertahankan diri dan maruah perjuangan. Tidak kurang juga yang lari bersembunyi di rumah-rumah sekitar kawasan. Mata-mata polis berpakaian preman yang gagal bersembunyi akan dijadikan bahan serangan para reformis sehingga ada mata-mata yang terpaksa mengeluarkan pistol demi mempertahankan diri apabila identitinya terbongkar.

Ribuan reformis berani ntah dari mana datangnya, semuanya punyai semangat kental untuk berjuang dan mereka-mereka ini adalah unsang wira yang tidak didendang.

Rumah orang tua saya yang terletak di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru turut diubahsuai kolongnya. Khas untuk memberi perlindungan kepada para reformis yang lari ketakutan ketika diburu penguasa yang menggila. Pintu rumah ditendang dan setiap penghuni diperiksa. Kain pelikat diberi seorang 1 sebagai tanda reformis tersebut adalah penghuni rumah kami. Begitulah rutin setiap Sabtu perlawanan rakyat di Kampung Baru.

Tahun 1999 menyaksikan PKR ditubuhkan secara rasmi sebagai alternatif untuk menentang tirani zalim. Kedua orang tua saya yang berdarah pekat Umno akhirnya keluar parti setelah Anwar dipecat. Dan rumah pertama di Kampung Baru yang mengibarkan bendera biru PKR adalah rumah kami.

PKR Titiwangsa ditubuh secara rasmi dan rumah kami antara tempat gerakan awal PKR bergerak di bawah kepimpinan Kapten Hasmah, Ketua Cabang Titiwangsa yang pertama. Maka bermulalah perjuangan PK di Kampung Baru dan kekal sehingga ke hari ini. Laman rumah sering dijadikan tapak ceramah umum untuk menyampaikan madah hasutan kepada marhaen bahawa kerajaan ini rosak dan perlu diganti.

Perkiraan saya insan yang paling gerun pada ketika itu adalah Dr Mahathir.

Walaupun Anwar telah ditangkap dan dipenjara, namun semangatnya terus membakar marhaen untuk bangkit melawan. Maka ramailah kawan-kawan di kiri dan kanan Anwar ditangkap dan diburu. Tidak kurang juga yang dikurung di bawah ISA. Ada juga yang lari ke luar kota. Bukan kerana mereka takut, tetapi mereka berundur untuk menyusun langkah. Sementara itu, Dr Mahathir dapatlah menarik nafas lega kerana masih kekal berkuasa.

Pengunduran Dr Mahathir

Akhirnya Dr Mahathir berundur pada tahun 2003 dan diserahkan tampuk kuasa kepada penggantinya yang digelar “Mr. Clean” Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya boleh katakan yang “Paklah” jauh lebih berperikemanusiaan dari Dr Mahathir. Akhirnya Anwar dibebaskan dan segala tuduhan digugurkan di zaman pemerintahan Paklah. Anwar yang sakit belakang ketika itu belayar terus keluar negara untuk berubat. Selang beberapa ketika beliau kembali dengan semangat waja untuk memimpin Malaysia dan sekaligus merubah landskap politik Malaysia.

Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, pembangkang mula bersatu dan semakin kuat. Pilihan raya 2008 adalah medan ujian buat Umno yang kehilangan 5 negeri dan gagal mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen. Gabungan pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan di Negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan mengekalkan Kelantan telah memberi tamparan besar kepada Umno. Wilayah Persekutuan juga boleh dikatakan Barisan Nasional tewas kerana hanya Parlimen Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan masih di tangan BN. Selebihnya semua kerusi bandar dikuasai gabungan pembangkang yang dipimpin Anwar.

Dr Mahathir merasakan Paklah telah buat silap besar dengan membebaskan Anwar. Maka langkah disusun Dr Mahathir untuk mencantas Paklah dan menaikkan anak didiknya yang lain iaitu Najib. Pelbagai tekanan diberikan kepada Paklah sehingga tahap Dr Mahathir terpaksa umumkan untuk tinggalkan Umno demi menunjukkan kepada umum betapa rosaknya Umno di bawah Paklah.
Akhirnya Paklah akur dan berundur. Maka naiklah anak didiknya Najib sebagai ganti. Ketika itu Mahathir belum tahu bahawa anak didiknya yang konon boleh diharap, bakal melingkup dan mencemarkan Malaysia. Maka dengan senang hati Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno.

