Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Lebih mudah Pakatan Harapan ambil alih Kedah


Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sepatutnya Datuk Mahfuz Omar mengetuai jentera kempen Pas Kedah untuk merebut kembali negeri Jelapang Padi itu daripada Umno selepas memimpin negeri itu selama satu penggal, 2008 hingga 2013.

Tetapi, begitulah lumrahnya politik, keadaan sudah banyak berubah. Baik dalam Pas, mahupun Umno.


Ahli Parlimen Pokok Sena itu, yang menggantikan Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak, bekas Menteri Besar Kedah, sebagai Pesuruhjaya Pas negeri, bukan sahaja tidak memegang jawatan penting parti lagi, malah hanya berkedudukan sebagai ahli biasa, dan sering dilihat menimbulkan kontroversi.
Akibatnya, beliau "dihalau" keluar dari Pas, tetapi enggan akur. Aneh juga, Mahfuz tidak pula dipecat! Ketika rakan-rakan rapatnya memilih Amanah sebagai wadah baru, namun Mahfuz kekal bersama Pas, tetapi bersuara seperti pengkritik tegar.

"Saya tak peduli apa orang nak kata, yang penting saya masih beri harapan agar Pas kembali kepada pakatan oposisi. Saya terlalu sayang kepada Pas jika terpinggir daripada grand coalition ini. Harap Pas dapat posisikan balik bersama rakan-rakan pembangkang," kata Mafuz dalam satu pertemuan khas di sebuah restoran Pakistan, di ibu kota.

Susah-payah sejak 1990 

"Saya bimbang, jika situasi sekarang berterusan sampai PRU14, Kelantan yang kita bina susah-payah sejak 1990, bersama bekas pimpinan yang kita sayang, Pak Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, pun boleh tumbang," ujarnya serius, sambil mengharapkan ahli Pas dapat memahami apa yang beliau cuba jelaskan selama ini.

"Saya tak peduli sangat respons pemimpin. Ramai ahli akar umbi yang saya temui dalam kumpulan kecil ataupun melalui SMS dan Whatsapp memberikan sambutan positif. Mereka terkilan dan rasa rugi besar jika Pas berada di luar gabungan pembangkang," tambah Mahfuz lagi.

Menjelang PRU14, saya menganggap Kedah negeri istimewa selain Johor dan Perak yang bakal menyumbang saham terbesar untuk mengambil alih Putrajaya. Sejarah kebangkitan pembangkang di Kedah, mungkin terlewat daripada Kelantan dan Terengganu, tetapi prestasi Pas dalam pilihan raya 1969 agak mengejutkan. Ramai tokoh terkenal Umno kalah pada tahun itu, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri yang juga Setiausaha Agung Umno waktu itu, Tan Sri Senu Abdul Rahman.

Walaupun penguasaan kerusi naik-turun, namun pengaruh Pas kekal sekitar 50 peratus di kalangan masyarakat Melayu. Di zaman reformasi, hampir semua kawasan Parlimen dan Dun yang mempunyai majoriti besar pengundi Melayu, kecuali Kubang Pasu dan Langkawi, dimenangi oleh calon Pas. BN Kedah diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu.

Justeru, apabila mereka menyokong oposisi pada 2008, Kedah mudah tumbang dan Pas memimpin kerajaan negeri.

Anugerah terbesar 

Biarpun Kedah sering diingati kerana beberapa tragedi berdarah, misalnya Peristiwa Memali, November 1985 dan kes Lubuk Merbau, Januari 1985, namun ia tidak menghalang budaya berpolitik penduduknya yang lebih terbuka dan senang menerima kepelbagaian. Dan anugerah terbesar yang dilahirkannya adalah sosok pemimpin hebat, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden Pas (1989-2002) dan Ketua Pembangkang di Parlimen (1999-2002).

