Tahfiz: Menanti khabar gembira
 Oleh 
KEWUJUDAN
 institusi tahfiz secara formal bermula pada 1966 telah memberi satu 
alternatif pendidikan kepada ibu bapa yang berminat untuk menjadikan 
anak-anak mereka penghafaz al-Quran serta menguasai pelbagai cabang ilmu
 agama lain seperti hadis, syariah dan usuluddin. 
Perkembangannya cukup memberangsangkan
 dari setahun ke setahun dan sehingga kini dianggarkan terdapat 1,000 
pusat tahfiz di seluruh negara. Namun berdasarkan rekod, hanya 618 
daripada jumlah itu yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam 
Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Selebihnya tidak
 berbuat demikian.
Jakim sendiri mempunyai pusat tahfiznya sendiri 
iaitu Darul Quran terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan antara 
objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan golongan huffaz 
profesional di negara ini yang menguasai dua bidang iaitu al-Quran dan 
disiplin ilmu yang lain.
Begitu juga dengan 
JAIN yang kebanyakannya juga mempunyai pusat tahfiz sendiri. Bagi pusat 
tahfiz yang dimiliki oleh Jakim atau JAIN, tiada banyak masalah yang 
dihadapi kerana segala urusan seperti prasarana serta gaji tenaga 
pengajar diuruskan oleh pihak kerajaan. 
Berbanding
 pusat tahfiz yang diuruskan oleh institusi swasta dan persendirian, 
terdapat kekangan terutama dari segi kewangan dan itu yang menyebabkan 
ada pusat-pusat tahfiz yang boleh dianggap daif dan perlu dibantu.
Penulis
 terpanggil untuk membincangkan isu ini kerana ada keperluan untuk 
pusat-pusat tahfiz yang seperti ini diberikan bantuan sewajarnya oleh 
kerajaan sedia ada seperti mana yang pernah dilakukan oleh kerajaan 
Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Sebagai 
contoh, kerajaan BN telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta 
kepada GiatMara untuk membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian 
di semua sekolah tahfiz yang berdaftar selepas negara dikejutkan dengan 
insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hingga 
mengorbankan 23 nyawa (14 September 2017) dalam pembentangan Bajet 2018,
 Oktober tahun lalu.
Secara peribadi penulis 
yakin kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan usaha tersebut. Malah 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa 
dalam kenyataannya dalam media baru-baru ini telah menyatakan komitmen 
kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu institusi tahfiz melalui satu 
peruntukan khas yang bakal diumumkan dalam Bajet 2019, 2 November ini.
Kenyataan
 itu bertujuan menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri 
Najib Tun Razak bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengumumkan 
sebarang peruntukan kepada institusi tahfiz dalam pembentangan bajet 
berkenaan. 
Menurut Mujahid, apa yang disebut
 oleh Najib itu adalah tidak benar sama sekali dan kerajaan Pakatan 
Harapan akan tetap meneruskan langkah tersebut. Bahkan Mujahid seperti 
yang dipetik dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan selain 
diteruskan, peruntukan itu juga mungkin akan ditambah. Harap-harap 
diluluskan. 
Apa pun penulis bersyukur dengan
 perkembangan itu. Yalah dalam situasi institusi tahfiz diserang kanan, 
kiri, depan dan belakang atas beberapa isu sehingga ada yang mahu 
institusi itu ditutup, masih ada menteri dalam kerajaan sekarang yang 
sedia mempertahankannya demi kelangsungan aliran pendidikan berkenaan. 
Tunggu sahajalah hari pembentangan bajet itu nanti.
Dalam
 perkembangan berkaitan, penulis bersetuju dengan Mujahid iaitu 
keutamaan bantuan akan diberikan kepada pusat-pusat tahfiz berdaftar. 
Bagaimanapun tidak salah sekiranya, pihak menteri atau Jakim atau JAIN 
mengadakan pertemuan dengan pengurusan pusat-pusat tahfiz tidak 
berdaftar dengan hasrat untuk membantu mereka. 
Mungkin
 mereka kekurangan maklumat hingga menyebabkan pusat-pusat tahfiz 
tersebut gagal didaftarkan. Demi masa depan anak-anak tahfiz, penulis 
kira pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar itu perlu disantuni agar isu 
berkenaan keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar termasuk tenaga 
pengajarnya sentiasa terbela. 
Ada seorang 
kenalan melontar pandangan, untuk menutupnya agak mustahil kerana tempat
 untuk anak-anak melanjutkan pengajian ke pusat tahfiz milik kerajaan 
dan yang berdaftar begitu terhad. Ada benarnya. Sehubungan itu kerajaan 
perlu berbuat sesuatu agar pusat-pusat tahfiz ini akhirnya boleh 
didaftarkan sekali gus memudahkan proses pengagihan bantuan. 
Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...







No comments