Era pemerintahan cara Najib pun bermula. Corak pemerintahan Dr Mahathir dipadam 1 persatu. Sehingga potret Dr Mahathir di PWTC juga turut dibuang.

Dengan bermewah-mewah untuk tembolok sendiri, pelbagai skandal yang mencemar nama baik negara terpalit kepada Najib. Skandal pembunuhan Altantuya, kapal selam, SRC dan yang terbaru skandal 1MDB yang melibatkan jumlah berbilion ringgit, mencemar nama baik negara. Malaysia mula menjadi sebutan di luar negara kerana skandal-skandal yang dikaitkan dengan Najib. Selain tekanan demi tekanan kepada rakyat sehingga terpaksa menanggung beban membayar cukai GST yang tinggi.

Dr Mahathir yang sudah tua dan sepatutnya bersara terpaksa kembali ke arena politik untuk menegur kesilapan demi kesilapan yang Najib. Tetapi Dr Mahathir silap besar. Anak muridnya ini jauh lebih licik dari beliau. Semua teguran tidak diendahkan. Mereka yang lantang mengkritik dipecat termasuk timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lebih menyedihkan ramai anak-anak didik dan orang-orang kepercayaan Dr Mahathir di dalam Umno mengambil langkah menyerang Dr Mahathir bertalu-talu dan menganggap Dr Mahathir sebagai pengkhianat Umno.

Mungkin sekarang baru Dr Mahathir faham apa rasanya bila diserang dan diaib di khalayak umum.
Maka Dr Mahathir mengambil langkah drastik dengan meninggalkan Umno sekali lagi dan menubuhkan PPBM sebagai alternatif kepada Umno yang sudah rosak teruk di bawah Najib. Mahathir mula menyusun kekuatan PPBM dengan menghimpunkan mereka yang berasal dari Umno tetapi tidak bersetuju dengan corak pemerintahan Najib. Dr Mahathir sedar yang beliau lemah dan tiada kuasa untuk menentang rejim di bawah pimpinan muridnya Najib,

Mahathir Kini

Dr Mahathir kini bukanlah seperti Dr Mahathir yang dulu. Dr Mahathir yang dulu sangat berkuasa. Kini yang tinggal bersama Dr Mahathir hanyalah teman-teman yang mahu menangis dan berjuang bersamanya. Maka, Dr Mahathir tidak punya banyak pilihan. Jika bergerak sendiri, Najib tidak akan berjaya ditumbangkan. Akhirnya, Dr Mahathir akur dan datang menghulur tangan kepada gabungan pembangkang yang sudah sedia kuat dibawah kepimpinan Anwar.

Menjadi insan bernama Anwar tidaklah mudah. Pernah diaib, difitnah dipenjara lagi dan lagi, saya jangka beliau tidak akan hulur tangan kepada Dr Mahathir.

Tapi jangkaan saya meleset sama sekali. Dr Mahathir yang telah mengetepikan segala ego dan kesombongan, datang ke mahkamah menunduk dan menghulurkan tangan kepada Anwar. Seluruh negara menyaksikan detik bersejarah pada tanggal 5 September 2016 itu apabila Anwar menyambut salam Dr Mahathir dengan senyum seolah-olah telah memaafkan dosa silam beliau. Maka berjabatlah kedua tokoh besar ini setelah berseteru selama 18 tahun. Ternyata Anwar pemimpin hebat apabila menganggap luka-luka lama itu sebagai kecil jika nak dibanding dengan masalah negara sekarang.

Maka kerjasama baru pun diwujudkan. Gandingan dua tokoh besar Anwar dan Dr Mahathir akan membuatkan rejim Najib tidak lena tidur.

Pakatan Harapan pun terbentuk dengan penyertaan parti-parti pembangkan dan parti pimpinan Dr Mahathir.

