Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Lebih 68 ribu pengundi Port Dickson mengundi di 32 pusat undian hari ini

PORT DICKSON: Seramai 68,317 pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan mengundi hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata keputusan PRK berkenaan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Seramai 1,403 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditugaskan di 32 pusat pengundian yang membabitkan 154 saluran dan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Suruhanjaya berkenaan menjangkakan 70% pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.
SPR juga menyarankan agar pengundi di Parlimen Port Dickson membuat semakan maklumat pengundian mereka melalui aplikasi MySPR Semak, portal SPR, menghubungi talian 03-88927018 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 bagi melancarkan proses pengundian.

Selain itu, seramai 800 anggota polis ditugaskan menjaga perjalanan proses pengundian itu, termasuk dalam aspek keselamatan lalu lintas.

Proses pengundian itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan dan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik SPR, juga akan menyaksikan proses pengundian awal sebelum ini.

Dalam pertandingan 7 penjuru, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah 2 nama besar yang merebut kerusi berkenaan, manakala PAS meletakkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Empat calon Bebas lain ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, satu-satunya wanita yang menjadi calon.

Mohd Isa juga merupakan satu-satunya calon yang mengundi dan dijangka berbuat demikian di Sekolah Kebangsaan Linggi.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 5 kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (PKR).
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).
https://denyutreformasi.blogspot.com/

No comments