Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Umno-PAS: Penganalisis Politik mendahului Tuhan?

Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
 HEBAT sungguh sahabat saya Dr Mazlan Ali, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penganalisis politik yang berasal dari Terengganu, dalam memberi komen mengenai kerjasama Umno-PAS.
Selalunya paling tinggi pun penganalisis politik lain hanya akan berani membuat unjuran atau jangkaan mengenai prestasi parti-parti politik untuk tempoh lima tahun sahaja, contohnya kesan kerjasama Umno-PAS ke atas prestasi mereka dalam PRU15 lima tahun lagi.
Bagaimanapun, hebatnya Dr Mazlan Ali ini sehingga beliau boleh membuat ramalan spesifik bahawa “Umno dan PAS bakal menjadi pembangkang untuk tempoh 61 tahun lagi sekiranya gabungan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu benar-benar berlaku".
Kata beliau kepada portal berita Malaysia Date Line semalam, Umno dan PAS akan hancur ekoran kerjasama mereka itu di mana “terdapat lima faktor mengapa gabungan Umno dan PAS itu akan menguntungkan Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-PAS”.
Salah satu daripada faktor yang dinyatakan oleh Dr Mazlan Ali adalah “PAS dilihat sebuah parti yang ekstrem” di mana kehadiran pemimpin PAS di pentas MCA dalam PRK Balakong contohnya disifatkan sebagai punca calon MCA mengalami kekalahan dalam PRK itu.
Tidak pula Dr Mazlan Ali pertimbangkan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan kenyataan bekas Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi, bahawa calon MCA akan kehilangan wang deposit jika MCA tidak mendapat bantuan daripada pemimpin PAS dalam PRK itu.
Kata Dr Mazlan Ali lagi: “Hanya Melayu luar bandar atau desa atau FELDA sahaja yang tertarik dengan isu yang menjadi teras perjuangan Umno-PAS mutakhir ini. Kebergantungan terhadap pengundi luar bandar sahaja tidak memungkinkan Umno-PAS mampu menawan Putrajaya.”
Tidak juga Dr Mazlan Ali pertimbangkan kenyataan penganalisis politik dari UIA, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, yang berkata kepada portal berita The Malaysian Insight “terdapat tanda-tanda yang kerjasama Umno-PAS akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak”.
Begitu juga dengan kenyataan wartawan veteran, Zin Mahmud, dalam portal berita Free Malaysia Today bahawa BN-PAS boleh memenangi Putrajaya, mempertahankan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi juga menawan Kedah, Perak dan Melaka.
Kata Zin Mahmud, gelombang konservatif populis yang menjadi pendekatan BN-PAS ini “menang banyak pilihan raya, dari Donald Trump di Amerika Syarikat hingga ke Brexit di Eropah” dan adalah suatu yang tidak mustahil perkara sama boleh berlaku di Malaysia.
Pelik juga bila difikirkan apa perlunya pihak-pihak tertentu memberikan reaksi yang terlalu keras terhadap kerjasama Umno-PAS ini jika benar kerjasama ini akan menguntungkan Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-PAS seperti yang mereka dakwa.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, umpamanya sampai boleh menuduh, dalam bentuk pertanyaan, bahawa para pemimpin PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini memperjuangkan kleptokrasi Islam bila bekerjasama dengan para pemimpin Umno.
Begitulah kisahnya ketakutan pihak-pihak tertentu terhadap kerjasama Umno-PAS ini sehingga ada yang berani mendahului Tuhan dengan membuat ramalan tertentu manakala ada pula yang menyerang PAS sehingga boleh mengaitkannya dengan kesucian Islam pula

No comments