Jika ditanya kepada saya adakah Mahathir ikhlas? Jawapan saya adalah “Ya”. Setidak-tidaknya beliau sedang melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Segala langkah politik yang beliau ambil kini tidak memungkinkan beliau boleh kembali kepada Umno. Kerana segala strategi yang disusun adalah untuk merebahkan Umno dan Barisan Nasional (BN). Nama-nama besar seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Azmin Ali, Mat Sabu, Datuk Husam Musa, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan ramai lagi, mereka ini tidak mungkin gagal membaca langkah Dr Mahathir.

Keluarga Anwar adalah yang paling terluka dengan perbuatan Mahathir. Tetapi Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan seluruh keluarga Anwar boleh berlapang dada menerima kehadiran Dr Mahathir. Kerana Dr Mahathir hari ini sudah tidak punya kuasa. Jika Dr Mahathir punya niat songsang, saya yakin pemimpin-pemimpin ini tidak akan bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir dan pasukannya.

Tidak dinafi luka lama masih terkesan parutnya. Ramai yang berparut masih tidak mampu memaafkan Dr Mahathir. Ada di antara reformis cedera dipukul, hilang pekerjaan, hilang tempat tinggal, terpisah dari keluarga dan pelbagai tekanan pemerintah ketika itu. Saya faham situasi mereka kerana keluarga saya juga menerima tekanan yang sama sejak 1998. Seringkali penguasa berpakaian hadir memberi amaran itu dan ini. Dan setiap langkah sentiasa menjadi perhatian.

Tetapi harus kita teliti dan fahami bahawa langkah Dr Mahathir kini adalah untuk memperbetulkan kesilapannya yang lalu. Segala yang beliau lakukan adalah bertentangan dengan caranya ketika masih di tampuk kuasa. Beliau kini menongkah arus dan menentang parti nya sendiri yang pernah dipimpinnya puluhan tahun. Malah beliau melancarkan serangan yang bertubi-tubi kepada Umno dan membongkar 1 persatu skandal Najib.

Maka wajarlah kita ketepikan luka lama dan berganding bahu demi menyelamatkan negara dari tangan perompak zaman moden.

Bersatulah

Saya sedar tidak semua dari kita mampu menerimanya. Bagi mereka yang masih marah kepada Dr Mahathir, tentunya untuk bekerjasama bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi janganlah kita pula menjadi penghalang kepada agenda untuk menyelamatkan negara. Tidak mengapalah jika kita tidak mahu membantu, sekurang-kurangnya berilah ruang kepada teman-teman lain untuk meneruskan perjuangan demi menyelamatkan Malaysia.

Kepada parti-parti rakan yang tidak bersetuju dengan keberadaan Pakatan Harapan. Sedarlah bahawa dengan momokan kononnya mewujudkan blok alternatif sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, malah bakal merumit dan merugikan. Tindakan dengan mewujudkan blok ke-3 hanya akan memberikan talian hayat kepada Umno untuk terus kekal berkuasa.

Satu-satunya cara untuk menumbangkan rejim BN adalah dengan memastikan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dan BN. Rendahkan ego dan mulakan rundingan kerjasama. Parti seperti PSM yang komited memperjuangkan nasib marhaen perlu diberi ruang, diangkat dan dibantu untuk bertembung rejim BN. PAS pula perlu untuk merangka semula strategi supaya tidak menjadi faktor pemecah undi dan akhirnya menguntungkan BN.

Saya juga ingin melihat agenda Islam ditegakkan. Tetapi dengan cara mewujudkan blok ke-3, strategi ini akan merugikan semua pihak dan akhirnya tiada agenda Islam yang mampu kita laksanakan. Parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak juga perlu dilibatkan dan duduk sebagai 1 pasukan. Fokus kepada agenda besar untuk menumbangkan rejim Umno dan BN demi menyelamatkan Malaysia.

Akhir kata, untuk melihat Malaysia di bawah pemerintahan yang lebih baik adalah dengan semua pihak bersatu padu dan menumbangkan kerajaan BN. Jika masing-masing kekal dengan ego, saya jangka pilihan raya nanti akan memberikan kesan yang amat buruk kepada negara Malaysia dan seluruh parti-parti pembangkang. Ayuh kita semua bersatu dan luruskan saf. Bersedia untuk bangkit melawan. Ke arah Malaysia yang lebih baik.

No comments