Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Jangan Undi Pemimpin Tak Setia Kepada Parti

Oleh A Kadir Jasin

PEMIMPIN dan ahli parti wajib setia kepada kepimpinan dan perjuangan parti. Pemimpin dan ahli parti yang setia kepada pihak lain adalah pengkhianat dan tidak layak menganggotai parti.

Itulah pendirian saya mengenai kepimpinan dan keahlian dalam apa-apa juga pertubuhan.

Bagi mana-mana parti atau pertubuhan yang mengamalkan pengundian bagi memilih pemimpin, perwakilan wajib menolak pemimpin yang khianat.

Persoalan ini timbul dalam perbincangan saya dengan pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor Sabtu lepas.

Saya dijemput berbual dengan pemimpin dan penggiat Bersatu yang menghadiri permukiman badan penerangan Bersatu Johor di Ulu Tiram dan bersembang dengan ahli di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Johor Bahru.

Bukan rahsia lagi bahawa Bersatu di Johor – macamlah Umno dulu – mengalami masalah kesetiaan yang berbelah bagi akibat peranan istana.

Di semua negeri yang ada raja, memang semua pemimpin politik dan rakyat jelata wajib setia kepada raja sebagai ketua negeri.

Tetapi tugas mentadbir negeri adalah hak dan tanggungjawab pemimpin yang dipilih oleh rakyat jelata melalui pilihan raya.

Merekalah yang berhak dan berkewajipan memerintah dan mentadbir negeri. Raja adalah ketua negeri dan bukan ketua pentadbir. Ketua pentadbiran di negeri-negeri beraja adalah Menteri Besar.
Jangan Undi

Nasihat saya kepada ahli Bersatu adalah: Jangan pilih (jangan undi) pemimpin yang tidak setia dan tidak ikut arahan parti.

Di semua negeri, Bersatu diketuai oleh Pengerusi Badan Pimpinan Negeri. Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor adalah Mazlan Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa.

Jadi dialah ketua Bersatu. Hendak tidak hendak, semua ahli dan pemimpin Bersatu, termasuklah yang jadi Menteri Besar, Exco dan Adun, kenalah terima dia sebagai ketua mereka.

Mana-mana yang tidak terima beliau atau tidak tunjuk hormat kepada beliau samalah dengan tidak terima dan tidak hormat keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di Kuala Lumpur.

Kalau mereka keras kepala juga atau tunduk kepada kuasa lain, ahli Bersatu jangan undi mereka dalam pemilihan parti di semua peringkat.

Kalau mereka tidak terima kepimpinan yang dipilih oleh parti sebaliknya mengikut telunjuk pihak-pihak di luar parti maka wajarlah mereka disingkirkan melalui undi.

Istana Berkempen

Kita wajib jangan lupa sejarah iaitu ada istana dan pembesar istana yang secara terbuka menghina parti kita Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum tahun lalu.

Malah secara terang-terangan mereka berkempen bagi pihak bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak dan Barisan Nasional (BN).

Secara tersirat, apabila rakyat jelata menolak Mohd Najib dan BN, rakyat jelata juga menolak campur tangan mereka atau lebih teruk menolak “daulat” mereka.

Berkenaan kekebalan raja, memang Perlembagaan Persekutuan dan negeri memberikan kekebalan kepada mereka tetapi terhad kepada menjalankan tugas rasmi sahaja.

Anak raja tidak kebal. Tetapi anak raja mungkin jadi kebal kalau dilantik menjadi pemangku raja tetapi tetap terhad kepada tugas rasmi saja.

Mereka tidak kebal kalau melakukan jenayah seperti memukul orang atau menipu rakan kongsi perniagaan.

Bukti Sejarah

Seorang Sultan pernah dihadapkan ke mahkamah khas kerana dituduh menghina seorang wanita yang dikatakan rakan kongsi perniagaannya.

Wanita tersebut mengemukakan saman sivil di Mahkamah Khas Raja-raja tetapi kes itu dibuang kerana hakim membuat keputusan bahawa orang asing tidak boleh menyeret raja Melayu ke mahkamah. Wanita yang mengemukakan saman sivil tersebut adalah warganegara Singapura.

Sebab itulah apabila Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, mengambil alih jawatan saya mohon beliau membuka semula kes-kes jenayah yang melihatkan keluarga diraja. Tapi saya tidak tahu beliau buat atau tidak. Wallahuaklam.

Sekarang saya mohon pula kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, sebab dia pun baru supaya siasat kegiatan melombong dan mengeksport pasir.

Saya dimaklumkan bahawa pasir masih dieksport, khususnya ke Singapura, dengan bertopengkan silika. Ikut maklumat, pasir tidak boleh dieksport tapi silika (untuk buat kaca) boleh.

Bukan apa, Latheefa sendiri kata majoriti yang ditangkap rasuah adalah kakitangan awam. Jadi kita takut ada “little Napoleon” dalam agensi penguatkuasaan di Johor yang sedang bersubahat main kayu tiga dengan kerajaan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri pun boleh buka siasatan ke atas pelombong dan pengeksport pasir ini. Manalah tahu takut mereka terlupa isytihar cukai.

Terima kasih.
...............................................................................................................................................................

Admin :pihak kami tidak lagi terlibat dalam laman web detikdaily.net ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...

https://denyutreformasi.blogspot.com/

No comments