Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Norsah bantu orang ramai atur kewangan

BERGIAT aktif dengan PAS sejak zaman pengajiannya di Universiti Malaya menjadikan jiwa wanita kelahiran Pekan Sipitang, Sabah ini sebati dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

Walau di mana pun beliau berada, beliau akan mencari peluang agar apa yang dilakukannya itu turut memberi manfaat kepada orang lain.

Atas semangat untuk kerja dakwah dan kebajikan itulah menyebabkan Norsah Bongsu,46, memberanikan diri menawarkan kepada cawangan syarikatnya bekerja di Sandakan, Sabah untuk mengadakan penerangan kewangan secara percuma kepada orang ramai.

Beliau bersyukur kerana cadangannya itu diterima baik pihak pengurusan dan sehingga sekarang ceramah kewangan itu diadakan setiap bulan kerana menerima maklum balas yang baik daripada para peserta.

“Sepanjang melibatkan diri sebagai perunding unit amanah di sebuah syarikat pelaburan terbesar di Malaysia, Kak Cha banyak terdedah dengan hal-hal berkaitan pengurusan kewangan.

“Kak Cha dapati orang ramai khususnya bumiputera terlepas peluang untuk mengatur kewangan dengan baik kerana kurang info. Sebab itu, Kak Cha tawarkan kepada cawangan syarikat di Sandakan untuk adakan ‘financial talk’ secara percuma,”ceritanya yang mesra membahasakan dirinya Kak Cha.

Naib Yang Dipertua PAS, Kawasan Batu Sapi ini juga seorang yang cintakan ilmu. Biarpun memperolehi Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya, pencariannya dalam menimba ilmu tidak terhenti di situ.

Menganggap ilmu penyubur jiwa, anak kepada pasangan Bongsu Abdullah dan Bibah Muhammad ini mendaftar sebagai pelatih Akademi Pengajian Sayidatina Aisyah (Apsa), iaitu sebuah organisasi pendidikan di bawah PAS.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah bagi sesi 2015-2017 ini berhadapan dengan pelbagai ujian sepanjang mengikuti kuliah di Apsa.

Lokasi tempat pengajian di Tawau yang memakan masa enam jam perjalanan dari Sandakan dan memandu sendirian tidak mematahkan semangatnya untuk mengikuti pengajian.

“Awal pengajian kami seramai enam orang termasuk empat orang muslimat yang masih bujang.

Allah uji kami dengan bermacam-macam halangan menyebababkan tempoh pengajian yang sepatutnya mengambil masa setahun setengah menjadi tertangguh sehingga lima tahun.

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya menerima diploma pada 30 April 2016.Yang menariknya, ada rakanrakan sepengajian yang dahulunya masih bujang sudah berkahwin, malah ada yang bertambah cahaya mata ketika kami berkumpul untuk konvo. Pengalaman yang panjang ini sangat bermakna untuk kami semua,”ujarnya.

Isteri kepada Ahmad Supu dan ibu kepada dua orang cahaya mata ini tidak menamatkan pencarian ilmunya di Apsa.

Beliau kini mengikuti pengajian perubatan Islam di Darul Syifaa di Kota Kinabalu.

Biarpun terpaksa merentasi banjaran Gunung Kinabalu selama enam jam, ia tidak melunturkan hasratnya untuk mendalami ilmu perubatan Islam.

No comments