Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Berakhirnya penantian 30 tahun

Oleh DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD 

AKHIRNYA setelah berusaha lebih 8 tahun, perjuangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Negeri Chempaka (PKM Chempaka) bertemu kejayaan dengan penyerahan Notis 5A kepada 20 orang penduduk Kampung Perwira Jaya.

Penduduk Jalan 6 dan 7 hari ini akan menerima Notis 5A mereka daripada YAB Dato' Menteri Besar yang sekali gus akan mengesahkan kelulusan permohonan tanah mereka. (Foto SelangorKini)
Setelah lebih 30 tahun menduduki tanah mereka, impian mereka telah menjadi kenyataan hasil doa dan kesabaran mereka.

PKM Chempaka tidak pernah merasa penat atau berputus asa untuk memastikan penduduk mendapat hak mereka walaupun tugas tersebut adalah tidak mudah.

Tidak mudah kerana masalah Taman Angsana Hilir yang bersebelahan perlu diselesaikan terlebih dahulu. Sebelum para pembeli taman tersebut mendapat hakmilik mereka, pemaju taman itu telah digulung dan pelikuidasi dilantik.

Akibat dari kesilapan pentadbiran sebelum ini, tanah-tanah Jalan 6 dan 7 telah dimasukkan ke dalam taman tersebut maka berada di bawah bidang kuasa pelikuidasi. Angkara pentadbiran tersebut, di dalam satu kampung ada penduduk yang menerima hakmilik dan ada penduduk yang tanahnya diserahkan kepada pemaju.

Walau bagaimanapun PKM Chempaka terus mengadakan rundingan dengan pelikuidasi dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah mereka di Taman Angsana Hilir dan Kg Perwira Jaya.

Terdapat 5 komponen di dalam kawasan terlibat iaitu rumah teres 2 tingkat, rumah kedai, rumah kos rendah, pangsapuri kos sederhana dan rumah kampung. Masalahnya menjadi rumit kerana salah satu blok pangsapuri kos sederhana adalah projek terbengkalai dan para pembeli telah memasukkan beratus-ratus kaveat ke dalam hakmilik utama (master title). Ini menyulitkan usaha untuk memecahkan hakmilik itu kepada hakmilik-hakmilik individu.

Tetapi hasil usaha semua pihak yang terlibat melalui rundingan, dialog dan mahkamah, hakmilik telah dipecahkan kepada komponen-komponen lebih kecil. Maka projek terbengkalai telah dapat dipulihkan, hakmilik individu untuk pemilik rumah teres 2 tingkat telah diperolehi dan pelikuidasi telah menyerahkan tanah-tanah Jalan 6 dan 7 kepada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada penduduk yang sah.

Maka akhirnya hari ini penduduk di Jalan 6 dan 7 boleh menarik nafas lega apabila mereka akan menerima Notis 5A mereka di mana ia merupakan peringkat terakhir sebelum mereka menerima hakmilik yang sah.

PKM Chempaka akan terus berusaha agar pemilik-pemilik lain seperti di rumah kos rendah dan rumah kedai 2 tingkat mendapat hakmilik mereka.

PKM Chempaka juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Jalan 6 dan 7 yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami untuk menyelesaikan masalah mereka. Walaupun pada asalnya mereka kurang yakin lantaran pengalaman mereka bersama Ahli Dewan Negeri sebelum ini namun akhirnya mereka telah banyak membantu PKM Chempaka.

Terima kasih juga kepada pelikuidasi, PTG Selangor, Pentadbir Tanah Hulu Langat, MPAJ dan YAB Dato' Menteri Besar yang sudi untuk turun padang hari ini.

YB Dato' Iskandar A Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Perumahan Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka

No comments