Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Permatang Pauh tidak seperti 1982 atau 1999

Oleh Hassan Mohd. Noor 

MAKAN bersila di Permatang Pauh. Khabarnya lebih 20,000 orang hadir program Jom Pi Ramai-Ramai Makan Bersila Bersama PM, dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Semua yang hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak makan bersila di padang Politeknik Seberang Perai, dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh. Tidak ada kerusi meja, jimat kos.

 Tahniah kepada UMNO Permatang Pauh khususnya ketua bahagian Mohd Zaidi Mohd Said atau Cikgu Zaidi. Hakikatnya, di Permatang Pauh UMNO memang tidak ada ‘kerusi’. Maka, eloklah duduk bersila. Di Dewan Rakyat, kerusi Permatang Pauh diduduki wakil PKR. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pula, dua kerusi milik PKR dan satu lagi Pas. UMNO sudah lama kehilangan kerusi Permatang Pauh.

Kali terakhir UMNO atau Barisan Nasional (BN) menduduki kerusi itu ialah semasa PRU tahun 1995 sehinggalah wakil rak­yatnya, Anwar Ibrahim dipecat pada 1998. Selepas Keadilan ditubuhkan dan bertanding di situ pada 1999, parti itu yang kemudiannya dikenali PKR terus menguasai kerusi itu pada 2004, 2008 dan 2013. Cubaan UMNO atau BN untuk mendapatkan semula kerusi Parlimen pada PRU lalu bukan sahaja gagal tetapi hilang kerusi Seberang Jaya menjadikan semua tiga kerusi DUN terlepas. DUN Penanti jatuh kepada PKR pada 1999 tetapi diambil semula oleh BN pada 2004, bertahan sepenggal sebelum diambil kembali oleh PKR pada 2008 sehinggalah ke hari ini. Permatang Pasir pula jatuh ke tangan Pas pada 1999 sehinggalah PRU lalu.

Sepanjang tempoh penguasaan PKR ini, BN telah menurunkan beberapa calon untuk menandingi calon PKR sama ada Anwar atau isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Cubaan untuk mendapatkan semula kerusi itu semasa dua Pilihan Raya Kecil (PRK) 2008 dan 2015 juga gagal. Pada 26 Ogos 2008, calon BN, Arif Shah Omar Shah yang juga ADUN Seberang Jaya ketika itu kalah kepada Anwar yang menang dengan majoriti 15,671 undi. Untuk rekod, PRK itu diadakan berikutan peletakan jawatan Dr. Wan Azizah beberapa bulan selepas PRU bagi memberi laluan kepada suaminya. Pada 2015, Anwar pula hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. PRK diadakan. Wan Azizah sekali lagi menawarkan diri dan berjaya mengalahkan calon BN, Suhaimi Sabudin dengan majoriti 8,841 undi. Begitulah pengaruh PKR di Permatang Pauh. Kekuatannya terserlah ketika PRU Ke-13 yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. Kini UMNO Permatang Pauh amat dahagakan kemenangan, sama seperti bahagian itu inginkan kemenangan pada 1982 sehingga mereka menerima kehadiran mantan Presiden ABIM sebagai calon pilihan Dr. Mahathir Mohamad.

Kekalahan kepada Pas pada 1978 amat memberi kesan kepada UMNO Permatang Pauh. Akhir­nya kehadiran Anwar berjaya mengembalikan kerusi Permatang Pauh kepada BN. Kemaraan Pas disekat. Calon Pas ketika itu, Allahyarham Zabidi Ali yang cuba mempertahankan kerusi yang sebelumnya disandang oleh Allahyarham Ariffin Daud dikalahkan dengan majoriti 14,352 undi. Berdasarkan perkembangan semasa dan majoriti yang dikurangkan pada PRK lalu, BN berazam untuk memenangi semula Permatang Pauh. Keazaman itu sudah di­nyatakan oleh Najib sebaik sahaja BN dapat mengurangkan majo­riti PKR pada PRK 2015. Pasukan Transformasi Permatang Pauh, gagasan UMNO bahagian juga bersedia untuk mengambil semula kerusi itu. Malahan Zaidi meletakkan sasaran untuk mengembalikan Permatang Pauh kepada BN pada PRU-14. Apabila Perdana Menteri turun ke Permatang Pauh baru-baru ini, ia jelas menandakan sokongan dan harapan yang diletakkan ke atas kepemimpinan UMNO bahagian itu. Jika Dr. Mahathir sanggup melakukan pusingan U menerima semula Anwar, tidak ada sebab pengundi juga boleh melakukan perkara yang sama untuk kembali kepada BN.

