Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Henti kekeliruan, beri penerangan dan sokongan

Oleh ZHARUDIN NARUDIN 

Cadangan pindaan Akta 355 tidak sepatutnya menjadi polemik yang mengheret kepada ketegangan antara agama atau bangsa di Malaysia.

Pindaan ini hendaklah diberi ruang dan ternyata ianya tidak menjejaskan kontrak sosial antara kaum dan agama. Malah, jaminan keatas hak individu untuk terus bebas mengamalkan agama masing-masing dan pindaan ini hanya melibatkan institusi kehakiman syariah sahaja.

Jaminan kebebasan ini meluas sehingga Sabah dan Sarawak. Jika benar ianya mengancam hak individu beragama di Sarawak, mari kita lihat bagaimana perkembangan institusi kehakiman syariah di Sarawak dari awal sehinggalah ke hari ini. Adakah kewujudannya selama ini menjejaskan hak beragama di Sarawak?

1. 1976 - Kerajaan negeri meluluskan dan memasukan Peruntukan Islam  di dalam  Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri sebagai "The Yang Dipertuan Agong shall be the Head of the religion of Islam in Sarawak". Walaupun ianya tidak menyebut jelas bahawa Islam sebagai agama rasmi negeri, namun ianya cukup untuk memberi ruang kepada DUN meluluskan apa-apa ordinan berkaitan dengan hal ehwal Islam. Jelas sehingga kini ianya untuk hal ehwal orang Islam Sarawak sahaja.

2. Disember 1978 - Kerajaan negeri mewujudkan Mahkamah Syariah melalui pindaan rang undang-undang Majlis Islam. Pada asalnya semua perkara berkaitan nikah, kahwin, cerai dan tuntutan cerai adalah di bawah bidang kuasa Udang-undang Mahkamah Melayu 1915. Rang undang-undang Majlis Islam 1978 diberi kuasa untuk memindahkan kuasa Mahkamah Melayu kepada Mahkamah Syariah, Mahkamah Rayuan, dan beberapa Mahkamah Kadi. Mahkamah Syariah ini diberi bidang kuasa untuk menyelia pertunangan, perkahwinan, hak penjagaan anak, harta pusaka dan kes jenayah yang boleh dihukum di bawah ordinan dan Mahkamah Melayu Sarawak.

3. 1 Mac 1985 - Undang-undang Order 1985 telah dikuatkuasakan. Atas keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha untuk mempertingkatkan kedudukan dan martabat Islam, Mahkamah Syariah telah dipisahkan pentadbirannya daripada Majlis Islam.

4. 2 Oktober 1990 - tertubuhlah Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak. Pada 14 Mei 1991, kerajaan negeri telah meluluskan 6 rang Undang-undang iaitu:

Ordinan Mahkamah Syariah
Ordinan Acara Jenayah
Ordinan Acara Mal
Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah
Ordinan Undang-undang Keluarga Islam
Ordinan Undang-undang Keterangan Islam

5. 1 September 1992 - keenam-enam ordinan tersebut telah diwartakan pelaksanaannya. Ordinan-ordinan 1991 telah dipinda pada 27 Disember 2001 dan telah dikuatkuasakan mulai 1 Disember 2004.

Jika Akta 355 ini diluluskan untuk dipinda, ianya tertakluk kembali kepada kerajaan negeri masing-masing untuk melaksanakannya.

Jelas, pemerkasaannya dari masa ke semasa tidak menjejaskan amalan beragama di negeri ini. Realiti ini perlulah dibawa bersama dan dijelaskan terutama oleh ahli-ahli politik dan pemimpin lain masyarakat agar rakyat tidak terkeliru. Selain itu, sokongan dari anda yang bukan Islam juga amat perlu bersesuaian dengan semangat Malaysia yang dibawa bersama setiap daripada rakyat seluruh negara. Mengeksploitasi untuk tunjuan politik hanya akan merugikan semua pihak terutama umat Islam.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Sarawak.

No comments