Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Zaki tidak mahu berhenti bantu masyarakat

PENGLIBATANNYA dengan aktiviti persatuan sewaktu bergelar siswa banyak memberi pengalaman dan ilmu berharga kepadanya dalam melaksanakan amanah yang dipikul hari ini.

Anak muda berusia 36 tahun ini pernah merancang dan mengemukakan cadangan kepada kolej tempatnya belajar untuk menganjurkan kali pertama hari terbuka selama lima hari yang menelan belanja RM60,000.

Walaupun pihak pengurusan hanya meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM2,500 sahaja, namun beliau bertekad untuk menganjurkan program tersebut sebagaimana yang dirancang.

Bagi Mohd Zaki Zakaria, setiap sesuatu yang dilakukan mestilah dengan bersungguh-sungguh.

Beliau membentuk jawatankuasa, mengatur perancangan gerak kerja dan membahagikan tugas bersama-sama rakan-rakannya dan terus bergerak mencari sumber kewangan melalui penajaan dan sumbangan daripada badan korporat.

Cuti semester dimanfaatkan sebaikbaiknya untuk mencari dana. Dengan sokongan dan kerjasama rakan-rakan, mereka menjelajah ke seluruh tempat termasuklah Kuala Lumpur.

Atas usaha tersebut, sumber kewangan bagi program tersebut dapat dikumpulkan secukupnya dan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Hingga kini, hari terbuka Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) menjadi program tahunan kolej selepas dimulakan pada tahun 2002.


Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan ini juga pernah diugut tidak dianugerahkan diploma apabila memperjuangkan hak mahasiswa dan persatuan.

Beliau melihat setiap pengalaman yang dilalui adalah sesuatu yang amat berharga dan dijadikan pemangkin baginya dalam meneruskan kehidupan hingga hari ini. Bukan itu sahaja, pengalaman juga mematangkannya dalam dalam memikul amanah parti dan mengemudi syarikat yang ditubuhnya.

“Saya terus aktif di dalam kerja-kerja parti dan masyarakat hingga sekarang kerana sudah menjadi minat dan sebati dalam diri saya terutamanya apabila diberikan tangungjawab, saya akan cuba menggalas amanah tersebut sebaik mungkin meskipun ada suara sumbang menuduh saya mahu menonjol diri,”ujar Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Bachok ini lagi.

Anak kepada pasangan Zakaria Mohamad Nor dan Azizah Awang ini juga berani menempuh cabaran apabila menceburi perniagaan sendiri dengan menubuhkan syarikat Pusat Bimbingan AZKIA di Bachok yang berteraskan bimbingan al-Quran dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Beliau bersyukur kerana berkat kecekalannya menempuh pelbagai ujian, pusat bimbingan tersebut terus berkembang sehingga sekarang dengan mempunyai cawangan di Wakaf Zain, Tawang dan Kota Bharu.
Pada 2008, beliau terus mengembangkan perniagaannya dengan menyediakan perkhidmatan catering dan sewaan khemah manakala pada akhir 2011 beliau membuka kilang percetakan dan pengiklanan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Semangatnya untuk terus gigih dalam perniagaan semakin berkobar-kobar apabila beliau dianugerahkan Tokoh Abdul Rahman Bin ‘Auf (Tokoh Usahawan Anak Muda Kelantan 2015)
Meskipun sibuk dengan perniagaan yang diusahakannya, anak kelahiran Kampung Tok Burong, Bachok, Kelantan ini tidak melupakan tanggung jawabnya kepada masyarakat dan juga perjuangan Islam.

Jiwa PAS sudah sebati dengannya sejak berusia 12 tahun. Bermula dengan mendengar ceramah pimpinan PAS melalui kaset yang dibeli bapanya, timbul minat yang mendalam untuk menghadiri ceramah -ceramah pimpinan PAS. Beliau tidak akan teragak-agak untuk ke tempat ceramah dan awal-awal lagi beliau akan ‘booking’ untuk membonceng motosikal dengan jirannya ke tempat ceramah PAS.

Bekas pelajar Maahad Amir Indra Petra, Beris Kubus Besar dan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga amat mengkagumi karisma pemimpin PAS seperti Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dan bekas Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Bunyamin Yaakob.

Mohd Zaki mula terlibat secara langsung dengan Pas melalui PAS Cawangan Tok Bakar, Bachok yang melantiknya sebagai Setiausaha PAS Cawangan bermula tahun 2000 sampai sekarang.

Pada tahun 2005, beliau dipelawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perupok, Mohd Huzaimy Che Husin yang sewaktu itu Setiausaha PAS Kawasan Bachok untuk bertugas sepenuh masa sebagai kakitangan di Pejabat PAS Kawasan Bachok dengan lantikan politik selaku Penghulu Parlimen Bachok. Beliau kemudiannya diberi kepercayaan sebagai Pegawai Kewangan PAS Kawasan.

Pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Bachok (DPPKBCHK) di bawah kepimpinan Ustaz Malik Ridhuan Hassan bagi sesi 2009/2011. Pada sesi berikutnya, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja DPPKBCHK di dalam mesyuarat agung tahunan dan dilantik memegang jawatan Bendahari DPPKBCHK bagi sesi 2011/2012.

Kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya DPPKBCHK bagi sesi 2012/2013.

Bagi sesi 2013/2015, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda DPPKBCHK dan dilantik Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) sebagai Pengarah Lajnah Media Baru.
Seterusnya, bagi sesi 2015/17, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Bachok dan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan serta dilantik sebagai sebagai Bendahari dan Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan DPPNK.

Beliau juga aktif menggerakkan aktiviti-aktiviti NGO khususnya berkaitan kepemudaan dengan menubuhkan Kelab Anak Muda Bachok pada awal tahun 2016.

Banyak program yang dianjurkan NGO ini mendapat sambutan luar biasa dan dapat menarik minat anak muda kepada aktiviti bermanfaat. Antaranya, Penganjuran Kejohanan Futsal Anak Muda Bachok 2016 disertai oleh hampir 400 orang anak muda dari sekitar Bachok merapatkan ukhuwwah sesama mereka sekali gus menarik minat golongan ini kepada aktiviti bersukan.

Beliau turut menubuhkan Persatuan Kebajikan al-Kahfi (Kahfi) pada 2015.

Melalui Kahfi, banyak bantuan yang telah disalurkan kepada orang ramai hasil daripada derma yang diusahakan.

Sebelum mengakhiri perbualan , 26 Mac lalu, suami kepada Wan Roszaini Wan Daud dan bapa kepada dua cahaya mata ini mengharapkan akan istiqamah di dalam PAS dan menyumbang bakti kepada masyarakat hingga akhir hayatnya.

No comments