Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Rohingya: Dunia menunggu reaksi kamu, Malala Yousafzai beritahu Suu Kyi

LONDON: Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai menggesa Aung San Suu Kyi mengutuk siri serangan ke atas masyarakat Rohingya, dengan berkata dunia masih menantikan kenyataan daripada pemimpin Myanmar itu.

“Selama beberapa tahun, saya berulang kali mengutuk tragedi dan layanan yang memalukan ini,” kata Malala dalam kiriman Twitter.

“Saya masih menunggu rakan penerima Nobel, Aung San Suu Kyi untuk membuat perkara sama,” kata pemenang termuda anugerah Nobel itu.


“Dunia menunggu dan umat Islam Rohingya juga menunggu.”

Hampir 90,000 orang dari etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos selepas keganasan tercetus di Myanmar.

Suu Kyi yang kini sebahagian daripada kerajaan Myanmar menerima kritikan tajam pelbagai pihak termasuk negara Barat kerana enggan mengutuk keganasan ke atas minoriti itu yang selama ini dinafikan pelbagai hak termasuk kerakyatan.

Sabtu lalu, tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Myanmar di Jakarta menyeru hadiah Nobel ditarik balik daripada Suu Kyi.

Kerajaan Myanmar menuduh militan Rohingya membakar rumah dan membunuh orang awam, tetapi kumpulan hak asasi dan ribuan kaum Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berkata mereka diusir selepas kempen pembunuhan oleh tentera Myanmar.

Pada 2012, ketika usianya 15 tahun, Malala ditembak di kepalanya oleh seorang anggota Taliban kerana mempersoalkan dasar kumpulan militan itu menafikan hak pendidikan kepada wanita.

Malala dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada 2014, penerima termuda hadiah itu.

No comments