Beliau dapat menangani cabaran getir politik negeri Kedah dengan sabar dan bijaksana.
"Dalam keras, terselit kelembutannya. Dalam tegas, tidak terputus toleransinya," kata seorang penganalisis politik mengenai personaliti Ustaz Fadzil. "Ucapannya dalam setiap kali muktamar Pas, terutama di penghujungnya, ditunggu-tunggu perwakilan.

Arahannya kejap tapi masih ada nada seloka dan jenaka. Sungguh, saya kerap bayangkan, alangkah indahnya jika ditakdirkan Ustaz Fadzil sempat menjadi MB Kedah."

Datuk Dr Ismail Salleh Datuk Dr Ismail Salleh Sementara itu, Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, optimis dengan masa depan pembangkang: "Kedah antara negeri paling awal menubuhkan Pakatan Harapan. Ia boleh berlaku kerana hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama di antara ketiga-tiga ketua parti, Dr Azman Ismail (PKR), Tan Kok Yew (DAP) dan saya sendiri mewakili Amanah."

Untuk memastikan kerjasama ini berjalan lancar, seorang setiausaha kepada Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Kedah telah dilantik, iaitu Dr Abdul Rahman Ahmad.

Agihan kerusi 

"Sebahagian besar pembahagian kerusi telah selesai selepas beberapa siri mesyuarat bersama. Di antara formulanya, kerusi yang telah dimenangi akan kekal milik parti inkumben.

Setiap Parlimen sebolehnya diwakili semua parti komponen. Kalau berlaku pertembungan faktor merit dan winability untuk menang diambil kira," jelas Dr Ismail.

"Fasa seterusnya, Pakatan Harapan akan berunding kerusi dengan Bersatu," tambahnya.
Bekas anggota Exco kerajaan negeri itu menjelaskan, sebaik Bersatu diterima anggota Pakatan Harapan, Dr Azman, Kok Yew dan beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tentu saja pengaruh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz banyak membantu terutama untuk mendekati pengundi Melayu di Kedah. Dr Mahathir adalah bekas ahli Parlimen Kubang Pasu sejak 1974-2004. Manakala Mukhriz merupakan calon BN dalam PRU13 yang "diumpan" sebagai menteri besar jika Pas dapat dikalahkan. Dan misi itu berjaya.

"Dengan gelombang perubahan orang Melayu di Kedah terutama selepas penubuhan Bersatu, faktor sokongan ahli Umno kepada Dr Mahathir dan Mukhriz telah menghakis sokongan kepada Umno-BN.
 Survey tidak rasmi terkini menunjukkan, sokongan Melayu kepada Umno kurang 35%, dan sokongan pengundi Melayu kepada Pas kurang 18%," jelas Dr Ismail, yang pernah dilantik Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah.

Beliau percaya, khususnya selepas Bersatu menjadi anggota rasmi Pakatan Harapan dan penggunaan satu logo serta satu manifesto dalam PRU14, Kedah bukan saja mampu diambil alih tetapi berupaya menang, insya-Allah dengan majoriti dua pertiga.

Ranking keahlian ketiga

 Aris AwangAris AwangDitanya sambutan masyarakat di Kedah khusus terhadap Amanah, beliau berkata: "Sangat positif. Ia diterjemahkan melalui jumlah keahlian dan penubuhan cawangan-cawangan baru. Dari segi keahlian, ranking Kedah di tangga ketiga daripada semua negeri."

Senario politik di Kedah dihurai lebih lanjut oleh Setiausaha Amanah Negeri, Aris Awang. "Suasana politik sekarang semakin panas, bermula dengan gelombang Gerakan Harapan Baru, GHB, penubuhan Amanah yang dianggap pengkhianat Islam oleh sebahagian pemimpin Pas, penyingkiran Mukhriz sebagai MB, naiknya (Datuk Seri) Ahmad Bashah (Md Hanipah) sebagai pengganti."

