Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Zahid: Ya, saya bertemu Dr Mahathir dan ada rakamannya

Oleh Adam Abu Bakar 

JERLUN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakui beliau mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari selepas dilantik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2015.

Bagaimanapun, Zahid menafikan ia bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, sambil berkata pertemuan itu dirakamkannya, malah direstui presiden Umno itu sendiri.

“Perkara yang tidak berlaku dikatakan berlaku. Saya ingin katakan, ia berlaku atas keizinan perdana menteri selepas 10 hari saya dilantik sebagai timbalan perdana menteri,” katanya merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Jerlun, Kedah hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan baru-baru ini mendakwa Zahid ada bertemu dengannya bagi mendapatkan sokongannya mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Jadi bila nak simpati saya, datanglah. Ini dah tak boleh dapat cari jalan macam ini…saya malu orang macam ini ada dalam Kabinet,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebook PPBM.
Zahid menafikan pertemuan itu untuk menjatuhkan Najib.

“Bagaimana saya mahu jatuhkan perdana menteri selepas 10 hari saya dilantik?

“Tidak seperti dia yang menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman,” katanya dipercayai merujuk kritikan terbuka Dr Mahathir terhadap perdana menteri pertama.

Zahid turut mendakwa mempunyai bukti pertemuan beliau dengan Dr Mahathir.

“Jangan berbohong. Rakaman itu masih ada pada saya. Mereka mudah lupa, tetapi saya tidak lupa. Orang itu berbohong katakan saya yang akan jatuhkan perdana menteri,” katanya.

Zahid sebaliknya mendakwa pertemuan itu turut dihadiri individu yang merancang menjatuhkan Najib dengan cara menghantar memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong.

“Orang itu meminta pemimpin pembangkang untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno untuk lakukan undi tidak percaya kepada perdana menteri.

“Orang itu juga sebutkan kalau orang tidak percaya, memorandum akan dihantar kepada Agong meminta Agong memecat Najib sebagai perdana menteri,” katanya.

Zahid berkata mustahil beliau mahu menjatuhkan Najib, memandangkan beliau sendiri terhutang budi dengan perdana menteri yang melantiknya sebagai setiausaha politik pada 1987.

“Saya bukan orang yang gigit tangan orang yang beri makan kepada saya. Saya bukan orang yang gunakan jentera untuk kepentingan peribadi,” katanya.

No comments