Khabarnya peningkatan lebih 8,000 pengundi baharu di Parlimen Permatang Pauh akan mengubah landskap politik di kawasan itu, daripada hitam kepada putih. Menurut Mohd Zaidi antara 7,000 pengundi baharu ini adalah Melayu yang kebanyakannya didaftarkan UMNO. Mereka kebanyakannya adalah golongan belia dan pengundi kali pertama. Bagaimanapun, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. UMNO tidak boleh selesa dengan angka itu. Semuanya bergantung kepada gerak kerja jentera parti lebih-lebih lagi menjelang PRU. Segala permasalahan perlu diselesaikan. Kadang-kadang persiapan peringkat awal sudah baik dan cantik tetapi pada saat akhir, ia hancur, gara-gara ‘merajuk politik’.

Walaupun cabaran PRU kali ini berbeza tetapi atas semangat kerjasama, peluang BN tetap ada. Bukanlah satu rahsia bahawa Keadilan/PKR menang dengan sokongan jentera Pas. Kini Pas sudah berpisah dengan pakatan PKR, DAP, PAN dan PPBM. Pas dan PKR Permatang Pauh ma­sing-masing sudah melancarkan jentera PRU. Pas bertekad mahu mengambil semula kerusi Permatang Pauh.

Sebelum PKR wujud, Pas adalah calon tradisi yang mencabar BN di situ. Apabila Anwar diturunkan bertanding atas tiket BN pada 1982, Pas tidak pernah tercicir untuk meletak calon. Mat Sabu dan Mahfuz Omar pernah mencabar Anwar iaitu pada 1986 dan 1990. Calon DAP juga pernah bertanding di situ pada 1982 dan 1995. Kali terakhir Pas meletak calon di situ ialah pada 1995. Kini keadaan sudah berubah. Ketika Pas bertekad mahu bertanding semula di situ, PKR juga berikrar mahu mempertahankan kawasan yang dianggap sebagai lambang kebangkitan rakyat. Pakatan Harapan juga memberi ingatan bahawa bukan mudah untuk BN mendapatkan semula kerusi itu. Memang benar, jika keadaan tidak berubah, pertandingan kali ini akan melibatkan tiga penjuru. Suasana memang tidak sama. Kedudukan Pas bukan seperti 1982. Bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi selepas wujudnya PAN.

Adakah kekuatan Pas Permatang Pauh masih seperti 1982? Ketika itu, Pas menjangkakan Anwar akan memilih parti itu tetapi Anwar memilih UMNO. Kesudahannya, Dr. Mahathir juga yang memecat Anwar. Kini Dr. Mahathir dan Anwar bersatu untuk menumbangkan BN. Pas tidak rugi apa-apa jika gagal mendapatkan semula Permatang Pauh. PKR lebih tercabar untuk mempertahankan kerusi itu. Siapa pula pilihan PKR? Adakah keluarga Anwar meneruskan tradisi? Anwar dan Dr. Wan Azizah keluar masuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh dan pengundi di kawasan itu tidak pernah jemu memilih orang yang sama. Pas juga akan bertanding di semua kerusi DUN di Permatang Pauh lebih-lebih lagi mempertahankan kerusinya, Permatang Pasir.

Sama ada PKR, UMNO/BN atau Pas, masing-masing mempunyai peluang. Bukan mahu memperkecilkan UMNO, tetapi pertembungan tiga penjuru bukan jaminan undi memihak kepada UMNO. Kelahiran PAN perlu diambil kira. Berapa ramai yang masih bersama Pas? Begitu juga PPBM. Sedikit sebanyak ada yang akan memihak kepada PPBM. Tidak pasti berapa ramai anggota PAN dan PPBM yang akan membantu calon PKR. Apa pula pendirian pengundi tegar Permatang Pauh yang sudah menetapkan pendirian bersama PKR? Segala kemungkinan boleh berlaku. Ha­kikatnya, pertembungan di Permatang Pauh bukan seperti 1982 atau 1999.

No comments