"Ia ditambah isu-isu rakyat seperti potongan berat timbangan padi hingga 22% menyeksa para petani sehingga terpaksa melakukan kerja sampingan lain, harga ikan kembung yang melambung tinggi, harga getah yang tidak stabil ditambah beban GST dan kos keperluan dapur yang gila-gila, terkesan pula dengan nilai mata wang Malaysia berbanding Thailand kepada peniaga yang mendapat barangan dari seberang sempadan.

"Lebih rancak dengan pelancaran Deklarasi Rakyat yang diketuai Dr Mahathir, Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya muncul parti Bersatu. Semua itu menyemarakkan bahang politik Kedah di musim kemarau ini. Jika diadakan PRU14 sekarang, ia mampu membakar hangus Umno-BN," jelas Aris penuh yakin.

Dialog dua hala 

Diminta pendapat mengenai cabaran Pas yang diketahui mempunyai pengaruh kuat di Kedah, Aris berkata, Amanah menggunakan pendekatan dialog dua hala secara berfakta di setiap Pusat Daerah Mengundi dan pendekatan melalui media sosial.

"Di samping pendekatan hujah agama oleh tok-tok guru serta ustaz dalam dan luar Amanah, juga dari luar negara mengenai fiqh siyasah dalam pendekatan waqie Malaysia. Apabila ia diketengahkan kepada ahli Pas yang sebelumnya keras dan tegar membuta-tuli, tiba-tiba dapat berubah setelah mereka faham bahawa diluar dari Pas rupanya masih banyak pandangan yang juga berpandu Al-Quran dan Hadis, namun berbeza pendekatan dengan doktrin ulamak Pas dewasa ini yang keras dan kasar," tambah Aris, yang pernah dilantik Setiausaha Perhubungan Pas Kedah.

Cabaran utama buat Amanah di Kedah, jelasnya, ialah gejala takfiri yang diasak masuk ke dalam minda ahli Pas sehingga ada sesetengah tempat berlaku kes tidak bertegur sapa, menyerang di tengah malam ke rumah penyokong Amanah oleh pemuda Pas hanya disebabkan ahli Amanah memasang bendera di tempat yang kononnya kawasan jagaan Pas.

"Ada setengah kawasan di awal penubuhan telah "memfatwakan" sesiapa yang menyertai Amanah, halal darah dan bughah. Tapi ia semakin reda apabila kita mengambil pendekatan berdialog dalam kumpulan kecil di seluruh kawasan-kawasan panas seluruh Kedah, melibatkan semua segmen parti," ujar Aris.

Sentimen agama 

Dr Ismail turut berkongsi isu sama, yang merupakan antara cabaran besar Amanah di Kedah. "Sentimen agama dan kefahaman terhadap jemaah Islam yang salah yang dimainkan pihak tertentu, yang mengaitkan terbatalnya Islam apabila mereka menjadi ahli Amanah atau gelaran seperti pengkhianat dan bughah kepad mereka yang bersama Amanah, adalah cabaran buat kami," ujarnya.

"Ini berlaku kerana suasana masyarakat melayu yang masih ramai menjadikan pondok-pondok pengajian agama yang banyak di Kedah sebagai tempat rujukan," jelasnya lagi. "Ramai ahli Pas yang berhasrat sertai Amanah menangguhkannya kerana bimbang dengan struktur masyarakat kampung seperti pakatan kenduri dan khairat kematian menjadikan mereka terikat dan takut dipulau masyarakat setempat," tambah Dr Ismail.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mengakui keupayaan jentera Amanah dan masalah yang dihadapi Pas: "Ramai penggerak pilihan raya Pas dulu sudah bersama Amanah. Dan program Pas kini lebih terarah kepada hal-hal dalaman, yang mana kehadiran hasil kerahan. Ramainya yang hadir tidak boleh dijadikan ukuran. Lihat saja sambutan Himpunan Hijau di stradium Darulaman sebelum PRU13 dulu, saya jadi pengarahnya, melaut kehadirannya, tapi bila pilihan raya kalah juga."

