Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Kerana Nafsu Kepentingan Diri

Oleh DINSMAN 

Kenapa kita tidak juga mahu menolak orang yang ternyata dan terbukti jahat dan bersalah? Kenapa kita masih juga hendak menyokong dan mempertahankan orang itu untuk memimpin kita walaupun kita tahu dia jahat dan bersalah?

Ya, kita tahu dia memang jahat dan bersalah. Boleh dikatakan semua orang tahu. Kerana hal itu terlalu terang dan jelas. Memang nampak. Tetapi kenapa ramai orang menunjukkan respon seperti mereka tak nampak? Apakah sebenarnya mereka tak nampak?

Lama sudah saya dan beberapa orang kawan bercakap dan berbincang hal ini. Maka banyaklah sudah jawapan dan andaian yang diberikan. Namun saya belum berpuas hati dengan jawapan-jawapan dan andaian-andaian tersebut. Lalu muncullah baru-baru ini satu pemikiran mudah.

Kenapa? Sebab kita selalunya mudah terpengaruh dengan nafsu kepentingan diri, yang selalu menenggelamkan pemikiran-pemikiran dan kesedaran-kesedaran asas. Contoh paling mudah ialah wang. Orang selalu kata wang itu ada ‘hantu’nya. Dia sangat mudah mempengaruhi dan menguasai kita.

Saya tak fikirkan ‘hantu’nya itu. Tetapi saya percaya wang memang ‘berhantu’. Asasnya kita semua memerlukan wang. Untuk pelbagai tujuan dan sebab. Tetapi keperluan kita itu pun ada asasnya, ada had dan batasannya. Namun nafsu kepentingan diri selalunya tidak mengenal had dan batasan. Maka terjadilah apa-apa yang selalu terjadi itu.

Orang-orang yang berpendidikan tinggi, orang-orang yang berjawatan tinggi, orang-orang yang kelihatannya kuat beragama, orang-orang yang kewangannya melimpah-limpah, tetapi mereka tetap menyokong pemimpin yang ketara jahat dan bersalah – mengapa, kalau bukan kerana nafsu kepentingan diri!

Nafsu kepentingan diri itu menutup segala kesedarannya mengenai baik dan buruk, mengenai wajar dan tidak wajar, mengenai adil dan tidak adil, dan mengenai dosa dan pahala.

Hal ini sebenarnya telahpun dijelaskan oleh al-Quran dalam kisah yang masyhur mengenai mengapa Adam dan Hawa diusir daripada syurga dan turun ke dunia. Peristiwa Nabi Adam memakan buah larangan itu. Mengapa dia memakan buah larangan itu?

Dari segi kewajaran, ia memang tidak wajar. Fikirkan bahawa Adam dan Hawa sudahpun berada di syurga. Mereka boleh buat apa saja, apa saja, kecuali satu – jangan dekati sebuah pohon. Itu sahaja yang dilarang. Tetapi kenapa larangan itu dilanggar oleh Adam? Sedangkan sebelum itu Tuhan telah mengajarkan dia “segala nama”, yakni segala ilmu yang diperlukan.

Jawapan saya, dalam konteks ini ialah kerana nafsu kepentingan diri, berdasarkan bisikan syaitan. Adapun nafsu kepentingan diri itu di bawahnya atau di sebaliknya ialah wujudnya bisikan syaitan. Suatu fakta keagamaan Islam yang menjadi salah satu asas penting dalam fahaman kehidupan manusia (mengikut ajaran Islam).

Ia sentiasa ada. Di sebalik tiap perkara, sentiasa wujud ‘bisikan syaitan’ yang mengajak manusia melakukan kejahatan/kesalahan, dengan kewajaran-kewajaran palsu yang menutup kewajaran hakiki yang terdapat dalam asas ajaran agama Islam.

Dan inilah yang berlaku sekarang. Di hadapan kita, di sekeliling kita. Kewajaran-kewajaran palsu akibat bisikan syaitan, yang tak dipedulikan oleh manusia moden hari ini, malah dinafikan. Dinafikan oleh nafsu kepentingan diri itu.

Semua orang hari ini ditenggelamkan oleh nafsu kepentingan diri. Apakah maksudnya nafsu kepentingan diri di sini? Sama seperti yang dijelaskan dalam kisah peristiwa Adam dan Hawa memakan buah larangan itu, nafsu kepentingan dirinya bukanlah sesuatu yang real, tetapi yang diada-adakan oleh ‘bisikan syaitan’ yang sengaja hendak menyesatkan manusia.

Maka keperluan manusia hari ini kepada wang (misalnya) adalah suatu keperluan yang tiada batas sempadannya, tiada mengenal sebarang lojik dan kewarasan. Dan ia sentiasa mengubah sempadan, berdasarkan kedudukan atau pencapaian kita masing-masing.

Sebab itu kita selalu hairan dan tak faham melihat orang-orang yang kaya dan berkuasa tetapi kesungguhan mereka terus merebut, merompak dan mengumpul kekayaan dan kuasa itu seperti tidak tahu hendak berhenti. Hendak lagi dan lagi, walaupun yang sudah ada itu sudah jauh melebihi tahap yang sepatutnya mereka perlukan.

Maka kita selalu bertanya: Mereka nak buat apa lagi dengan kekayaan dan kuasa itu? Ia sudah lebih dari mencukupi untuk mereka dan keluarga mereka. Mereka nak buat apa lagi?

Memang kita tak akan faham. Seperti kita tak faham mengapa perlunya Adam hendak melanggar perintah Tuhan supaya dia jangan hampiri pohon yang satu itu di syurga. Tak ada keperluan langsung, pada fikiran kita. Tetapi begitulah… kuasa dan pengaruh yang Tuhan izinkan kepada syaitan (untuk menyesatkan manusia).

Kita perlu balik kepada pemikiran yang asas itu, yang selalu kita lupa, dan yang selalu dilupakan oleh semua manusia, kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa.

Ya, kita perlu balik kepada pemikiran yang asas itu, untuk memahami gelagat manusia yang sukar kita fahami hari ini. Dan dari perspektif yang asas ini, apakah yang perlu dan boleh kita lakukan sekarang terhadap masyarakat kita yang ternyata sudah sangat rosak hari ini?

Bagaimanakah mungkin kita menggagalkan strategi ‘Cash is King’ yang dikatakan sedang digunakan semaksimum mungkin oleh pihak berkuasa sekarang?

Bagaimanakah kita ‘menyedarkan’ golongan yang berpengaruh dalam pentadbiran kerajaan dan dalam media awam supaya mereka kembali berperanan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, untuk “amar makruf dan nahyi mungkar” dalam konteks ruang kuasa mereka masing-masing?

Marilah kita sama-sama fikirkan! Dan dalam berfikir ini janganlah pula kita lupa kepada perkara-perkara asas yang diajarkan dan dituntut oleh Islam itu!

No comments