Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

BR1M jelas alat politik Umno-BN

Awal Mac lalu, seluruh rakyat negara ini amat terkejut apabila ramai pemilik lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak dapat menerima pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sehubungan itu, pihak kerajaan segera menjelaskan bahawa mereka yang memiliki SSM sememangnya tidak akan diberikan bantuan itu kerana mereka dikatogarikan sebagai tidak layak menerima BR1M.

Amat aneh apa yang berlaku. Sedangkan sebelum ini tidak pun berlaku sedemikian.

Kenapa bagi pemberian BR1M 2017 yang bermula Februari lalu tiba-tiba begitu pula keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Sedangkan sebelum ini tidak pun disebut tentang pemilik SSM tidak layak menerima BR1M, sebaliknya dijelaskan bahawa mereka yang berpendapatan isi rumah RM4,000 layak menerima bantuan tersebut.

Selain itu, pemberian BR1M 2017 turut menyaksikan satu keanehan lain, apabila ia disampaikan secara manual menerusi pimpinan Umno-BN, berbanding sebelum ini yang disalurkan terus menerusi akaun-akaun bank para penerima.

Lebih menyedihkan, apabila pemberian secara manual itu bukan kelihatan lebih membantu dan menyenangkan para penerima, malah mereka terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya, sehingga ada di antara mereka yang pengsan setelah menunggu sekian lama dan berada dalam keadaan berasak-asak pula.

Dengan kejadian yang berlaku itu, ternyata pemberian BR1M sebenarnya bukan untuk membantu rakyat yang susah, sebaliknya benarlah telahan PAS selama ini bahawa kewujudan bantuan tersebut lebih bermotif politik, bagi memancing undi.

Jika tidak bermotif politik, kenapa mereka yang memiliki SSM tiba-tiba tidak layak menerima bantuan itu tahun ini?

Apakah kerana pemilik SSM itu orang kaya? Sedangkan realitinya tidak semua pemilik SSM itu kaya, berada atau banyak wang. Sebaliknya ada di antara mereka yang hanya memiliki SSM, tetapi pendapatan mereka juga di bawah RM4,000 sebulan. Mereka mungkin sudah tidak berniaga lagi kerana ketiadaan modal dan sebagainya.

Apakah motif sebenar kerajaan tiba-tiba meletakkan syarat aneh mereka yang memiliki SSM tidak layak menerima BR1M. Adakah kerajaan sebenarnya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membantu rakyat menerima pemberian itu, disebabkan kebocoran, penyelewengan, lantas diciptakan alasan untuk menyembunyikan perkara itu?

Apakah pula motif sebenar pihak kerajaan memberikan BR1M secara manual tahun ini menerusi pimpinan Umno-BN. Tidakkah ia bertujuan supaya para penerima berjumpa atau bertemu mata dengan pimpinan parti terbabit supaya mereka mengenang budi orang yang memberinya untuk dibalas di peti undi pada pilihan raya nanti, memandang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sememangnya sudah tidak lama lagi.

Motif yang tersirat sememangnya sudah dapat dibacakan. Justeru memang benarlah BR1M dikatakan alat politik kerajaan Umno- BN yang sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Namun, wajarkah rakyat yang miskin yang sepatutnya dibantu dengan ikhlas terus dipergunakan dan diperbodohkan lagi sehingga sedemikian rupa? - Editoriol Harakah

No comments