Beliau yang dilihat rapat dengan Mahathir dan Mukhriz menambah, faktor negawaran ulung itu mempunyai impak besar kepada politik Kedah. "Kalau tahun 2008, Umno tumbang di Kedah, antara lain disebabkan kritikan tajam Dr Mahathir kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, cuba bayangkan kesannya selepas beliau tubuh parti baru dan secara terbuka minta rakyat tolak Umno-BN," kata Mahfuz.

"Saya difahamkan, setiap kawasan Parlimen, hampir 4,000 ahli baru Bersatu, 90 peratus adalah bekas ahli Umno, dan jika dikira setiap ahli boleh bawa tiga orang lagi, maknanya, setiap kawasan adalebih 10,000 penyokong baru Pakatan Harapan," ujar beliau, yang sering turun padang berceramah di Kedah.

Pusingan-U yang dinanti 

Walau bagaimanapun, beliau masih mengharapkan Pas dapat membuat pusingan-U, dengan menyertai gabungan mega pembangkang. "U-turn Pas itu akan dihargai orang ramai dan ahli akar umbi. Ia bukan tanda Pas flip-flop. Ia juga bukti Pas berjiwa besar tapi mesti disegerakan," ujarnya.

Beliau turut menyentuh sasaran yang dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, iaitu
menang 40 kerusi Parlimen dalam PRU14 dan bersedia membentuk kerajaan, sama ada dengan BN ataupun Pakatan Harapan.

"Ahli Pas kena faham, jika Pas menang 40 kerusi, mustahil ia akan bergabung dengan Pakatan Harapan, kerana selama ini Pas sentiasa tekankan bahawa tidak boleh sama sekali mengadakan hubungan dengan Amanah dan DAP. Jadi, hanya ada satu pilihan, iaitu Pas bentuk kerajaan dengan BN, dan apakah ini diterima ahli-ahli Pas?" soal Mahfuz. "Sudah tentu tidak," jawabnya sendiri.
Beliau turut mengulangi kenyataannya agar Pas dapat membuat keputusan segera, sama ada mengadakan persefahaman politik bersama Pakatan atau BN, dan tidak bertanding secara solo. "Tentulah saya tidak bersetuju Pas bersama BN, tetapi itulah dua pilihan yang ada, untuk Pas kekal relevan," tambahnya.

Selesa tiga penjuru 

Pahrolrazi ZawawiPahrolrazi ZawawiNamun begitu, ditanya pandangan peribadinya, Aris berkata, "sebenarnya saya lebih selesa jika berlaku pertandingan tiga penjuru Pakatan Harapan lawan BN lawan Pas, berbanding dua penjuru Pakatan lawan BN (Umno + Pas) di Kedah ini."

"Walaupun kita tetap akan pujuk Pas atas perasaan kasih dan sayang kepada ahli Pas untuk bersama Pakatan menentang Umno-BN, selagi Pakatan peringkat nasional tidak umumkan secara rasmi tiada lagi pujukan terhadap Pas, walaupun pemimpin Pas sekarang jelas kelihatan sudah terlalu kemaruk ingin bersama Umno-BN," tegasnya.

Di atas kertas, Pakatan Harapan Kedah jelas mempunyai potensi dan kelebihan, untuk mengambil alih negeri itu. Tiada keraguan tentang calon Menteri Besar. Selain Mukhriz yang berpengalaman, dua bekas Exco Kanan juga dikira layak, Datuk Phahrolrazi Zawawi, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah dan Datuk Amiruddin Hamzah, masih Adun Pas, yang juga dilihat "harumanis". Dr Ismail sendiri tidak boleh diketepikan.

Amiruddin pernah dilantik Pesuruhjaya Pas negeri, menggantikan Mahfuz selepas muktamar bersejarah di Kuala Selangor, 2015, tetapi menolaknya. Sejak itu beliau dilihat tidak lagi dapat bersama kepemimpinan tertinggi parti. Manakala Phahrolrazi merupakan antara saf terpenting yang mengemudi Amanah Kedah.

Dalam satu sesi wawncara khas dengan wartawan Malaysiadateline, Phahrolrazi berkata Amanah negeri bersedia jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Jika berlaku demikian, beliau yakin majoriti ahli dan penyokong Pas akan beralih kepada Pakatan Harapan.

Tolak sikap mesra-Umno 

"Di Kedah ini, Pas negeri terpaksa patuh kepada Pas Pusat tetapi mereka tidak dapat mengawal sikap dan pendirian ahli dan penyokong. Jika Pas terus-menerus bersikap mesra Umno, tidak mustahil sebahagian besar ahli Pas negeri itu meninggalkan parti," tambahnya.

"Kalau benar berlaku apa-apa persefahaman antara Pas Pusat dengan Umno saya rasa Pas Kedah akhirnya akan membuat pendirian yang jelas. Saya mempunyai sikap yang positif, ia akan memberi manfaat kepada Pakatan Harapan.

"Pas Kedah ini agak keras dengan Umno, ini warisan yang sedia ada. Walaupun Umno Kedah buat kenyataan mahu kerjasama dengan Pas tapi kenyataan itu nampak sebelah pihak. Pas Kedah tidak pernah menyambut seperti mana pimpinan Pas Pusat yang membuat kenyataan lunak terhadap Umno," jelas Phahrolrazi lagi.

"Kalau Pas Pusat melangkah terus lagi, saya fikir sebahagian besar pendukung Pas Kedah, sama ada bersama dengan Pakatan Harapan kalau tidak beralih parti pun dari segi sokongan, saya yakin mereka memihak kepada Pakatan Harapan," katanya.

Difahamkan Pas Kedah sebelum ini pernah memohon kuasa autonomi daripada Pas Pusat untuk berunding dengan parti-parti pembangkang di negeri itu, tetapi tidak dilayan. Ini menunjukkan jika diberikan kebebasan, mungkin sebahagian besar pemimpin Pas Kedah masih berminat untuk membentuk grand coalition bersama pembangkang yang lain.

Mencari pemimpin 'kelolo'

Asri BaharomAsri BaharomSementara itu, menjelaskan lagi cabaran parti baru itu di peringkat akar umbi, Setiausaha Amanah Kubang Pasu, Asri Baharom berpendapat: "Amanah tiada tokoh yang nampak menyerlah dan benar-benar bersifat Kedahan, ada perangai 'kelolo', berwatak agamawan sikit dan paling penting rapat dengan istana dan surau."
Beliau mencadangkan, untuk penambahbaikan Amanah pada masa depan, ia perlu melahirkan pemimpin yang bersikap 'hemoi' dan sanggup 'berlemoih' dengan isu-isu rakyat.

Ditanya maksud 'hemoi', Asri berkata, secara mudah ia merujuk kepada pemimpin yang selesa untuk turun padang, selami jerit-payah rakyat, juarai isu-isu bersama dan inovatif merakyatkan parti.

Beliau mengakui sambutan masyarakat terutama golongan berpendidikan terhadap Amanah agak memberangsangkan. Malah, tambahnya, ramai ahli Pas membuat pengakuan untuk menyokong Amanah tetapi tidak dapat menyertainya disebabkan mahu menjaga hubungan dalam masyarakat, seperti badan-badan kebajikan dan pakatan kenduri-kendara.

"Pas kehilangan dua segmen penting yang dimilikinya sebelum ini, iaitu para aktivis dan mereka yang membiayai kegiatan parti. Kalangan masyarakat masjid pun sudah mula menerima Amanah dan mengiktirafnya sebagai sebuah parti Islam," jelas Asri menceritakan senario akar umbi.

Fenomena lautan merah

Menggambarkan lagi situasi di peringkat bawah, seorang anak kelahiran Jitra yang sudah lama bermaustautin di Shah Alam tetapi kerap berulang-alik kampung berkata: "Baru-baru ini, balik Changlun, terkejut saya, para penyokong kuat Umno pakat-pakat masuk Bersatu. Saya jangka Kedah dan Perak, selain Pulau Pinang, jatuh kepada Pakatan Harapan."

"Sekarang, pi mana-mana pun orang sebut gelombang merah. Faktor Mahathir dan Mukhriz cukup hebat, terutama orang muda. Saya berjumpa orang-orang tua di Kubang Pasu, depa kata jika Tun M bertanding, aku nak nak hasut semua ahli Umno sokong Bersatu," tambahnya, sambil berkata, ramai penyokong Umno nampak berdiam diri tetapi sebenarnya menyokong Dr Mahathir.

Beliau juga menjelaskan sikap ahli dan penyokong Pas yang keliru dan bingung dengan sikap Presidennya. "Yang setia membuta-tuli memang tak boleh buat apa dah, maki-hamun jadi ulam setiap kali buka mulut tapi ramai lagi yang bersedia mendengar penjelasan Amanah walaupun kita tak tahu mereka boleh terima atau tidak," ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang peminat politik, kelahiran Pendang, lulusan Akademi Islam Universiti Malaya, yang mahu dikenali sebagai Abdul Mun'eim turut merasai sambutan hebat Pakatan Harapan di Kedah.

"Aura Mukhriz nampak terkesan kepada golongan wanita, belia dan warga emas. Amanah juga dapat tarik perhatian kelas menengah. Saya rasa Bersatu perlu menjadi tunjang. Amanah mungkin lebih sukar tembusi tembok Pas berbanding Bersatu," ulasnya.

Imej parti Islam diperkukuh 

Beliau mengharapkan jatidiri Amanah sebagai sebuah parti Islam perlu diperkukuhkan. "Peluang Amanah terbuka luas ketika rakyat melihat Pas semakin suram aktivitinya dan hanya berlegar di kalangan ahli sahaja. Guna pendekatan santai dan dialog kelompok untuk menjawab banyak persoalan berbangkit," tambahnya.

Beliau yang pernah berpengalaman sebagai wartawan politik mengandaikan, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, mungkin ahli Pas lebih mudah memberi undi kepada Bersatu. "Ada benteng tebal yang menghalang orang Pas undi Amanah walaupun mereka berfikiran pembangkang. Minta tertutup Pas mesti diberi pencerahan oleh Amanah dengan segera."

"Dan saya kira tokoh seperti Faiz Fadzil Noor dan Dr Siti Mariah Mahmud wajar lebih kerap turun Kedah. Amanah perlukan tenaga baru yang nampak lebih segar dan tidak terpalit dengan liabiliti lama," katanya.

Rakannya, pengundi Pokok Sena pula menambah, sambil tersenyum: "Kita juga tidak sabar menunggu Mahfuz umumkan bersama Amanah, lagi cepat lagi balik, Pas sudah tidak boleh dibaiki lagi."

Aktivis Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang juga anak Kedah, Kassim Muhammad juga berpendapat Kedah adalah asas kekuatan bagi Dr Mahathir dan parti Bersatu.

"Rakyat Kedah menolak rasuah dan kleptokrasi yang menjadi isu besar sekarang. Mana-mana parti yang dilihat dingin dengan isu itu, termasuk Pas, akan ditolak rakyat. Masyarakat yang semakin berilmu dan terdedah dengan maklumat akan menolak politik sentimen Melayu-Islam ini."

"Saya kira Pakatan Harapan mempunyai potensi yang lebih cerah di Kedah. Konsep politik nasionalis-agama juga ditolak kerana ia sesuatu yang tidak real. Kecuali penipuan besar-besaran berlaku, insya-Allah Kedah akan dapat kerajaan baru," hurainya lagi.

No comments