Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Husam cuba amal BPMS, Maza sedang menyusul

Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

YANG Husam mahu daripada kehadiran beliau ke program ceramah PAS semalam bukan untuk bercakap. Dia sudah tahu mustahil dia boleh bercakap. Bukan juga mahu bertumbuk, kerana jumlah mereka sangat kecil berbanding jumlah peserta lain. Jauh sekali mahu mendengar isi ceramah.

Tujuan utama Husam adalah mahu dilihat matang kerana sanggup berada dalam majlis tersebut. Duduk sekejap pun tak apa, janji sempat bergambar. Dengan gambar itu dia boleh cipta persepsi macam-macam. Soal dia tak hadir debat, ganggu majlis orang, tuduh 90 juta mudah disembunyikan di belakang peristiwa ini. Jangan pelik kalau selepas ini mereka kata Husam amal konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)!

Yang sepatutnya menjadi iktibar buat PAS adalah kesedaran ancaman politik murahan sebegini. Satu budaya yang sedang terbentuk dalam politik negara hari ini ialah, sekiranya pihak yang bermusuhan bersemuka, maka mereka akan dilihat sebagai matang dan bagus. Lalu segala kesalahan sebelum ini terkambus begitu sahaja.

Semalam saya membaca satu laporan berita, MAZA menyatakan secara peribadi kepada seorang pemimpin PAS bahawa sebenarnya beliau tidak menentang RUU355. Selain itu beliau menjemput pemimpin itu bersemuka di pejabatnya.

Tentu anda lihat tindakan MAZA ini matang, kan? Itulah yang menjadi masalah. Segala kemarahan hasil tohmahan dan tuduhan tak berasas beliau kepada PAS akan reda hanya dengan taktik ini. MAZA boleh buka buku baru dan mulakan langkah seterusnya tanpa perlu memikul libailiti lama.

Sejarah sudah mengajar. Anwar antara orang paling hebat dengan politik sebegini. RORA juga pernah guna taktik ini ketika menghadapi seorang pemimpin PAS. Tapi apa hasilnya? Selepas mereka dapat political mileage yang diperlukan, mereka terus menghentam dan menyerang PAS. Fakta dan resolusi perbincangan tidak didedahkan, sebaliknya menggunakan pertemuan sebagai cara membersihkan persepsi.

Memang kita gembira kalau semua orang Islam menyokong RUU355. Tapi kita kena sedar, mereka sebelum ini tidak pernah menyatakan sokongan malah lantang mengkritik. Kerana mereka yakin usaha mereka dapat menghalang sokongan kepada PAS. Mereka terus mencuba hingga ke saat akhir himpunan, sehingga keluar fatwa tak wajib sokong RUU355.

Namun selepas melihat kejayaan Himpunan H355 Sabtu lepas, mereka berubah watak secara mengejut! Bersedia semua, mereka akan u-turn menyokong RUU355 atau tidak lagi menyerang. Tak mustahil DAP dan PKR juga akan berkelakuan. Mereka cuma tunggu lampu hijau dari strategis utama di belakang tabir sahaja sekarang.
Mereka sedar pasca H355, mereka tidak mampu lagi menghalang kemahuan umat Islam untuk melihat syariat Islam diperkasa. Kalau mereka halang juga, mereka yang akan ‘binasa’. Justeru lebih baik menyokong atau sekurang-kurangnya, tidak lagi menyerang.

Justeru pada pendapat saya yang lemah ini, usahlah lagi dilayan pelawaan untuk bersemuka atau apa-apa. Sejarah sudah banyak mengajar. Kalau benar mereka mahu amalkan BPMS, sepatutnya mereka jumpa dan dapatkan penjelasan dahulu sebelum nyatakan apa-apa pendirian, sebagaimana yang sentiasa dibuat oleh mufti WP.

Tindakan mendekati kumpulan ini tidak boleh disamakan dengan BPMS PAS terhadap BN. PAS sedar BN masih kerajaan Malaysia yang sah dan untuk melaksanakan banyak perkara, perlu kepada kelulusan kerajaan. PAS tetap menganggap BN sebagai seteru politik tetapi dalam urusan yang memerlukan tindakan kerajaan, PAS mengambil langkah profesional.

BPMS PAS dengan kerajaan demi memperoleh manfaat yang tidak mungkin didapati melalui cara lain. Sebaliknya mendekati kumpulan ini tidak memberi manfaat yang jelas. Yang pasti mendapat manfaat adalah mereka, bukan kita.

Kita jangan salahfaham konsep BPMS. Ia bukan alat untuk menghalalkan apa jua tindakan. BPMS bukan bermaksud kena berbaik dengan semua pihak.

Orang yang bawa gagasan BPMS ini adalah TGHH. Tetapi dalam masa yang sama dialah juga yang paling tegas menolak DAP, dan semua parti yang ada hubungan dengan DAP. Jangan tuduh TGHH tak faham BPMS pula. Yang lebih tepat adalah kita tak faham BPMS sebagaimana yang TGHH faham.

No comments