Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Hipotesis Awal Prk Rantau : PH Belum Kalah,UNdi Pas Bukan Penentu

Oleh Mohd Yusri Ibrahim

Selepas BN menang bergaya dengan majoriti melebihi 3000 undi di Cameron Highland serta menimbus hampir 9000 majoriti PH untuk keluar sebagai pemenang di Semenyih dengan kelebihan hampir 2000 undi, ramai menjangkakan BN akan meneruskan momentum ini untuk sekali lagi menewaskan PH dengan bergaya di Rantau pada 13 April nanti.

Namun analisis awal kami tidak menunjukkan begitu. Walaupun situasi semasa menunjukkan BN khususnya Umno mempunyai kelebihan dalam aspek momentum dan populariti pada segmen pengundi Melayu-Muslim, namun data-data menunjukkan PH belum kalah. PRK Rantau akan jadi pertembungan strategi dan taktikal paling sengit, yang terbaik dalam aspek ini akan keluar sebagai pemenang.

Selepas Tok Mat menang tanpa bertanding dalam PRU 14 lalu, data terkini yang boleh dirujuk sebagai asas pertimbangan adalah keputusan PRU 13 pada tahun 2013. Namun dalam situasi politik yang berubah sangat pantas mutakhir ini, data berusia enam tahun tersebut sudah terlalu usang untuk dijadikan asas pertimbangan.

Walaupun tiada pertandingan untuk kerusi DUN, namun pengundi Rantau tetap keluar mengundi dalam PRU 14 yang lepas untuk memilih Ahli Parlimen mereka. Meskipun BN keluar sebagai pemenang untuk Parlimen Rembau, namun keputusan tersebut menunjukkan KJ kalah beberapa ratus undi di Rantau.

Situasi ini menunjukkan cabaran PH di Rantau tidak boleh dipandang enteng, mereka mempunyai stok pengundi yang mencukupi untuk memberi cabaran sengit kepada timbalan presiden yang menjalankan tugas2 presiden Umno itu. Dengan kata lain PH belum kalah, BN belum menang.

Dalam dua siri PRK terakhir di Cameron Highland dan Semenyih, kami meletakkan undi Pas sebagai faktor paling dominan untuk menentukan keputusan PRK2 tersebut. Ini kerana 3000 lebih undi Pas di Cameron Highland dan hampir 7000 di Semenyih akan jadi faktor peramal sangat signifikan. Berpandukan faktor pas tersebut dan beberapa faktor peramal lain, keputusan dua PRK tersebut tepat dengan hipotesis kami.

Namun di Rantau situasi agak berbeza, Pas lemah di Dun ini. Antara empat Dun dalam Parlimen Rembau, Dun Rantau inilah Pas paling kurang sokongan. Dalam PRU 14 yang lepas, calon parlimen Pas hanya memperolehi sekitar 700 undi daripada Dun ini. Jumlah 700 undi ini juga memberi makna untuk penentuan pemenang dalam pertembungan yang sengit, namun terlalu kecil untuk jadi faktor penentu seperti di Cameron Highland dan Semenyih.

Faktor penentu di Rantau ini adalah pengundi berbangsa India yang berjumlah sekitar 27 peratus daripada keseluruhan pengundi. Faktor inilah yang boleh dijadikan sandaran oleh PH untuk cuba memenangi kerusi ini, seterusnya menyekat dominasi dan momentum BN/Umno.

Jika PH memperolehi solid undi daripada pemilih India, mereka hanya memerlukan sekitar 10 peratus lebih undi daripada segmen Melayu untuk keluar sebagai pemenang, jika kadar keluar mengundi masih rendah seperti siri2 PRK pasca PRU 14 yang lain. Walaupun sokongan pengundi Melayu agak merosot mutakhir ini, namun 10 peratus tersebut masih boleh dicapai bersandarkan purata 25 peratus undi Melayu yang PH perolehi dalam PRU lalu.

Untuk memperolehi majoriti undi daripada pemilih berbangsa India ini, PH perlu mempertaruhkan calon yang berpotensi mendapat sokongan mereka. Jika sekali lagi PH silap percaturan calon seperti di Semenyih, mereka akang bungkus awal, Tok Mat akan tidur lena.

Tinjauan awal kami menunjukkan R Tanggam iaitu ketua cabang PKR Rembau mempunyai potensi untuk jadi faktor signifikan dalam isu ini. Tanggam mempunyai potensi untuk mempengaruhi pengundi berbangsa India bagi memberi sokongan kepada PH, seterusnya PH keluar sebagai pemenang.

Barangkali ada beberapa pilihan kepada PH untuk meletakkan cakon, pertama pilih Tanggam sebagai calon Rantau ini. Pemilihan ini akan meningkatkan undi India kepada PH, tapi pastinya mengurangkan sokongan segmen pengundi Melayu rentetan isu2 ICERD, Kuil Sri Petaling, penghinaan kepada Nabi dan pengukuhan kerjasama Umno-Pas. Namun PH masih boleh fokuskan untuk cuba dapat sekitar 10 peratus lebih undi Melayu yang disebut tadi.

Pilihan lain adalah PH pilih calon Melayu yang disokong dan didokong oleh Tanggam. Pilihan ini boleh jadi serampang dua mata, meninggikan sedikit potensi sokongan Melayu dan dalam masa yang sama mengekalkan sokongan India melalui pengaruh Tanggam.

Pilihan ketiga adalah PH pilih calon India selain Tanggam, tetapi disokong dan didokong oleh beliau. Saya tak sempat nak buat justifikasi ini, penerbangan KL-KB saya ni dah nak mendarat, pramugari dah suruh matikan telefon.

Ringkasnya, PRK Rantau akan sengit dengan strategi dan taktikal. Jika PH lemah dalam mengatus gerak seperti yang disebut ini, BN akan meneruskan dominasi dan momentum, akan keluar sebagai pemenang, dibantu oleh ketidakpuasan segmen Melayu-Muslim yang memuncak terhadap kerajaan PH sekarang.

Jika PH pandai mengatur taktikal, mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada BN untuk meneruskan rentak kemenangan.

Ini sekadar analisis awal, kami akan turun ke lapangan untuk meninjau realiti sebenar nanti dan akan keluarkan peramalan kami seperti biasa. ............................................................................................................................................................... Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...

https://denyutreformasi.blogspot.com/

No comments