Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Uda Dan Dara :Kalau Boleh Biarlah Pementasan Sebulan Atau Dua Bulan

Oleh Roslan Madun

Jarang atau tak pernah berlaku persembahan teater dibuat betul-betul di dalam kampung. Saya mencubanya dengan mementaskan teater Subuh Berdarah Di Kuala Krau di sebuah pentas yang di bina tepi sungai pada tahun 2001.

Tapi bukan di dalam kampung, kerana tempat pementasan masih di dalam pekan, iaitu di tapak pasar malam. Kemudian pada tahun 2010 (kalau tak silap) saya mementaskan teater Kena Main di Kerayong, pun bukan desa terpencil. Pementasan di dalam Dewan Orang Ramai, tempat orang biasa berkumpul.

Berbeza dengan Dinsman yang mementaskan Uda Dan Dara di tengah-tegah sawah padi. Menurut Mazlan Abdullah tapak pementasan ialah sawah padi yang kosong selepas panen. Kerana di Sungai Besar padi ditanam tiga kali setahun.

Dinsman telah membawa teater ke tengah-tengah masyarakat desa yang saya rasa ramai mereka tak pernah menonton teater, melainkan yang sudah biasa berulang alik ke Kuala Lumpur.

Di sini saya tidak bercakap tentang hebatnya Uda Dan Dara di tangan Dinsman, tapi tentang satu usaha murni membawa satu persembahan berjiwa rakyat ( Uda Dan Dara ialah cerita rakyat) terus kepada rakyat. Saya fikir, pemipin politik pun tak buat kerja begini. Pemimpin politik pun tak masuk ke dalam jantung rakyat untuk berpidato.

Namun Dinsman telah melakukan dengan jayanya. Dia tidak berpidato, tapi teaternya mewakili dirinya untuk menyatakan tentang kehidupan, tentang kemanusiaan, tentang berbagai contoh teladan, jahat dan baik melalui sebuah karya besar. Wah! Ini sungguh luar biasa. Sungguh istimewa. Tidak dibuat orang.

Sebab itulah saya sanggup membatalkan rancangan menonton teater di TIM Jakarta pada 11 Ogos kerana tentu saya tak akan dapat lagi merasai suasana seperti di Sungai Besar itu. Malah sepatutnya saya membatakan terus ke sana dan berkampung saja bersama team Uda Dan Dara mulai malam rehearsal hingga selesai dua malam pementasan.

Bagi orang-orang kampung yang tak pernah menonton teater, ini tentu satu hidangan yang istimewa buat mereka. Kerana Uda Dan Dara bukan naskah biasa-biasa tapi naskah klasik tentang kehidupan mereka sendiri yang digarap oleh seorang Sasterawan Negara iaitu Usman Awang.

Bagi penggiat teater yang hadir, semuanya menyatakan keterujaan mereka ketika menonton teater ini. Teruja kerana berada dalam satu suasana yang sangat berbeza yang memberi kesan jiwa yang sangat lain. Apatah lagi pelakon yang terlibat, tentu sampai saat ini mereka masih terasa-rasa berada di Sungai Besar. Dalam hati Fairul Pujangga rasanya dia mugkin berkata begini : "kalau boleh biarlah pementasan diadakan sebulan atau dua bulan" agak sayalah?

Mungkin ada yang berpendapat untuk mengangkat karya besar bukan di sawah padi tapi di panggung yang bertaraf dunia. Ya mungkin juga! Tapi saya peribadi lebih tertarik cara Dinsman yang memilih kampung yang jauh dari kota. Alasannya mudah : kalau buat di KL misalnya, orang kampung (dengan anak-anak kecil) tentu tak mampu datang. Tapi orang KL (bandar) boleh saja datang ke Sungai Besar jika mahu.

Maka tindakan Dinsman ini bagi saya sangat relevan. Ia patut dicontohi oleh penggiat teater lain. Kita pun tahu bahawa pementasan teater di KL dan di bandar-bandar lainnya, yang menonton lebih separuh panggung ialah orang teater sendiri. Jadi, sangatlah manis jika teater dapat ditonton majoritinya oleh orang banyak. Dan Dinsman telah berjaya melakukannya.

Tahniah Dinsman dan semua yang terlibat!

@ Roslan Madun
Akademi Seni ND Lala

No comments