Bantah sebarang penganjuran berkaitan arak
Oleh USTAZ DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED
POLEMIK penganjuran
berkaitan arak seperti Oktoberfest adalah tetap dibantah sama ada ia
bersyarat atau tidak. Ini kerana penganjuran atas jenama pesta sekalipun
diadakan secara tertutup dan tidak melibatkan orang Islam adalah satu
perkara yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini
sebagai rakyat yang majoriti dan juga agama Islam itu sendiri sebagai
agama rasmi persekutuan.
Isu hak non-Muslim dalam meminum arak
adalah jelas berbeza dengan isu penganjuran berkaitan arak. non-Muslim
tidak terikat dengan hukum taklifi iaitu pengharaman minum serta jual
beli arak namun ia bukanlah menjadi lesen sehingga boleh diadakan
sesuatu program, pesta atau apa jua namanya yang melibatkan penganjuran
berkaitan arak. Isu yang jelas adalah sensitiviti ummah mesti
dipertahankan. Ini adalah tanggungjawab non muslim dalam sebuah negara
yang majoriti masyarakat muslim sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof.
Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya “غير المسلمين في المجتمع
الإسلامي”.
Dalam situasi yang biasa pun, umat Islam
ditegah untuk berada di tempat-tempat yang diadakan padanya minuman
arak secara sendirian atau skala kecil, maka apatah lagi jika umat Islam
pula boleh bersetuju dalam membenarkan penganjuran yang berkaitan arak
berskala besar. Ia adalah sesuatu perkara yang termasuk dalam keadaan
“berada bersama” dalam perkara yang tidak dibolehkan. Sebab itu, Allah
SWT ada menegaskan:
{وَقَدْ
نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ
يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ
يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ …}
Maksudnya: “Dan sesungguhnya
Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab
(Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah
diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah
kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada
memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan
yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka…” [An-Nisaa’: 140]
Walau apapun alasan dalam hendak
membenarkan Oktoberfest ini, hakikatnya, ingatlah arak disebut sebagai
ibu maksiat “أم الخبائث” kerana mendatangkan mudharat serta
kejelikannya yang menghilangkan kewarasan manusia dalam berfikir. Malah,
jelas apabila Nabi Muhammad SAW menafikan tanggapan seorang lelaki yang
bertanya kepada Baginda SAW untuk menggunakan arak sebagai ubat, lantas
dibangkang oleh Baginda SAW dengan bersabda:
«إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهَ دَاءٌ»
Maksudnya: “Sesungguhnya ia
(arak) bukanlah ubat tetapi ia merupakan penyakit (membawa mudharat).”
[Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi]
Tambahan pula, terdapat kes-kes
kemalangan akibat mabuk arak yang berlaku sebelum ini menguatkan lagi
bahawa arak sememangnya mengundang bahaya dan mudharat, bukan sekadar
diri sendiri malah kepada masyarakat umum. Sebab itu, bantahan ke atas
penganjuran Oktoberfest ini jelas kerana ia:
i. Tidak menghormati sensitiviti umat Islam kerana bersifat komersial dengan penganjurannya.
ii. Mengundang mudharat umum akibat kemabukan terutama selepas pesta.
iii. Bukan termasuk nilai dan budaya umum masyarakat di Malaysia menganjurkan pesta arak.
iv. Jika ia terus dilaksanakan, ia menjadi syiar kemungkaran sedangkan banyak mudharat yang timbul kesan daripadanya.
Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat tetap
bertegas dengan pendirian bahawa Oktoberfest ini tidak boleh dianjurkan
dan mesti dibantah sekeras-kerasnya. Tidak kira apa syarat yang
ditetapkan demi membolehkannya, ia tetap tidak boleh diterima. Jika non
muslim ingin minum arak, silakan di kediaman mereka tanpa mempromosinya
dan tanpa membuat penganjuran pesta berskala besar.
“Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”
USTAZ DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED“Islam Jalan Penyelesaian”
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
7 Safar 1440 / 16 Oktober 2018...............................................................................................................................................................
Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...
No comments