Nilai semula perjawatan Datuk Dr Mujahid
DEWAN Pemuda PAS
Malaysia (DPPM) memohon YAB Perdana Menteri agar membuat penilaian
semula terhadap prestasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr
Mujahid Yusuf berikutan pelbagai polemik yang tidak disenangi dicetuskan
oleh beliau semenjak dilantik memegang jawatan tersebut bagi portfolio
hal ehwal agama.
Terbaru ialah kenyataan beliau berhubung
‘dosa peribadi’ dan hak kerajaan untuk campur tangan didakwanya telah
disalahlapor oleh media massa kononnya tiada lagi serbuan ke atas
kesalahan khalwat. DPPM berpandangan isu-isu sebegini sewajarnya
diselesaikan secara tertutup melalui perbincangan dengan agensi-agensi
yang berkaitan. Jika didapati wujudnya pelanggaran terhadap SOP yang
telah digariskan, sewajarnya ia diselesaikan melalui kaedah pentadbiran
semata-mata.
Apabila Menteri telah membuat kenyataan
yang melampaui bidang kuasanya, ia memperlihatkan Menteri seolah-olah
tidak memahami bahawa penguatkuasaan syariah berada di bawah Jabatan
Agama Negeri masing-masing. Ia selaras dengan Mahkamah Syariah di
negeri-negeri yang telah ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama
Islam di setiap negeri, selaras dengan Jadual Kesembilan, Senarai II,
Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Penubuhan Mahkamah Syariah
juga disertai dengan bidang kuasa eksklusif yang tersendiri, yang
melibatkan kes-kes mal dan kes-kes jenayah setakat yang diperuntukkan
dalam Perlembagaan Persekutuan bagi orang-orang yang beragama Islam.
DPPM ingin mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama kenyataan Menteri berkenaan menjadi polemik. Bermula isu ‘hifzuddin’ yang mana pemahaman beliau bercanggah dengan para ilmuan lain di negara ini, diikuti dengan isu Transgender yang akhirnya beliau sendiri memohon maaf di atas kenyataannya yang beliau sendiri sifatkan sebagai mengelirukan.
Beberapa minggu lepas, beliau sendiri
telah mengeluarkan kenyataan secara jelas dan terang bahawa kaedah
dakwah Dr Zakir Naik adalah tidak bersesuaian di negara ini kerana ia
lebih bersifat mencaci agama lain. Kenyataannya itu disokong oleh
individu-individu yang dikenali umum sebagai anti Zakir Naik sejak sekian lama.
DPPM melihat kencenderungan Menteri
berkenaan untuk terus menerus mencetuskan polemik adalah sesuatu yang
tidak baik untuk perjalanan pentadbiran agama di negara ini. Reformasi
di dalam pentadbiran agama tidak boleh dilakukan dengan mengeluarkan
kenyataan demi kenyataan yang mengelirukan kemudiannya ditarik balik,
tetapi penumpuan wajib diberikan kepada penambah baikan pentadbiran di
peringkat dalaman.
DPPM dengan ini mencadangkan kepada
Perdana Menteri agar membuat penilaian semula terhadap kelayakan Dr
Mujahid Yusuf sebagai Menteri di portfolio berkenaan dan membuat
rombakan Kabinet seberapa segera yang mungkin sebelum masyarakat
berdepan dengan pelbagai polemik lagi di masa hadapan.
"Terus Mara"
AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments